Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1406: CARA KELUAR DARIPADA SAF SOLAT APABILA BERHADAS

elkafi1406.png

 

SOALAN

Assalamualaikum Tuan Mufti. Boleh terangkan macam mana cara untuk seseorang itu keluar daripada saf jemaah sekiranya dia berhadas ketika sedang solat?

Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Allah SWT mensyariatkan solat sebagai salah satu rukun Islam yang wajib didirikan oleh umat Islam. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

إِنَّ الصَّلَاةَ كَانَتْ عَلَى الْمُؤْمِنِينَ كِتَابًا مَّوْقُوتًا

Maksudnya: Sesungguhnya sembahyang itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.

(Surah al-Nisa’: 103)

Terdapat perkara-perkara yang membatalkan solat, antaranya ialah dengan batalnya wuduk disebabkan oleh berlakunya hadas. Imam Abu Syuja’ menyebutkan enam sebab-sebab berlakunya hadas iaitu:

  • Keluar sesuatu daripada dua jalan (qubul dan dubur)
  • Tidur yang tidak tetap punggungnya.
  • Hilang akal disebabkan oleh mabuk atau penyakit.
  • Menyentuh jantina yang lain tanpa berlapik.
  • Menyentuh kemaluan dengan telapak tangan.
  • Menyentuh halaqah dubur(Rujuk Matan al-Ghoyah wa al-Taqrib: 18)

Apabila seseorang itu terbatal wuduk dengan berlakunya hadas ketika dia menunaikan solat, maka solatnya juga terbatal sepertimana yang disebutkan oleh Imam Nawawi dalam kitabnya, al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab bahawa:

فإذا أحدث المصلي في صلاته باختياره بطلت صلاته بالإجماع، سواء كان حدثه عمداً أو سهواً، سواء علم أنه في صلاة أم لا، وإن أحدث بغير اختياره بأن سبقه الحدث بطلت طهارته بلا خلاف

Maksudnya: Sekiranya seseorang yang mendirikan solat itu berhadas dalam solatnya dengan perbuatannya dalam solat, maka batal solatnya secara ijma’, tidak kira sama ada dia berhadas secara sengaja ataupun tidak, samada dia perasan dia berada di dalam solat atau tidak perasan. Jika sekiranya dia berhadas dengan tanpa perbuatannya, seperti dia telah berhadas sebelumnya, maka batal wuduknya juga tanpa khilaf.(Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5:88)

Hal ini kerana, apabila terbatal salah satu daripada syarat-syarat sah solat iaitu suci daripada hadas, maka terbatal jugalah solatnya. Imam al-Nawawi menyebutkan bahawa:

إذا قطع شرطا من شروطها كالطهارة و الستارة و غيرها بطلت صلاته

Maksudnya: Jika hilangnya satu syarat daripad syarat-syarat sah solat seperti suci daripada hadas, menutup aurat dan seumpamanya, maka terbatal jugalah solatnya. (Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4:3)

Apabila seseorang itu telah yakin bahawa solatnya telah terbatal, maka hendaklah dia segera keluar daripada solatnya seperti biasa dan tidak meneruskan solatnya tersebut.

Walaubagaimanapun, Rasulullah SAW ada mengajarkan tentang cara untuk seseorang keluar daripada saf apabila terbatal wuduknya ketika solat. Dalam satu hadith yang diriwayatkan oleh Abu Daud, daripada ‘Aisyah Ranha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إذا أحدث أحدُكم في صلاتِه فلْيأخذْ بأنفِه ثم لْينصرفْ

Maksudnya: Sekiranya seseorang itu berhadas ketika sedang mendirikan solat, hendaklah dia memegang hidungnya dan segera beredar daripada saf.

Hadith riwayat Abu Daud: (1114)

Rasulullah SAW menganjurkan supaya sesiapa yang berhadas ketika solat dan ingin keluar daripada safnya, hendaklah dia memegang hidungnya dan segera beredar dengan pantas. Hal ini supaya para jemaah yang lain menyangka bahawa seseorang yang keluar daripada saf solat tersebut disebabkan keluar darah dari hidungnya, maka dengan itu dapat menjaga air muka dan maruahnya. Selain itu, seseorang itu mungkin berasa keberatan dan malu untuk keluar disebabkan oleh hadas, maka perbuatan tersebut akan menyebabkannya tidak berasa terlalu segan.

Hikmah daripada anjuran Baginda SAW ini disebutkan oleh Imam al-Munawi RA dalam kitab Faidh al-Kadir Syarh Jami’ al-Saghir bahawa:

فلْيُمسِكْ أنفَه بيَدِه كأنَّه أصابَه رُعافٌ، أو سال مِن أنفِه دمٌ، ثمَّ يَخرُجُ مِن الصَّلاةِ، ويُعيدُ طهارتَه ووُضوءَه، ويَرجِعُ إلى صلاتِه؛ وذلك أنَّ صاحبَ الحَدَثِ ربَّما يتَحرَّجُ من النَّاسِ بخُروجِه مِن الصَّلاةِ بهذا السَّببِ، فإيهامُهم بالرُّعافِ أقلُّ تحرُّجًا عندَ خُروجِه مِن الصَّلاةِ.

Maksudnya: Hendaklah seseorang itu memegang hidungnya dengan tangannya seolah-olah dia mengalami pendarahan di hidungnya. Kemudian hendaklah dia keluar daripada solat tersebut dan mengulangi semula taharah dan wuduknya serta kembali kepada solatnya. Hal itu kerana seseorang yang berhadas tersebut boleh jadi merasa malu kepada orang lain apabila dia keluar daripada saf solat disebabkan oleh hadas. Maka dengan perbuatan tersebut akan menyebabkan dia tidak begitu merasa keberatan apabila dia keluar daripada saf solat.

وفيه إرشاد إلى إخفاء القبيح والتورية بما هو أحسن ولا يدخل في الرياء، بل هو من التجمل، واستعمال الحياء وطلب السلامة من الناس

Maksudnya: Dalam anjuran tersebut terdapat pedoman untuk menyembunyikan sesuatu yang buruk dan menutup keaiban dengan sesuatu yang baik. Ia tidak termasuk daripada perbuatan riya’, bahkan untuk menunjukkan sesuatu yang baik dan perasaan malu serta melindungi diri daripada kata-kata manusia. (Rujuk Faidh al-Kadir Syarh Jami’ al-Saghir, 1:239)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan dan perbahasan di atas, kami menyatakan bahawa apabila seseorang itu terbatal solatnya disebabkan hadas ketika solat berjemaah hendaklah dia segera keluar dan tidak meneruskan solatnya tersebut.

Jika dia berasa keberatan untuk keluar, maka hendaklah dia melakukan cara yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW supaya memegang hidungnya dengan tangannya. Ini supaya seolah-olah dia keluar disebabkan oleh darah yang keluar dari hidungnya dan bukannya disebabkan hadas, bagi menjaga air mukanya dan melindungi dirinya daripada kata-kata manusia.

Dalam hal ini kita dapat melihat betapa hikmahnya anjuran Rasulullah SAW dalam menggalakan seseorang untuk menjaga maruah diri dan tidak sesekali mencemarkannya. Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman terhadap agama-Nya serta memberikan taufiq dan hidayah untuk kita mengamalkan syari’at-Nya dengan sebaiknya. Amin.

WaAllahu a’lam.