Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1336: BOLEHKAH PENGHIDAP SALIS AL BAUL (KENCING TIDAK LAWAS) MENUNAIKAN SOLAT SECARA DUDUK ?

AL KAFI 1336

Soalan:

Assalamu’alaikum S.S Mufti, adakah dibolehkah bagi mereka yang menghidap permasalahan kencing tidak lawas melaksanakan solat secara duduk. Ini memandangkan keadaannya yang mana apabila solat berdiri maka air kencing akan mengalir manakala jika dilakukan solat secara duduk ia tidak mengalir.

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara asasnya, solat hendaklah didirikan secara berdiri melainkan jika terdapat keuzuran. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imran bin Husain yang menceritakan bahawa beliau menghidap penyakit buasir, lalu beliau bertanya kepada Rasulullah S.A.W tentang solat. Maka baginda S.A.W bersabda:

صَلِّ قَائِمًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَقَاعِدًا، فَإِنْ لَمْ تَسْتَطِعْ فَعَلَى جَنْبٍ

MaksudnyaBersolatlah kamu secara berdiri, jika tidak mampu lakukanlah secara duduk dan jika tidak mampu juga lakukanlah secara mengiring (di atas lambung).

Riwayat Al-Bukhari (1066)

Maka dapat dilihat daripada hadis ini bahawa sekiranya terdapat sebarang keuzuran maka dibolehkan untuk seseorang itu mengubah posisi solat daripada berdiri kepada duduk, dan sekiranya tidak mampu juga maka boleh dilakukan solat secara berbaring di atas lambung. Ini adalah keringanan yang diberi kepada seseorang itu ketika mana terdapatnya keuzuran ke atas diri mereka.

Para fuqaha al-Syafi’eyyah membahagikan keuzuran ini kepada tiga bahagian yang kami sebutkan dalam beberapa noktah berikut:

  • Uzur biasa ( عذر معتاد) : Antara contohnya adalah safar (permusafiran) atau sakit.
  • Uzur yang jarang (nadir) dan bersambungan (berterusan) : Seperti istihadhah dan juga salis al-baul (kencing tidak lawas).
  • Uzur yang jarang dan bersifat terputus (munqathi’). Iaitu ketiadaan air semasa al-hadhar (الحضر).

Rujuk Al-Bayan fi Mazhab al-Imam al-Syafie, Al-‘Imrani (1/321)

Oleh yang demikian dapat difahami bahawa salis al-baul juga termasuk dalam kategori keuzuran. Cuma persoalan yang boleh dibangkitkan, adakah keuzuran ini turut memberi kesan kepada tatacara solat iaitu boleh menjadi faktor yang membenarkan seseorang itu solat duduk jika ada keperluan ?

Berikut kami kongsikan kata-kata Imam Al-Nawawi yang menukilkan pendapat dari Imam al-Baghawi Rahimahullah :

لَوْ كَانَ سَلِسَ الْبَوْلِ بِحَيْثُ لَوْ صَلَّى قَائِمًا سَالَ بَوْلُهُ وَلَوْ صَلَّى قَاعِدًا اسْتَمْسَكَ فَكَيْفَ يُصَلِّي فِيهِ وَجْهَانِ أَصَحُّهُمَا قَاعِدًا حِفْظًا لِلطَّهَارَةِ

Maksudnya: Sekiranya seseorang yang menghidap salis al baul (kencing tidak lawas) itu mendirikan solat secara berdiri lalu mengalir air kencingnya, manakala jika dia solat secara duduk maka air kencingnya tidak mengalir, maka bagaimanakah caranya dia solat ?

Ada dua pendapat dalam hal ini, dan yang paling sahih adalah dia menunaikan solat dalam keadaan duduk bagi memelihara taharah (wuduk).

Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (2/542)

Sekiranya seseorang yang menghidap salis al baul itu menunaikan solat secara duduk bagi menghalang air kencingnya mengalir keluar, maka dalam kes ini solatnya tersebut adalah sah dan tidak perlu untuk diulang semula.

Bahkan di dalam kitab Hasyiah al-Jamal, penulisnya menyebut:

فَلَوْ اسْتَمْسَكَ السَّلَسُ بِالْقُعُودِ دُونَ الْقِيَامِ وَجَبَ أَنْ يُصَلِّيَ قَاعِدًا احْتِيَاطًا لِلطَّهَارَةِ وَلَا إعَادَةَ عَلَيْهِ، فَإِنْ صَلَّى قَائِمًا لَمْ تَصِحَّ صَلَاتُهُ لِوُجُودِ النَّجَاسَةِ مَعَ تَمَكُّنِهِ مِنْ اجْتِنَابِهَا

Maksudnya: Sekiranya air kencing yang mengalir itu berhenti dengan solat secara duduk berbanding solat secara berdiri maka wajib bagi (penghidap kencing tidak lawas) untuk menunaikan solat secara duduk sebagai cara ihtiyath (berhati-hati dan memelihara) taharah, dan tidak perlu untuk dia mengulang semula solat. Sekiranya seseorang (yang menghidap salis al-baul) itu menunaikan solat secara berdiri, maka tidak sah solatnya bersama dengan kewujudan najis sedangkan dia mampu untuk mengelakkannya.

Rujuk Hasyiah al-Jamal ‘ala Syarh Manhaj al-Thullab (1/242).

Kesimpulan

Sebagai penutup kami menyatakan bahawa dalam isu salis al-baul (kencing tidak lawas) ini, keadaan solat penghidapnya adalah bergantung kepada individu yang menghidap penyakit ini sendiri. Sekiranya air kencing tidak mengalir dalam keadaan dia mendirikan solat secara berdiri, maka ketika ini hendaklah dia mendirikan solat secara berdiri. Namun, jika dengan solat berdiri akan menyebabkan air kencingnya mengalir manakala dengan solat secara duduk akan menahan air kencingnya dari keluar, maka hendaklah dia menunaikan solat secara duduk bagi menjaga wuduk dan juga solatnya.

Akhir kalam kami berdoa kepada Allah S.W.T supaya memberikan kefahaman agama yang baik kepada kita semua dalam beragama. Ameen.