Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1404: HUKUM MEMAKAN KETAM BULU (HAIRY CRABS)

hukum makan ketam bulu.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apa hukum memakan Ketam Bulu (Hairy Crabs)?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Kami mulakan jawapan ini dengan definisi dan habitat Ketam Bulu (Hairy Crabs) agar kefahaman kita menjadi jelas. Ini bersesuaian dengan kaedah:

الحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَن تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Menghukum sesuatu perkara adalah cabang daripada gambaran mengenainya.”

 

Definisi dan Habitat Ketam Bulu

Ketam bulu atau Hairy Crabs/Chinese Mitten Crab adalah ketam yang bersaiz sederhana yang dinamakan kerana penyepitnya yang berbulu, menyerupai sarung tangan. Ia hidup di sungai, muara dan persisiran pantai di timur Asia dari utara Korea hingga ke wilayah Fujian di selatan China. Ia juga mula dikenali di Eropah dan utara Amerika di mana ia dianggap sebagai spesies invasif.

Ketam bulu pada kebanyakan masanya hidup di dalam air tawar dan kembali ke laut untuk membiak. Semasa tahun keempat atau tahun kelimanya pada akhir musim panas, haiwan ini berhijrah ke hilir dan mencapai kematangan jantina di muara.

Selepas mengawan, ketam betina menuju ke arah laut, menjalani musim sejuk di laut dalam. Ia kembali ke muara pada musim bunga untuk menetaskan telurnya. Selepas berkembang menjadi lava, ketam yang belum matang tersebut secara beransur-ansur mudik ke hulu sungai dalam air tawar, dan dengan itu melengkapkan kitaran hidup mereka.[1]

Dikatakan harga ketam tersebut boleh mencecah 90 Dolar sekilogram (lebih kurang RM 370)

 

Hukum Memakan Ketam Bulu

Selepas melihat kepada sifat dan habitatnya, kami berpendapat ia hampir sama dengan Ketam Nipah, maka hukumnya adalah harus dan boleh dimakan. Beberapa dawabit (garis panduan) makanan yang harus dimakan adalah, antara lain:

  • Tiada pengharaman di dalam al-Quran seperti khinzir.
  • Tiada pengharaman di dalam hadis seperti binatang buas dan binatang yang menyambar seperti helang.
  • Tidak bermudarat dan beracun.
  • Tidak memabukkan.
  • Bukanlah bersifat mustakhbathah atau keji di sisi orang Arab.

Justeru, berdasarkan kepada hujahan di atas, maka kami katakan hukum memakan Ketam Bulu (Hairy Crabs) adalah harus. Ini juga bertepatan dengan kaedah:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: “Hukum asal bagi sesuatu perkara ialah keharusan sehingga ada dalil yang menunjukkan kepada pengharaman.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazair oleh al-Suyuti, 1/60)

Begitu juga, binatang ma’ie (مائي) (binatang yang hidup di dalam air) ini – sama ada di dalam laut atau di dalam sungai – disebut oleh Rasulullah SAW dengan sabdanya:

هُوَ الطَّهُورُ مَاؤُهُ، الحِلُّ مَيْتَتُهُ

Maksudnya: Airnya suci, dan bangkainya suci (tidak perlu disembelih).

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Tirmizi (no. 68). Beliau menyebut: “Hadis ini Hasan Sahih. Aku telah bertanya kepada Imam Bukhari, lantas dijawabnya Sahih.” Hadis ini telah disahihkan oleh ramai ulama’ seperti al-Bukhari, al-Hakim, Ibn Hibban, Ibn al-Munzir, al-Tahawi, al-Baghawi, al-Khattabi, Ibn Khuzaimah, al-Daraqutni, Ibn Hazm, Ibn Taimiyyah, Ibn Daqiq al-‘Id, Ibn Kathir, Ibn Hajar dan lain-lain yang melebihi 36 orang ulama’. (Lihat Taudhih al-Ahkam, 1/115)

Secara tafsilnya, para ulama’ telah khilaf kepada tiga pendapat berkaitan binatang di lautan atau sungai, iaitu:

  • Mazhab Hanafi mengharuskan semua jenis ikan dan mengharamkan selainnya seperti anjing laut, khinzir laut dan ular kerana ia menyamai haiwan daratan. Justeru tidak dihalalkannya.
  • Mazhab Hanbali mengikut yang masyhur berpendapat adalah harus semua haiwan laut kecuali katak, ular dan buaya. Katak dan ular kerana dianggap keji sedangkan buaya mempunyai taring yang bersifat ganas.
  • Mazhab Malik dan Syafie mengharuskan kesemuanya tanpa pengecualian. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

أُحِلَّ لَكُمْ صَيْدُ الْبَحْرِ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu binatang buruan laut.”

Surah al-Maidah (96)

Justeru, sekali lagi kami nyatakan bahawa Ketam Bulu adalah halal dimakan sebagaimana qiyas kepada ketam-ketam yang lain serta hujahan yang telah kami kemukakan. Wallahu a’lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرِنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتِّبَاعَهُ، وَأَرِنَا الْبَاطِلَ بَاطِلًا، وَارْزُقْنَا اجْتنِاَبَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

MaksudnyaYa Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami bagi orang yang bertaqwa sebagai pemimpin

 

___________________________________________

Nota Hujung:

 

[1] Lihat "Chinese mitten crab" di The Washington Sea Grant Program [https://web.archive.org/web/20100928002933/http://www.wsg.washington.edu/mas/ecohealth/invasive_crabs/mitten_crab.html] dan "Ecology of Eriocheir sinensis" di Global Invasive Species Database [http://www.iucngisd.org/gisd/species.php?sc=38]. Dipetik dalam https://en.wikipedia.org/wiki/Chinese_mitten_crab