Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1384: BELAJAR ILMU MELALUI INTERNET DAN TIDAK BERTALAQQI

belajar internet dan tak talaqqi.JPG

Soalan

Assalamualaikum. Apa pendapat mufti berkenaan pelajar yang belajar melalui internet dan sebagainya serta meninggalkan talaqqi?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَمَا كَانَ الْمُؤْمِنُونَ لِيَنفِرُوا كَافَّةً ۚ فَلَوْلَا نَفَرَ مِن كُلِّ فِرْقَةٍ مِّنْهُمْ طَائِفَةٌ لِّيَتَفَقَّهُوا فِي الدِّينِ وَلِيُنذِرُوا قَوْمَهُمْ إِذَا رَجَعُوا إِلَيْهِمْ لَعَلَّهُمْ يَحْذَرُونَ

Maksudnya: Dan tidaklah (betul dan elok) orang-orang yang beriman keluar semuanya (pergi berperang); oleh itu, hendaklah keluar sebahagian sahaja dari tiap-tiap puak di antara mereka, supaya orang-orang (yang tinggal) itu mempelajari secara mendalam ilmu yang dituntut di dalam ugama, dan supaya mereka dapat mengajar kaumnya (yang keluar berjuang) apabila orang-orang itu kembali kepada mereka; mudah-mudahan mereka dapat berjaga-jaga (dari melakukan larangan Allah).

Surah al-Taubah (122)

Al-Alusi berkata: “Hakikatnya, penggunaan 'untuk mengajar' (لِيُعْلِمُوْا) lebih sesuai berbanding 'memberi peringatan' (لِيُنذِرُوا) dan 'supaya mereka faqih' (يَتَفَقَّهُوْا) berbanding 'berjaga-jaga dari melakukan larangan Allah' (يَحْذَرُونَ). Akan tetapi, dipilih perkataan-perkataan tersebut berbanding istilah yang satu lagi sebagai isyarat bahawa matlamat guru hendaklah untuk memberi petunjuk dan peringatan. Sedangkan matlamat penuntut ilmu pula adalah untuk meraih rasa takut kerana Allah SWT, bukan bersenangan dan merasa takabbur dengan ilmu. (Lihat Ruh al-Ma’ani, 11/48)

Syeikh al-Maraghi berkata: Ayat ini diturunkan bagi melengkapkan hukum-hukum yang bersangkut dengan perjuangan. Iaitu hukum mengenai pencarian ilmu dan mendalami urusan agama. Ertinya, melalui mempelajari ilmu secara mendalam itu merupakan suatu cara berjuang yang menggunakan hujjah dan menyampaikan beberapa bukti dan juga merupakan suatu rukun yang terpenting dalam aspek menyeru kepada keimanan dan menegakkan sendi-sendi Islam. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/2937)

Dengan memahami nas Ilahi di atas, jelas menunjukkan perintah untuk menuntut ilmu melalui pembelajaran dan berguru. Inilah yang asalnya. Hal ini diperkuatkan lagi dengan hadis daripada Abi Darda’ R.A, sabda Rasulullah SAW:

يَا أَيُّهَا النَّاسُ إنَّمَا الْعِلْمُ بِالتَّعَلُّمَ وَالْفِقْه بِالتَّفَقُّهِ

Maksudnya: “Wahai sekalian manusia, adapun sesungguhnya ilmu itu dengan mempelajarinya dan fiqh itu dengan tafaqquh (memahaminya).”

Riwayat al-Tabarani dalam al-Mu’jam al-Kabir (395)

Berkata Al-Hafiz Abu Bakr al-Khatib al-Baghdadi berkata: “Tidak diambil sesuatu ilmu agama melainkan daripada mulut-mulut para ulama’.” (Lihat al-Faqih wa al-Mutafaqqih, 2/192)

Imam Muslim meriwayatkan dalam muqaddimah kitab Sahih Muslim daripada Muhammad ibn Sirin bahawa dia berkata:

إِنَّ هَذَا الْعِلْمَ دِيْنٌ فَانظُرُوْا عَمَّنْ تَأْخُذُوْنَ دِيْنَكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya ilmu ini adalah agama maka kamu lihatlah daripada siapakah kamu mengambil agama kamu.” (Lihat Muqaddimah Sahih Muslim, 1/11)

Abdullah Ibn al-Mubarak berkata:

