Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1427: SOLAT DALAM KEADAAN MENGANTUK

SOLAT MENGANTUK.JPG

Soalan:

Apa yang perlu dibuat jika kita rasa mengantuk ketika solat? Adakah perlu kita batalkan solat dan tidur sebentar, kemudian solat semula?

 

Jawapan:

Alhamdulilah, segala puji dan syukur kami ucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami panjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti baginda sehingga hari kiamat.

Terdapat hadith yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, dimana Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا نَعَسَ أَحَدُكُمْ فِي الصَّلاةِ فَلْيَنَمْ حَتَّى يَعْلَمَ مَا يَقْرَأُ

Maksudnya: Jika salah seorang daripada kalian mengantuk ketika solat, hendaklah dia tidur hingga dia mengetahui apa yang dibaca.

Sahih al-Bukhari (213)

Menurut Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani, al-Muhallab menyatakan bahawa hadith ini merujuk kepada keadaan mengantuk ketika sedang qiamullail, namun Ibn Hajar menegaskan bahawa hadith ini turut terpakai untuk solat fardhu, dan seseorang itu boleh untuk tidur sebentar bagi menghilangkan rasa mengantuk sebelum solat fardhu, dengan syarat sempat solat sebelum tamatnya waktu solat tersebut. (Rujuk Fath al-Bari 1/315)

Menurut Imam al-Nawawi, hadith ini merupakan galakan agar kita solat dalam keadaan khusyuk, hati yang lapang dan bersemangat, dan suruhan untuk tidur atau perkara-perkara lain yang boleh menghilangkan rasa mengantuk. Tambah beliau lagi, hadith ini terpakai untuk solat fardhu dan solat sunat samada malam atau siang, dan ini merupakan pandangan mazhab Syafi’e dan jumhur ulama. Namun disyaratkan agar tidak terlepas atau terlajak daripada waktu solat. Namun terdapat juga pandangan yang menyatakan hadith ini hanya untuk solat qiamullail kerana ia merupakan waktu yang lazimnya kita sedang tidur, dan ini merupakan pandangan yang dipilih Imam Malik. (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim 6/74)

Selain itu, terdapat juga hadith lain yang lebih menjelaskan sebab mengapa perlu dihilangkan terlebih dahulu rasa mengantuk sebelum solat. Daripada Aisyah R.Anha, Rasullah SAW bersabda:

إِذَا نَعَسَ أَحَدُكُمْ وَهُوَ يُصَلِّي فَلْيَرْقُدْ حَتَّى يَذْهَبَ عَنْهُ النَّوْمُ، فَإِنَّ أَحَدَكُمْ إِذَا صَلَّى وَهُوَ نَاعِسٌ لاَ يَدْرِي لَعَلَّهُ يَسْتَغْفِرُ فَيَسُبَّ نَفْسَهُ

Maksudnya: Apabila salah seorang dari kalian mengantuk ketika solat, hendaklah dia tidur hingga hilang rasa mengantuk, kerana ketika salah seorang dari kalian solat dalam keadaan mengantuk, dia tidak tahu samada dia sedang meminta ampun daripada Allah SWT atau sedang mencela dirinya sendiri.

Sahih al-Bukhari (212), Sahih Muslim (786), Sunan Abi Dawud (1310), Sunan Tirmizi (355), Al-Muwatto’ Imam Malik (7/3)

Maka difahami daripada hadith ini, bahawa jika seseorang itu mengantuk hingga tidak sedar apa yang dibaca dan dituturkan ketika solat, maka hendaklah dia berhenti untuk tidur sebentar, atau melakukan apa sahaja perkara yang dapat menghilangkan rasa mengantuk seperti minum air, berjalan dan lain-lain.

Imam al-Baji pula sewaktu mensyarahkan hadith ini menambah bahawa jika kita mengantuk sewaktu solat fardhu dan masih banyak waktu berbaki sebelum habisnya waktu solat tersebut, atau ada orang yang boleh mengejutkannya untuk solat, maka hendaklah dia tidur sebentar. Adapun jika waktu solat sudah hampir luput, dan diyakini jika dia tidur akan terlajak hingga terlepas waktu, maka hendaklah dia teruskan solat dan berusaha melawan rasa mengantuk tersebut. (Rujuk Al-Muntaqa Syarh al-Muwatta’ 1/212)

 

Kesimpulan

Tuntasnya, kami nyatakan bahawa jika seseorang itu mengantuk hingga tidak sedar apa yang dibaca dan dituturkan ketika solat, maka hendaklah dia berhenti untuk tidur sebentar, atau melakukan apa sahaja perkara yang dapat menghilangkan rasa mengantuk seperti minum air, berjalan dan lain-lain.

Adapun jika rasa mengantuk itu ringan dan tidak menjejaskan kesedaran, maka hendaklah dia teruskan solat dan menahan rasa mengantuk yang ringan tersebut.

Wallahu a’lam.