Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1412: HAIWAN YANG HARUS UNTUK DIBUNUH DALAM ISLAM

HAIWAN HARUS DIBUNUH.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Adakah benar terdapat nas yang membenarkan untuk dibunuh haiwan-haiwan tertentu di dalam Islam?

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pertama sekali, Islam adalah agama ehsan yang tidak dengan sewenang-wenangnya membenarkan penganutnya membunuh makhluk lain dengan sesuka hati. Membunuh haiwan dengan sengaja tanpa sebarang sebab adalah tidak dibenarkan di dalam Islam. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abdillah ibn Amr R.Anhuma, Nabi SAW bersabda:

مَا مِنْ إِنْسَانٍ قَتَلَ عُصْفُورًا فَمَا فَوْقَهَا بِغَيْرِ حَقِّهَا ، إِلاَّ سَأَلَهُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ عَنْهَا ، قِيلَ يَا رَسُولَ اللهِ ، وَمَا حَقُّهَا ؟ قَالَ : يَذْبَحُهَا فَيَأْكُلُهَا ، وَلاَ يَقْطَعُ رَأْسَهَا يَرْمِي بِهَا

Maksudnya: “Tidaklah seseorang manusia membunuh seekor burung atau yang lebih daripada itu tanpa hak, kecuali Allah akan menyoalnya berkenaan burung itu.” Lalu Baginda ditanya, “Apakah haknya wahai Rasulullah?” Baginda menjawab, “Hendaklah dia menyembelihnya lalu memakannya, dan jangan memotong kepalanya lalu dibuangnya.”

Riwayat al-Nasaie (4349) dan Ahmad (11/110)

Kedua, dalam menjawab persoalan di atas, sememangnya terdapat nas yang membenarkan umat Islam untuk membunuh haiwan-haiwan tertentu. Ini kerana sesetengahnya mengancam nyawa manusia, melakukan kerosakan dan sebagainya.

Di dalam nas, ia disebut dengan istilah haiwan fasiq iaitu haiwan perosak yang boleh membawa mudarat dan bahaya kepada manusia. Ini sepertimana dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, Nabi SAW bersabda:

خَمْسٌ فَوَاسِقُ يُقْتَلْنَ فِي الْحَرَمِ الْفَأْرَةُ وَالْعَقْرَبُ وَالْحُدَيَّا وَالْغُرَابُ وَالْكَلْبُ الْعَقُورُ

Maksudnya: “Lima haiwan fasiq dan boleh dibunuh di tanah haram iaitu: tikus, kala jengking, burung helang, burung gagak, dan anjing gila atau ganas.”

Riwayat al-Bukhari (3314) dan Muslim (1198)

Lafaz “فَوَاسِق” berasal daripada bahasa Arab, iaitu (فَسِق) dan merupakan kata jama’ “فُوَيْسِق” iaitu "si kecil yang suka membuat kerosakan (kejahatan)”. Ia memberi makna sama, iaitu haiwan perosak, liar, buas, jahat, pengganggu, penceroboh dan berbahaya kepada manusia. (Lihat Lisan al-Arab, 10/310)

Perkataan "fasiq" pada haiwan adalah dengan maksud dicabut kehormatan pada sebahagian haiwan disebabkan sifatnya yang membawa kemudaratan, kehinaan dan kemusnahan kepada manusia. (Lihat Fath al-Bari, 4/45 dan Tuhfah al-Ahwazi, 3/375)

Lima jenis haiwan yang disebut sebagaimana yang diriwayatkan tidak bermaksud ia hanya khusus kepada lima jenis haiwan itu sahaja. Ia hanya merupakan salah satu bentuk i'tibar (contoh) dalam menyatakan jenis haiwan fasiq dan tidak menjadi dasar ketetapan dalam hujah dan hukum hanya bagi kelima-lima tersebut sahaja. Nabi SAW turut menyebutkan ular dan cicak dalam riwayat lain. (Lihat Fath al-Bari, 4/44)

Imam Ibn Daqiq al-Id menyebut: “Ini jelas menurut isyarat nas yang membolehkan membunuh kelompok haiwan tertentu, kerana sifatnya yang fasiq, yakni melampaui batas.” (Lihat Fath al-Bari, 10/208)

Imam al-Nawawi menyebut bahawa haiwan-haiwan tertentu digelar fasiq disebabkan keluarnya hanya mengganggu dan membuat kerosakan di jalan yang biasa dilalui oleh haiwan tunggangan. (Lihat Syarh al-Nawawi 'ala Sahih Muslim, 14/97)

Haiwan-haiwan fasiq yang disebut itu kesemuanya memiliki sifat zalim yang mengancam kesejahteraan hidup. Di dalam yang hadis lain, turut disebut dengan bilangan yang berbeza. Akan tetapi kesemuanya adalah bagi menunjukkan persepakatan ulama tentang 'illah sifat haiwan tersebut iaitu menyakiti ('aqur), tidak bermanfaat dan suka melakukan kerosakan pada manusia. (Lihat Syarh Sunan al-Nasa'ie al-Musamma Zakhirah al-Uqba fi Syarh al-Mujtaba, 24/390. Lihat juga al-Jami' li Ahkam al-Quran, 8/184)

 

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas, sememangnya terdapat haiwan yang dibenarkan untuk dibunuh di dalam Islam. Namun, kebenaran tersebut adalah di atas ‘illah tertentu seperti sifatnya yang suka melakukan kerosakan, boleh mendatangkan bahaya serta mengancam nyawa manusia. Disebabkan itu, ia dibenarkan untuk dibunuh. Ini juga boleh dikiaskan kepada haiwan lain yang boleh memberi bahaya kepada manusia seperti tebuan, lipan, labah-labah beracun, ular, buaya dan seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam mengamalkan setiap titah perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya. Amin.