Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1338: PEMBELI SETUJU MEMBELI BARANG YANG ROSAK ATAU CACAT

AK1338.PNG

SOALAN

Assalamualaikum Dato Seri Mufti. Semalam saya ada membeli sebiji durian dengan harga yang murah. Sebelum membeli, penjual telah memberitahu kepada saya bahawa durian tersebut telah ditebuk oleh tupai. Kerana itu penjual telah menjual kepada saya dengan harga yang murah dan saya telah bersetuju dengan perkara tersebut. Soalan saya, bolehkah saya mengembalikan durian tersebut selepas membelinya kerana timbul rasa menyesal selepas pembelian tersebut dilakukan? Mohon penjelasan. Terima kasih.

JAWAPAN

Waalaikumussalam wrt. wbt.

Alhamdulillah kami panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT. Selawat dan salam kepada junjungan Nabi SAW, para isteri dan keluarga baginda SAW, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda SAW hingga ke hari akhirat.

Konsep utama yang telah digariskan di dalam Islam bagi amalan jual beli adalah perlu kepada saling reda-meredai antara penjual dan pembeli dalam mensahihkan sesuatu akad jual beli. Perkara ini ada dinyatakan di dalam al-Quran dan hadith berikut:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Imam al-Qurtubi menjelaskan bahawa kalimah ‘batil’ ini bermaksud dengan cara yang bukan hak seperti riba, judi, kezaliman serta perkara-perkara lain yang dilarang kecuali dengan jalan perniagaan yang terdapat padanya reda diantara penjual dan pembeli. (Lihat Jami’ li Ahkam al-Quran, 5/151)

Begitu juga dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Dawud bin Salih al-Madani daripada ayahnya telah berkata bahawa dia telah mendengar Abu Sa'id al-Khudri R.A berkata bahawa Nabi SAW bersabda:

إِنَّمَا الْبَيْعُ عَنْ تَرَاضٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya jual beli itu dengan cara sukarela.”

Riwayat Ibn Majah (2185)

Jual beli yang harus dan menepati syarak akan memberi kesan dan implikasi iaitu bertukarnya pemilikan dengan syarat berlakunya keredaan antara penjual dan pembeli. Ianya akan dikira sebagai muktabar. (Lihat Masabih al-Tanwir 'ala Sahih al-Jami' al-Saghir, 1/425)

Imam al-Son’ani menyebut, keredaan adalah perkara yang tersembunyi dan tidak dapat dilihat. Justeru itu, ianya perlu disandarkan kepada perkara-perkara yang jelas secara zahir seperti lafaz yang menunjukkan kepada rasa reda dan lain-lain. (Lihat Subul al-Salam, 1/2)

Menjawab kepada persoalan di atas, sekiranya pihak peniaga telah memberitahu kepada pembeli tentang kecacatan yang ada pada barang jualan tanpa menyembunyikan sebarang kecacatan, namun pembeli tetap mahu melakukan pembelian ke atas barang tersebut, maka pembeli sudah tidak ada hak khiyar selepas pembelian tersebut. Ini kerana, pembeli dikira melakukan pembelian tersebut dengan kerelaannya dan telah reda terhadap kecacatan yang ada itu. Dalam satu kaedah fiqh menyebut:

الرِّضَا بِالشَّيْءِ رِضًا بِمَا يَتَوَلَّدُ مِنْهُ

Maksudnya: “Reda dengan sesuatu adalah reda dengan apa yang terbit daripadanya.”

Demikian itu, mereka yang meredai di atas sesuatu perkara atau perintah, maka mereka dikira telah reda di atas kesan yang mendatang daripada semua perkara yang dihasilkan daripada perkara atau perintah tersebut. (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arbaah, 2/727)

KESIMPULAN

Tuntasnya, amalan jual beli perlulah didasari dengan saling reda-meredai antara penjual dan pembeli. Seseorang yang melakukan penjualan atau pembelian di atas sesuatu barangan, maka dia perlulah melakukan dengan kerelaan hati sendiri dengan penuh kebebasan memilih dan kemahuan diri sendiri. Seperti isu di atas, sekiranya penjual telah menjelaskan tentang kecacatan yang ada pada barang yang dijual, dan pembeli bersetuju untuk membelinya walaupun mengetahui tentang kecacatan tersebut, maka tidak ada lagi hak khiyar kepada pembeli selepas akad dibuat. Ini kerana, perkara perbuatan tersebut telah menunjukkan bahawa pembeli telah reda terhadap kecacatan yang ada itu sekaligus menghilangkan hak khiyar kepada pembeli.

Semoga penjelasan ini memberi kefahaman kepada kita semua dalam bermuamalah menurut syariat Islam yang sebenar. Amin.