الْإِسْنَادُ مِنَ الدِّيْنِ لَوْ لَا الْإِسْنَادُ لَقَالَ مَنْ شَاءَ مَا شَاءَ

Maksudnya: "Isnad itu adalah sebahagian daripada agama, sekiranya tidak ada isnad maka berkatalah seseorang itu apa yang hendak dikatakannya (bergantung kepada hawa nafsunya)" (Lihat Muqaddimah Sahih Muslim, 1/12)

Walaupun begitu, bagi mereka yang sudah memahami ilmu alat seperti Nahu, Sorof, Balaghah, Adab, Bahasa Arab di samping pelbagai disiplin ilmu, makanya mereka boleh membaca dan mentelaah dalam mendapatkan ilmu. Begitu juga mendapatkan ilmu melalui internet sebagai nilai tambah atau maklumat tambahan serta pengetahuan adalah dibolehkan tetapi bukan hanya semata-mata bergantung kepada internet. Hal ini telah disahkan oleh ramai ulama’ kerana adakalanya maklumat yang diletakkan dalam internet bercampur antara kebenaran dan kebatilan begitu juga sebahagiannya tidak mengikut disiplin ilmu. Kaedah yang masyhur menyebut:

إِنْ كُنْتَ نَاقِلًا فَعَلَيْكَ بِالتَّصْحِيحِ    وَإِنْ كُنْتَ مُدَّعِيًا فَعَلَيْكَ باِلدَّلِيلِ

Maksudnya“Jika sekiranya kamu menyatakan sesuatu hendaklah kamu mensahihkan dahulu berita itu, dan sekiranya kamu mendakwa hendaklah kamu menyatakan dalil atau bukti.”[1]

Penuntut ilmu hendaklah sentiasa bermuzakarah dengan para ulama’ dan membudayakan untuk bertanya jika terdapat keraguan dalam kefahaman sesuatu maksud. Inilah yang banyak dilakukan oleh salafus soleh agar kebenaran sentiasa bersama dengannya. Justeru, kepada mereka, hukum mempelajari dengan membaca dan mentelaah selepas melalui marhalah ta’lim dan penguasaan yang baik disiplin ilmu, maka ianya dibolehkan.

Bacalah sejarah bagaimana imam yang empat, Imam Abu Hanifah, Imam Malik, Imam al-Syafie, Imam Ahmad menuntut ilmu dari pelbagai tokoh ulama’ dan dalam tempoh masa yang lama. Ini jelas menunjukkan yang bahawa mereka sampai ke tahap mujtahid mutlaq atau mustaqil tetapi melazimi ilmu dengan berguru dan beriltizam dalam tempoh yang lama.

 

Kesimpulan

Kami katakan, sewajarnya menuntut ilmu dimulakan dengan talaqqi dan mengambil daripada mulut tuan-tuan guru secara syafawi. Inilah yang dilakukan oleh generasi awal Islam di kalangan sahabah yang mengambil daripada Rasulullah SAW. Begitulah generasi seterusnya.

Al-Syeikh Muhammad ‘Awwamah telah mengkaryakan satu buku, Ma’alim Irsyadiyah li Sina’ah Talib al-‘Ilmi yang menjelaskan bentuk talaqqi dan mempelajari ilmu di samping beliau juga membuat satu perbandingan antara sistem pembelajaran ilmu secara tradisional dengan sistem moden. Kami juga telah mengulas sedikit sebanyak melalui buku kecil kami yang bertajuk Tinta Nasihat Untuk Penuntut Ilmu.

229-396_4_3.jpg

tinta nasihat.jpg

 

Dengan pencerahan seperti ini diharap kita dapat menekuni ilmu dengan menuntut dan mempelajari dari masyayikh yang berkelayakan dan bukan semata-mata membaca sahaja tanpa berguru. Kami akhiri dengan doa kepada Allah:

اللّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefaqihan dalam agama dan ilmu dalam tafsir dan takwil al-Quran.”

اللَّهُمَّ إِنِّي أَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتَقَبَّلًا

Maksudnya: “Ya Allah! Aku memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Riwayat Ahmad (26521), Ibn Majah (925), Ibn Abi Syaibah
dalam al-Musannaf (29265) dan al-Baihaqi (1645)

 

_________________________________

Nota Hujung:

 

[1] Ini merupakan pendapat ulama' dalam bidang adab al-bahth wa al-munazarah. Ia telah dinyatakan oleh Fadilatu al-Syeikh al-Allamah Abd al-Rahman Habannakah dalam kitabnya Dawabit al-Ma'rifah wa Usul al-Istidlal wa al-Munazarah (hlm. 368 dan 381).