Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1354: ADAKAH BERDOSA MELIHAT ATAU MENONTON KARTUN YANG MENIMBULKAN SYAHWAT?

1354ELKAFI

SOALAN:

Assalamualaikum SS Mufti. Saya ingin bertanya, apakah hukum melihat kartun yang berupa manusia mendedahkan aurat sehingga menimbulkan syahwat? Adakah berdosa jika kita melihat atau menonton kartun tersebut?

Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke hari Kiamat.

Allah SWT memerintahkan orang yang beriman dalam kalangan lelaki dan perempuan supaya menjaga maruah diri dan menundukkan pandangan. Firman Allah SWT:

قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّـهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.

(Surah al-Nur: 30-31)

Menurut Ibn Kathir, ayat ini merupakan arahan daripada Allah SWT kepada hamba-hambaNya yang beriman supaya menjaga pandangan mereka daripada perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah SWT. Orang yang beriman diperintahkan hanya melihat kepada perkara yang diharuskan oleh syarak sahaja dan menundukkan pandangan mereka daripada melihat perkara yang diharamkan. (Rujuk Tafsir Ibn Kathir, 3:373)

Antara perkara yang diharamkan untuk dilihat secara ijma’ dalam kalangan ulama’ ialah aurat ajnabi  samada antara lelaki dan perempuan ataupun sesama jantina. (Rujuk al-Minhaj Syarh Sahih al-Muslim, 4:40).

Pengharaman ini ialah pada melihat kepada anggota badan yang aurat secara hakiki, termasuklah juga anggota  yang terpisah daripada badan. Pandangan ini sepertimana yang dikemukan oleh Imam Syihabuddin al-Qalyubiy yang menyebut:

وَالْحَاصِلُ أَنَّهُ يَحْرُمُ رُؤْيَةُ شَيْءٍ مِنْ بَدَنِهَا ، وَإِنْ أُبِينَ كَظُفُرٍ وَشَعْرِ عَانَةٍ وَإِبْطٍ وَدَمِ حَجْمٍ وَفَصْدٍ

Maksudnya: Kesimpulannya, haram melihat sesuatu daripada anggota badan perempuan ajnabiyyah, meskipun anggota badan yang terpisah dari badannya seperti kuku, rambut, bulu kemaluan, bulu ketiak, darah berbekam dan darah yang keluar dari pembuluh darah. (Rujuk Hasyiata al-Qalyubiy wal Umayrah, 3:29)

Walau bagaimanapun, bagi permasalahan melihat bayangan atau sesuatu yang bukan hakiki seperti kartun dan seumpamanya, Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam Syihabuddin al-Ramli menyebutkan bahawa: 

خَرَجَ مِثَالٌهَا فَلَا يَحْرُم نَظَرُهُ فِي نَحْوِ مِرْآةِ كَمَا أَفْتَى بِهِ غَيْرُ وَاحِد..وَ مَحَلُّ ذَلِكَ كَمَا هُوَ ظَاهِرٌ حَيْثُ لَمْ يَخْشَ فِتْنَةً وَ لَا شَهْوَة

Maksudnya: Terkeluar daripada hukum haram ialah melihat kepada bayangannya. Justeru tidak haram seorang lelaki melihat kepada pantulan cermin sebagai contoh, seperti mana yang telah difatwakan oleh ramai para ulama’.. Dan keharusan ini -seperti apa yang jelas baginya iaitu, apa yang tidak dikhuatiri timbulnya fitnah dan juga tidak bersyahwat. (Rujuk Tuhfat al-Muhtaj fi Syarh al-Minhaj, 7:192)

وَخَرَجَ مِثَالُهَا فَلَا يَحْرُم نَظَرُهُ فِي نَحْوِ مِرْآةِ كَمَا أَفْتَى بِهِ جَمْعٌ لِأَنّهُ لَمْ يَرَهَا..مَا لَمْ يَخَفْ مِنْهُ فِتْنَة

Maksudnya: Terkeluar daripada hukum haram ialah melihat kepada bayangannya. Justeru tidak haram seorang lelaki melihat kepada pantulan cermin sebagai contoh, seperti mana yang telah difatwakan oleh ramai para ulama’ kerana dia tidak melihatnya (secara hakiki).. apa yang tidak menimbulkan fitnah. (Rujuk Nihayat al-Muhtaj Syarh al-Minhaj, 6:187)

Oleh itu, dapat difahami daripada nas di atas bahawa jika sesuatu bayangan itu menimbulkan syahwat dan mendatangkan fitnah seperti kartun berupa manusia yang tidak menutup aurat dan melakukan aksi yang mengghairahkan maka hukumnya adalah haram.

