Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1351: AZAN KEPADA ORANG YANG AKAN BERMUSAFIR

azan kpd org musafir.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Semasa musim haji baru ini, saya menghantar jemaah haji di Hotel Movenpick Hotel Tabung Haji di Sepang. Saya dapati salah seorang dari mereka melaungkan azan sebelum berangkat menaiki bas menuju ke lapangan terbang. Soalan saya, bolehkah azan semasa orang hendak berangkat untuk melakukan musafir?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Azan disyariatkan pada asalnya adalah untuk memberitahu berkenaan solat. Hanya dalam sesetengah keadaan, ia disunatkan azan untuk selain solat sebagai tabarruk (mengambil keberkatan), untuk menenangkan atau untuk menghilangkan dukacita. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 2/372)

Dalam isu melaungkan azan selain untuk solat, terdapat beberapa pendapat fuqaha’ berkenaan isu ini. Antaranya Syeikh Abu Bakar al-Dimyati menyebut: Sesungguhnya disunatkan untuk azan pada selain solat, sebagaimana disunatkan azan untuk solat seperti azan kepada seseorang yang berada dalam keadaan dukacita atau kegusaran. Ini kerana, kegusaran dan kesedihan akan hilang apabila dilaungkan azan. Sekiranya ia tidak hilang dengan sekali azan, maka dituntut untuk mengulangi semula azan.

Demikian juga azan ketika dalam keadaan marah dan juga kepada orang yang buruk akhlak atau peribadinya. Sesiapa yang buruk peribadinya dari kalangan manusia atau haiwan, hendaklah diazankan pada telinganya. (Lihat I’anah al-Talibin, 1/267)

 

Dalam menjawab persoalan di atas berkenaan isu melaungkan azan bagi orang yang hendak bermusafir, kami nukilkan di sini beberapa pendapat fuqaha’ antaranya:

  • Imam Ibn Hajar al-Haitami

Beliau berkata: Turut disunatkan azan pada selain solat, sebagaimana azan kepada bayi yang baru dilahirkan, ketika dalam keadaan dukacita, ketika diganggu oleh jin, ketika marah, juga bagi sesiapa yang buruk akhlaknya dari kalangan manusia atau haiwan, ketika berlakunya pertembungan tentera, dan juga ketika berlakunya kebakaran…Demikian juga disunatkan azan ketika terdapat gangguan jin atau syaitan dan azan atau iqamah bagi mereka yang hendak bermusafir. (Lihat Tuhfah al-Muhtaj, 1/461)

Syarih menyebut: (Keterangan bagi seseorang yang hendak bermusafir) semestinya kedudukan sunat tersebut bukan pada musafir yang maksiat. Sekiranya dalam musafir yang demikian, maka tidak disunatkan. (Lihat Hawasyi al-Syarwani dan Ibn Qasim al-'Abbadi, 2/81)

  • Syeikh al-Bujairimi

Beliau menyebut: Dan disunatkan juga azan dan iqamah bagi seseorang yang hendak bermusafir. (Lihat Tuhfah al-Habib ‘ala Syarh al-Khatib, 2/49)

 

Kesimpulan

Berdasarkan kepada pandangan ulama’, kami berpendapat dibolehkan melakukan azan ketika hendak memulakan musafir. Terkadang-kadang, lafaz azan dan kalimat yang terkandung padanya banyak menginsafkan seseorang musafir serta boleh membantu dalam menentukan nawaitu dan niat ke arah yang lebih baik.

Justeru, marilah sama-sama kita melihat di sebalik lafaz azan yang memaknakan untuk membesarkan Allah SWT juga taqrir kalimah syahadatain, ajakan solat dan kalimah tauhid. Semuanya ini boleh menambahkan kepada kita sifat Muslim sejati yang sentiasa zikrullah dalam kehidupan termasuk ketika mahu bermusafir.