Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1349: MASBUK SOLAT JENAZAH

MASBUK SOLAT JNAZAH.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Boleh kah masbuk ketika solat jenazah? Dan bagaimana jika masbuk solat jenazah seperti terlewat beberapa takbir daripada imam?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Solat jenazah mempunyai kelebihan yang besar bagi yang menunaikannya. Daripada Abu Hurairah R.A, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ شَهِدَ الْجَنَازَةَ حَتَّى يُصَلِّىَ عَلَيْهَا فَلَهُ قِيرَاطٌ، وَمَنْ شَهِدَ حَتَّى تُدْفَنَ كَانَ لَهُ قِيرَاطَانِ. قِيلَ وَمَا الْقِيرَاطَانِ؟ قَالَ: مِثْلُ الْجَبَلَيْنِ الْعَظِيمَيْنِ

Maksudnya: “Sesiapa yang bersama-sama jenazah sehingga selesai disolatkan dia mendapat satu qirath (قِيرَاطٌ) dan sesiapa yang bersama-samanya sehingga selesai dikebumikan dia mendapat dua qirath. Lalu Baginda ditanya: Apakah dua qirath itu? Baginda menjawab: Ganjarannya umpama dua buah gunung yang besar.”

Riwayat al-Bukhari (1261) dan Muslim (945)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan kenyataan daripada Imam Nawawi yang menyebut: “Ketika makmum masbuq sempat bersama imam di pertengahan solat ini (solat jenazah), maka dia (langsung) bertakbir tanpa perlu menunggu imam seterusnya. Kemudian setelah bertakbir, dia membaca surah al-Fatihah dan zikir-zikir sesuai dengan bacaannya sendiri (bukan bacaan imam). Jika makmum masbuq baru sahaja memulakan takbir, kemudian imam berganjak pada takbir kedua kerana bacaan setelah takbir pertamanya telah selesai, maka makmum tersebut juga melakukan takbir kedua dan bacaan al-Fatihah menjadi gugur bagi dirinya sepertimana halnya permasalahan ketika imam berganjak rukuk pada solat fardhu setelah takbirnya makmum. (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/128)

Beliau turut berkata: “Jika imam melakukan takbir yang kedua, sedangkan makmum masbuq sedang masih membaca al-Fatihah, apakah dalam keadaan demikian dia perlu memutuskan bacaannya atau menyempurnakan al-Fatihahnya? Dalam hal ini terdapat dua pendapat sepertimana hal berlaku dalam permasalahan ketika imam rukuk sedangkan makmum masbuq masih berada di pertengahan bacaan al-Fatihah. Pendapat yang paling benar menurut ramai ulama’ adalah dia memutuskan bacaannya dan melanjutkan untuk mengikuti imam.” (Lihat Raudhah al-Talibin, 2/128)

Ibn Hazm pula berkata: “Orang yang ketinggalan beberapa takbir solat jenazah, hendaklah dia terus bertakbir (mengikut imam) walaupun hanya mendapat beberapa takbir dan tidak perlu menunggu takbir imam berikutnya. Apabila imam memberi salam, maka dia hendaklah menyempurnakan takbirnya yang berbaki dan berdoa daripada satu takbir ke takbir berikutnya sepertimana yang dia lakukan bersama imam.” (Lihat al-Muhalla, 5/179)

Fatwa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah pula menyebut: Makmum hendaklah memulakan bacaan Fatihah selepas dia melakukan takbir yang pertama. Sekiranya imam bertakbir tanpa dia sempat menyempurnakan Fatihahnya, maka dia hendaklah mengikut imam tersebut dan gugur baginya daripada menyempurnakan bacaan al-Fatihah. Kemudian hendaklah dia membaca setiap takbir berikutnya sepertimana bacaan yang sepatutnya mengikut turutan. Apabila imam memberi salam, sedangkan masih ada baki takbir bagi makmum yang masbuk, maka hendaklah dia menyempurnakan takbirnya tersebut.” (Lihat Fatawa Dar al-Ifta’ al-Misriyyah, no. 2270)

 

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, makmum yang datang selepas imam sudah melakukan beberapa takbir, dia hendaklah terus bertakbir dan mengikut takbir imam. Akan tetapi, dia hendaklah membaca dengan bacaan sesuai dengan turutan takbirnya. Apabila imam selesai memberi salam, maka dia hendaklah menyempurnakan takbirnya yang berbaki.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam menunaikan setiap titah perintah-Nya. Amin.