Bahkan, setiap perkara yang jika dilihat akan menimbulkan syahwat maka hukumnya adalah haram, termasuklah juga benda-benda yang tidak bernyawa (jamadat), ini sepertimana yang disebut oleh Syeikh ‘Ali Syabramallisi:

أَمَّا النَّظَرُ بِشَهْوَةٍ فَحَرَامٌ قَطْعًا لِكُلِّ مَنْظُورٍ إلَيْهِ مِنْ مَحْرَمٍ وَغَيْرِهِ غَيْرِ زَوْجَتِهِ وَأَمَتِهِ شَرْحُ م ر قَالَ ع ش عُمُومُهُ يَشْمَلُ الْجَمَادَاتِ فَيَحْرُمُ النَّظَرُ إلَيْهَا بِشَهْوَةٍ

Maksudnya: Adapun melihat sesuatu dengan bersyahwat adalah haram secara pasti, ini termasuklah kepada segala apa yang dilihat seperti mahramnya, selain daripada isteri atau hamba miliknya, syarah Syeikh Muhammad al-Ramli. Berkata Syeikh ‘Ali Syabramallisi dalam hal ini, keumuman pengharaman ini meliputi benda-benda yang tidak bernyawa (al-jamadat), maka diharamkan juga melihat benda-benda yang tidak bernyawa dengan bersyahwat. (Rujuk Hasyiah Bujairimi ‘ala al-Minhaj, 3:326)

Oleh itu, dapatlah disimpulkan daripada pandangan di atas bahawa jika melihat sesuatu sehingga menimbulkan syahwat walaupun ia merupakan benda yang tidak bernyawa (jamadat), maka hukumnya juga adalah haram. Hal ini tidak menghairankan kerana terbukti ada penyakit mental yang disebut sebagai Objectophilia yang mempunyai tarikan seksual terhadap sesuatu objek.

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyatakan bahawa melihat bayangan perempuan ajnabiyyah melalui pantulan daripada cermin atau air, jika akan menimbulkan fitnah dan berserta dengan syahwat ketika melihatnya, maka hukumnya adalah haram bagi kebanyakan ulama’ besar Syafi’iyyah seperti Imam Ibn Hajar al-Haitami dan Imam Syihabuddin al-Ramli.

Justeru itu, pada zaman sekarang, melihat bayangan di dalam cermin atau air tersebut boleh diqiyaskan juga kepada semua bahan yang bercetak dan digital yang ada pada hari ini. Oleh itu, bagi menjawab soalan yang ditanya, kami tegaskan bahawa jika sekiranya kartun tersebut pada adatnya akan mendatangkan fitnah dan menimbulkan syahwat seperti berpakaian mencolok mata dan melakukan aksi-aksi yang mengghairahkan, maka hukumnya adalah haram sama sekali untuk melihat atau menontonnya.

Ini kerana perbuatan tersebut akan membuka jalan kepada perbuatan maksiat yang lebih besar, seperti rogol, zina dan seumpamanya. Rasulullah SAW telah melarang daripada perbuatan yang mendorong kepada zina termasuklah zina tangan dan zina mata. Baginda SAW bersabda:

إِنَّ اللَّهَ كَتَبَ عَلَى ابْنِ آدَمَ حَظَّهُ مِنَ الزِّنَا، أَدْرَكَ ذَلِكَ لاَ مَحَالَةَ ، فَزِنَا العَيْنِ النَّظَرُ، وَزِنَا اللِّسَانِ المَنْطِقُ ، وَالنَّفْسُ تَمَنَّى وَتَشْتَهِي ، وَالفَرْجُ يُصَدِّقُ ذَلِكَ كُلَّهُ وَيُكَذِّبُهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Allah SWT telah menetapkan keatas anak-anak Nabi Adam itu bahagiannya daripada perbuatan zina. Mereka pasti akan melakukannya tanpa syak lagi. Zina bagi mata ialah melihat kepada perkara yang diharamkan, zina bagi lidah pula ialah memperkatakan sesuatu yang tidak sepatutnya, zina nafsu pula ialah berharap dan ingin kepada perkara yang haram, lalu kemaluanlah yang menentukan samada ia membenarkan zina atau menghalangnya.

Hadith riwayat al-Bukhari : (6243) dan Muslim : (2657)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang jelas terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk tetap melakukan amal soleh dengan ikhlas semata-mata keranaNya. Amin.

WaAllahu a’lam.