Soalan
Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Adakah azan yang dikumandangkan di radio atau televisyen perlu dijawab dan dibaca doa selepas azan tersebut?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Kami mulakan dengan sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr R.A, Nabi SAW bersabda:
إِذَا سَمِعْتُمُ الْمُؤَذِّنَ ، فَقُولُوا مِثْلَ مَا يَقُولُ ثُمَّ صَلُّوا عَلَيَّ ، فَإِنَّهُ مَنْ صَلَّى عَلَيَّ صَلاَةً صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ بِهَا عَشْرًا ، ثُمَّ سَلُوا اللَّهَ لِيَ الْوَسِيلَةَ ، فَإِنَّهَا مَنْزِلَةٌ فِي الْجَنَّةِ ، لاَ تَنْبَغِي إِلاَّ لِعَبْدٍ مِنْ عِبَادِ اللهِ ، وَأَرْجُو أَنْ أَكُونَ أَنَا هُوَ ، فَمَنْ سَأَلَ لِي الْوَسِيلَةَ حَلَّتْ لَهُ الشَّفَاعَةُ
Maksudnya: “Apabila kamu semua mendengar muazzin (melaungkan azan), maka sebutlah sebagaimana yang muazzin itu laungkan. Kemudian selawatlah ke atas ku. Sesungguhnya sesiapa yang berselawat sekali kepada ku, Allah akan berselawat kepadanya sebanyak 10 kali. Kemudian mohonlah kepada Allah agar aku mendapat wasilah. Sesungguhnya ia adalah satu kedudukan di syurga yang hanya layak kepada seorang hamba Allah. Aku berharap agar aku adalah orang tersebut. Sesiapa yang memohon wasilah untuk aku, maka syafaat ku akan diberikan kepadanya.”
Riwayat Muslim (384), Abu Daud (523) dan al-Nasa’ie (678)
Manakala dalam hadis yang diriwayatkan daripada Jabir bin 'Abdillah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ قَالَ حِينَ يَسْمَعُ النِّدَاءَ اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ وَالصَّلَاةِ الْقَائِمَةِ آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ وَالْفَضِيلَةَ وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ حَلَّتْ لَهُ شَفَاعَتِي يَوْمَ الْقِيَامَةِ
Maksudnya: Sesiapa yang membaca selepas mendengar seruan azan:
اللَّهُمَّ رَبَّ هَذِهِ الدَّعْوَةِ التَّامَّةِ ، وَالصَّلاَةِ الْقَائِمَةِ ، آتِ مُحَمَّدًا الْوَسِيلَةَ ، وَالْفَضِيلَةَ ، وَابْعَثْهُ مَقَامًا مَحْمُودًا الَّذِي وَعَدْتَهُ
Ya Allah, Tuhan kepada seruan yang sempurna dan solat yang akan didirikan. Berikan kepada Nabi Muhammad SAW wasilah dan kelebihan daripada Mu. Tempatkan baginda di tempat terpuji yang telah Engkau janjikan),
Maka syafaat ku akan diizinkan kepadanya pada hari kiamat.
Riwayat al-Bukhari (514), Abu Daud (529) dan Ibn Majah (722)
Syeikh Abdul Karim Khudair menyebut: “Azan yang diperdengarkan dari suatu alat di mana azan tersebut adalah secara langsung (live) dari Masjidil Haram melalui radio, atau dari salah satu masjid besar di kota (tertentu) yang disiarkan secara langsung (live) melalui radio, maka ia dianggap sebagai azan hakiki dan diperintahkan untuk menjawab. Azan secara live melalui radio tersebut, adalah sama halnya dengan azan yang disebarkan melalui alat pembesar suara.
Namun jika azan tersebut adalah hasil rakaman (di kaset atau CD) dan bukan secara langsung (live), maka muazzinnya kita anggap seperti tidak ada….Maka azan seperti ini tidak perlu dijawab dan tidak dianggap seperti hukum azan.”[1]
Kesimpulan
Walaupun begitu, kami berpendapat, selama mana kita mendengar azan dari radio sama ada secara rakaman atau live, maka hukum sunat menjawab adalah lebih aula kerana ia sejuzuk daripada syiar agama Allah yang dikumandangkan. Begitu juga, kadar penyampaian azan melalui radio dan TV jauh lebih meluas berbanding dengan azan di sebahagian masjid semata-mata. Kedua-duanya sama ada di masjid atau di radio dan TV adalah penting untuk menyedarkan ummah berkenaan dengan panggilan solat.
Semoga Allah kurniakan kita menjadi hambanya yang sentiasa mendirikan solat serta keturunan kita. Amin.
Kami akhiri dengan doa:
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: "Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. "Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan"
Surah Ibrahim (41-42)
Nota Hujung: