Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL KAFI #1389 : HUKUM MELAKUKAN SUJUD SYUKUR DI DALAM SOLAT

AK 1389

Soalan:

Assalamu’alaikum w.b.t. Saya ingin bertanya kepada tuan Mufti, adakah dibolehkan bagi seseorang itu untuk melakukan sujud syukur di dalam solat atau perlukah ia dilakukan di luar solat ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Sujud syukur merupakan salah satu ibadah yang dilakukan dalam proses menzahirkan kesyukuran kepada Allah S.W.T. Ia dilaksanakan kerana beberapa faktor seperti memperoleh nikmat atau terselamat dari bahaya dan malapetaka. Perbuatan sujud syukur ini disyariatkan berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Bakrah R.A beliau berkata:

أَنَّهُ كَانَ إِذَا جَاءَهُ أَمْرُ سُرُورٍ أَوْ بُشِّرَ بِهِ خَرَّ سَاجِدًا شَاكِرًا لِلَّهِ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi S.A.W ketika telah datang sesuatu perkara yang menggembirakan ataupun diceritakan sesuatu yang gembira dengannya, baginda akan turun sujud, bersyukur kepada Allah S.W.T.

Riwayat Abu Daud (2774)

Berkenaan dengan kaifiat atau tatacara sujud syukur, dari sudut sama ada ia memerlukan kepada berwuduk, menutup aurat, atau menghadap kiblat, maka kesemua perbahasan tersebut telah kami ulas dalam Irsyad Al-Fatwa Siri Ke-136: Sujud Syukur: Adakah Memerlukan Wudhu’ & Menghadap Kiblat ? yang boleh dicapai menerusi pautan berikut https://bit.ly/2m8t8K1

Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, kami kongsikan kenyataan dari para fuqaha bahawa tidak boleh untuk seseorang itu melakukan sujud syukur di dalam solat. Bahkan perbuatan tersebut membatalkan solat kecuali bagi seseorang yang jahil ataupun terlupa. Ia dianggap membatalkan solat kerana berlakunya penambahan dalam solat dengan perbuatan yang bukan sebahagian daripada solat.

Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah:

اتَّفَقَ أَصْحَابُنَا عَلَى تَحْرِيمِ سُجُودِ الشُّكْرِ فِي الصَّلَاةِ فَإِنْ سَجَدَهَا فِيهَا بَطَلَتْ صَلَاتُهُ بِلَا خِلَافٍ

Maksudnya: Para ashab kami (al-Syafi’eyyah) telah bersepakat akan keharaman melakukan sujud syukur di dalam solat. Maka sekiranya seseorang melakukan sujud syukur di dalam solat, terbatallah solatnya tanpa sebarang khilaf (perbezaan pendapat akan hal tersebut). Rujuk Al-Majmu’ Syarah al-Muhazzab, Al-Nawawi (4/68).

Hal ini kerana, sebab yang menjadikan seseorang itu melakukan sujud syukur seperti mendapat nikmat atau terlepas dari musibah itu bukanlah merupakan sebahagian dari perbuatan solat bahkan tidak berkaitan dengan ibadah solat itu sendiri. Ini seperti mana yang dinyatakan oleh Imam Ibn Qudamah Rahimahullah:

وَلَا يَسْجُدُ لِلشُّكْرِ وَهُوَ فِي الصَّلَاةِ. لِأَنَّ سَبَبَ السَّجْدَةِ لَيْسَ مِنْهَا. فَإِنْ فَعَلَ بَطَلَتْ صَلَاتُهُ، إلَّا أَنْ يَكُونَ نَاسِيًا أَوْ جَاهِلًا بِتَحْرِيمِ ذَلِكَ

Maksudnya: Dan seseorang itu tidak boleh melakukan sujud syukur dalam keadaan dia sedang solat. Ini kerana sebab sujud tersebut dilakukan bukan sebahagian daripadanya (perbuatan solat). Maka sekiranya seseorang itu melakukannya maka batallah solatnya. Melainkan dia melakukannya dalam keadaan terlupa atau tidak tahu akan pengharamannya. Rujuk Al-Mughni, Ibn Qudamah (1/449).

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa tidak boleh untuk seseorang itu melakukan sujud syukur di dalam solat. Sebaliknya, ia dilakukan di luar solat dengan kaifiat dan tatacara yang telah kami kongsikan di atas. Meskipun begitu, seseorang perlu jelas bahawa perbuatan solat itu sendiri hakikatnya merupakan suatu manifestasi kesyukuran seorang hamba kepada Tuhannya atas segala nikmat yang diperoleh. Ini dapat difahami berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Mughirah:

 قَامَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم حَتَّى تَوَرَّمَتْ قَدَمَاهُ فَقِيلَ لَهُ غَفَرَ اللَّهُ لَكَ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِكَ وَمَا تَأَخَّرَ قَالَ ‏أَفَلاَ أَكُونُ عَبْدًا شَكُورًا

Maksudnya: Nabi S.A.W mengerjakan qiyamullail sehingga bengkak kedua tapak kaki baginda. Lalu ditanyakan kepada baginda: ‘’Allah telah mengampunkan dosa-dosamu yang terdahulu dan yang akan datang’’. Maka baginda S.A.W menjawab: ‘’Apakah tidak patut aku ini menjadi seorang hamba yang bersyukur ?’’.

Riwayat Al-Bukhari (360)

Maka hadis ini jelas dalam menunjukkan bahawa cara Rasulullah S.A.W menzahirkan syukur atas nikmat terampunnya dosa-dosa adalah dengan melaksanakan solat malam itu sendiri.

Akhir kalam semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.