Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1397 : HUKUM MEMBERI SEDEKAH KEPADA ORANG KAYA

AK1397

Soalan:

Assalamu’alaikum S.S Mufti, adakah boleh untuk kita bersedekah kepada orang kaya ?

Jawapan:

Wa’alaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Bersedekah merupakan antara amal soleh yang amat besar fadhilat dan ganjaran yang diberikan kepada pelakunya. Firman Allah S.W.T:

مَّثَلُ الَّذِينَ يُنفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنبُلَةٍ مِّائَةُ حَبَّةٍ ۗ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَن يَشَاءُ ۗ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: Perumpamaan golongan yang membelanjakan harta mereka di jalan Allah adalah seperti satu biji benih yang menumbuhkan tujuh batang tangkai. Dan di setiap satu batang tangkai itu terdapatnya seratus biji benih. Allah melipat gandakan (ganjaran) bagi sesiapa yang Dia kehendaki dan Allah itu Maha Memberi Keluasan lagi Maha Mengetahui.

Surah Al-Baqarah (261)

Sebagaimana zakat yang disebut sebagai sedekah yang wajib itu mempunyai asnafnya yang tersendiri, demikianlah juga dengan sedekah-sedekah sunat juga turut disalurkan kepada golongan yang memerlukan. Ini bertepatan dengan firman Allah S.W.T:

وَإِن تُخْفُوهَا وَتُؤْتُوهَا الْفُقَرَاءَ فَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۚ وَيُكَفِّرُ عَنكُم مِّن سَيِّئَاتِكُمْ

Maksudnya: Dan sekiranya kamu menyembunyikannya (sedekah) dan memberikan sedekah kepada golongan faqir maka itu adalah lebih baik buat kamu serta akan menghapuskan dosa-dosa kamu.

Surah Al-Baqarah (271)

Meskipun begitu, dari sudut fekahnya memang terdapat perbahasan berkenaan hukum bersedekah kepada orang yang kaya. Antaranya adalah seperti yang disebutkan oleh Imam Al-Nawawi Rahimahullah:

تحل صدقة التطوع للأغنياء بلا خلاف ، فيجوز دفعها إليهم ويثاب دافعها عليها ولكن المحتاج أفضل قال أصحابنا ويستحب للغني التنزه عنها ويكره التعرض لأخذها

Maksudnya: Halal (dibolehkan) untuk bersedekah sunat kepada golongan kaya tanpa khilaf (akan keharusannya di sisi para ulama). Maka boleh untuk memberikan (sedekah) kepada golongan kaya dan diberi pahala kepada yang memberi sedekah tersebut. Akan tetapi (sedekah yang diberikan kepada) golongan yang memerlukan adalah lebih afdhal. Para ashab kami berkata: ‘’Dan disunatkan bagi orang yang kaya membersihkan diri (dari mengambilnya) serta dimakruhkan untuk berusaha ke arah mendapatkannya.’’

Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (6/39)

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa hukum bersedekah kepada orang kaya adalah harus. Ini berdasarkan kaedah fekah yang menyebutkan bahawa hukum asal bagi setiap perkara adalah harus selama mana tidak terdapat dalil yang melarangnya. Meskipun begitu, keutamaan dalam bersedekah adalah diberikan kepada golongan yang lebih memerlukan.

Kami menambah, keharusan bersedekah kepada orang kaya adalah dengan tujuan supaya mereka mengambil pengajaran dan kesedaran terhadap kepentingan amalan bersedekah, lalu mereka pun terinspirasi dengan memperbanyakkan sedekah melalui harta kurniaan Allah S.W.T kepada mereka. Hal ini berdasarkan sebuah hadis panjang yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

قَالَ رَجُلٌ لأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ‏‏ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدِ سَارِقٍ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ عَلَى سَارِقٍ‏.‏ فَقَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ لأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ‏ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدَىْ زَانِيَةٍ، فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ اللَّيْلَةَ عَلَى زَانِيَةٍ‏ فَقَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ عَلَى زَانِيَةٍ، لأَتَصَدَّقَنَّ بِصَدَقَةٍ‏‏ فَخَرَجَ بِصَدَقَتِهِ فَوَضَعَهَا فِي يَدَىْ غَنِيٍّ فَأَصْبَحُوا يَتَحَدَّثُونَ تُصُدِّقَ عَلَى غَنِيٍّ فَقَالَ اللَّهُمَّ لَكَ الْحَمْدُ، عَلَى سَارِقٍ وَعَلَى زَانِيَةٍ وَعَلَى غَنِيٍّ‏ فَأُتِيَ فَقِيلَ لَهُ أَمَّا صَدَقَتُكَ عَلَى سَارِقٍ فَلَعَلَّهُ أَنْ يَسْتَعِفَّ عَنْ سَرِقَتِهِ، وَأَمَّا الزَّانِيَةُ فَلَعَلَّهَا أَنْ تَسْتَعِفَّ عَنْ زِنَاهَا، وَأَمَّا الْغَنِيُّ فَلَعَلَّهُ يَعْتَبِرُ فَيُنْفِقُ مِمَّا أَعْطَاهُ اللَّهُ

Maksudnya: Seorang lelaki berkata bahawa dia ingin bersedekah. Lalu dia pun keluar membawa sedekahnya itu dan diberikan kepada seorang pencuri. Maka orang ramai pun berbual-bual tentang perbuatan sedekah kepada pencuri. Lelaki itu pun berkata : ‘’Segala puji bagi Mu ya Allah aku telah bersedekah.’’ Kemudian lelaki tersebut keluar dan membawa sedekahnya itu lalu diberikan kepada seorang penzina perempuan. Maka orang ramai pun bercakap-cakap tentang hal tersebut dan lelaki itu berkata: ‘’Ya Allah, segala puji bagi-Mu, aku telah bersedekah.’’ Kemudian beliau keluar bersedekah dan memberikannya kepada seorang yang kaya, maka orang ramai pun bercakap-cakap mengenai hal tersebut. Lalu dia berkata: ‘’Bagi-Mu segala pujian ya Allah’’. Kepada pencuri, penzina, dan juga orang kaya. Maka dikatakan kepada lelaki tersebut: ‘’Sedekah kamu kepada pencuri itu mudah-mudahan akan menyebabkan dia berhenti mencuri. Sedekah kepada penzina pula mudah-mudahan menyebabkan dia berhenti dari perbuatan zina. Manakala sedekah kepada orang kaya pula mudah-mudahan dia akan mengambil pengajaran, lalu dia juga turut membelanjakan apa yang telah Allah kurniakan kepadanya.’’

Riwayat Al-Bukhari (1421)

Justeru jika dilihat kepada seorang kaya yang besar pengharapan kita jika kita bersedekah kepadanya akan menyuntik perasaan suka bersedekah ke dalam jantung hatinya, maka diharuskan bersedekah kepadanya dalam keadaan seperti ini.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita dalam beragama. Ameen.