Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1456 : BOLEHKAH MEMBERI AIR ZAMZAM KEPADA ORANG BUKAN ISLAM?

al Kafi 1456

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Saya ada satu persoalan. Baru-baru ini ibu saya menunaikan umrah dan telah mengirim air zamzam kepada kami. Semasa air zamzam tersebut tiba, kami tiada di rumah dan jiran kami yang bukan Islam telah menerimanya bagi pihak kami daripada pihak courier. Soalan saya, bolehkah saya menghadiahkan atau memberi minum sedikit air zamzam kepada mereka?

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

رَّبَّنَا إِنِّي أَسْكَنتُ مِن ذُرِّيَّتِي بِوَادٍ غَيْرِ ذِي زَرْعٍ عِندَ بَيْتِكَ الْمُحَرَّمِ رَبَّنَا لِيُقِيمُوا الصَّلَاةَ فَاجْعَلْ أَفْئِدَةً مِّنَ النَّاسِ تَهْوِي إِلَيْهِمْ وَارْزُقْهُم مِّنَ الثَّمَرَاتِ لَعَلَّهُمْ يَشْكُرُونَ

Maksudnya : (Nabi Ibrahim berkata) : “Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian daripada manusia tertarik kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.”

(Surah Ibrahim : 37)

Air zamzam adalah merupakan penghulu bagi segala air dan sebaik-baik air di atas muka bumi ini. Zamzam adalah merupakan nama bagi sebuah telaga yang berada di dalam Masjid Haram di Makkah. Kemunculan telaga ini adalah pada zaman Nabi Ismail bin Ibrahim 'Alaihimas Solatu wassalam, apabila Allah taala telah sediakan air daripada telaga ini bagi menghilangkan kelaparan dan dahaga buat dirinya dan juga ibunya, apabila mereka sudah kehabisan bekalan air di Makkah yang tandus pada ketika itu.

Keistimewaan air zamzam

Terdapat beberapa hadis yang menceritakan kepada kita berkenaan keistimewaan air zamzam, antaranya :

  1. Air zamzam adalah sebaik-baik air di atas muka bumi dan penawar daripada penyakit.

Daripada Abdullah bin Abbas R.Anhuma, bahawasanya Nabi SAW telah bersabda :

خَيْرُ مَاءٍ عَلَى وَجْهِ الْأَرْضِ مَاءُ زَمْزَمَ فِيهِ طَعَامٌ مِنَ الطُّعْمِ وَشِفَاءٌ مِنَ السُّقْمِ

Maksudnya : "Sebaik-baik air di atas muka bumi adalah air zamzam, padanya terdapat makanan yang mengenyangkan dan penawar daripada penyakit". [Lihat : Majma’ al-Zawaid wa Manba’ al-Fawaid (3/286) dan Silsilah al-Ahadis al-Sahihah (3/44-45) : Hadis ini telah diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Kabir, perawi-perawinya adalah tsiqah dan telah disahihkan oleh Ibnu Hibban]

  1. Air zamzam merupakan air yang diberkati dan boleh mengenyangkan sesiapa yang meminumnya.

Daripada Abu Zar R.Anhu bahawasanya Nabi SAW telah bersabda :

إِنَّهَا مُبَارَكَةٌ إِنَّهَا طَعَامُ طُعْمٍ

Maksudnya : "Sesungguhnya ia (air zamzam) air yang penuh dengan keberkatan dan ianya mengandungi makanan yang mengenyangkan". [HR Muslim (2473)]

  1. Peminum air zamzam akan memperoleh sesuatu, sebagaimana yang telah mereka hajatkan atau niatkan.

Daripada Jabir bin Abdillah R.Anhu telah mendengar Rasulullah SAW bersabda :

مَاءُ زَمْزَمَ لِمَا شُرِبَ لَه

Maksudnya : "Air zamzam itu, bergantung dengan apa yang diniatkan oleh peminumnya" [HR Ibnu Majah (3062)]

Bagi mendapatkan perbahasan lanjut berkenaan air zamzam dan kelebihannya, bolehlah merujuk kepada artikel kami di dalam Irsyad al-Hadith Siri ke-125 : Air Zamzam (ماء زمزم).

Memberi air zamzam kepada orang bukan Islam

Berbalik kepada soalan yang ditanyakan, kami tidak menemui satu pun larangan berkenaan memberikan air zamzam kepada orang bukan Islam sama ada dari sudut sejarah mahupun hadis Nabi SAW. Malah, ketika saat pembukaan kota Makkah, tiada satu pun di dalam ucapan Nabi SAW yang melarang orang-orang musyrik (bukan Islam) daripada meminum air zamzam, walaupun mereka masih lagi menetap di kota Makkah.

Syeikh Mustafa al-Adawi ketika ditanya berkenaan, adakah boleh orang bukan Islam meminum air zamzam? Beliau menjawab dengan ringkas :

لا مانعا من ذلك

Maksudnya : “Tiada larangan (tegahan) dalam hal tersebut”[1]

Bahkan, tidak mengapa jika kita menghadiahkannya sedikit air zamzam tersebut kerana telah membantu kita, khususnya dengan harapan nanti dia akan dilembutkan hatinya bagi memeluk agama Islam atau mengubah pandangannya menjadi lebih baik dan dekat kepada agama Islam.

Tambahan lagi, Islam tidak melarang penganutnya daripada berbuat baik kepada orang bukan Islam, namun sebaliknya menyeru penganutnya supaya berbuat baik dan berlaku adil walaupun kepada mereka (orang bukan Islam). Firman Allah SWT :

لَّا يَنْهَاكُمُ اللَّـهُ عَنِ الَّذِينَ لَمْ يُقَاتِلُوكُمْ فِي الدِّينِ وَلَمْ يُخْرِجُوكُم مِّن دِيَارِكُمْ أَن تَبَرُّوهُمْ وَتُقْسِطُوا إِلَيْهِمْ ۚ إِنَّ اللَّـهَ يُحِبُّ الْمُقْسِطِينَ

Maksudnya : “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang-orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu), dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu; sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil”

(Surah al-Mumtahinah : 8)

Kesimpulannya

Tuntasnya, kami menyimpulkan bahawa tidak terdapat tegahan atau larangan terhadap orang bukan Islam daripada meminum air zamzam. Bahkan, ia merupakan satu sikap yang terpuji kita membalas kembali perbuatan baik mereka dengan satu kebaikan yang lain seperti memberi (hadiah) air zamzam kepada mereka atau lain-lain. Mudah-mudahan, hati mereka dilembutkan untuk menerima Islam dan dapat melihat kebaikkan agama Islam.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita menjadi contoh teladan yang terbaik dalam menonjolkan akhlak-akhlak Islamiyyah kepada sesama manusia.

 

[1] Lihat : https://www.youtube.com/watch?v=B2BjJ7UPInU&feature=youtu.be. Telah diakses pada 30 November 2019.