Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ
carian

ak1461

Soalan

Assalamualaikum Dato. Saya ingin bertanya, saya seorang yang berkerja sendiri dengan membuat katering makanan dan pernah mendapat tander daripada kawan yang bukan islam saya untuk mengadakan satu majlis di dewan gereja. Bolehkah saya mengambil tander tersebut atau menolaknya.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji dan syukur diucapkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam dipanjatkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Jual Beli Dengan Bukan Muslim

Hukum jual beli pada asalnya adalah diharuskan, melainkan sekiranya terdapat perkara yang diharamkan. Ini seperti mana yang disebut di dalam kaedah fiqh:

الأصل في المعاملات الحل

Maksudnya: Hukum asal Muamalat itu adalah halal

Di dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah menyatakan, kaedah umum dalam jual beli bersama orang bukan Islam pada asalnya adalah dibolehkan ia seperti jual beli dengan orang Islam melainkan dalam hal jual beli yang bersangkutan dengan arak, babi dan bersamaan dengannya. (Lihat: al-mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 7/131)

Begitu juga perihal jual beli dengan golongan Non Muslim, Ini seperti yang dilakukan Baginda SAW hadis yang diriwayat Saidatina Aisyah RAnha:

اشْتَرَى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مِنْ يَهُودِيٍّ طَعَامًا بِنَسِيئَةٍ، وَرَهَنَهُ دِرْعَهُ

Maksudnya: Rasulullah SAW membeli makanan dari orang Yahudi dengan pembayaran bertangguh dan menjaminnya dengan menggadaikan baju besi baginda.

Riwayat al-Bukhari (2096) 

Kebenaran dan keharusan jual beli dengan Non Muslim di dalam semua keadaan melainkan jual beli kepada perkara kemaksiatan dan menegakkan syiar agama mereka.

Imam al-Nawawi di dalam syarah Muslim menyatakan, Ulama’ bersepakat (Ijma’) harus jual beli bersama ahli zimmah dan orang bukan islam yang lain. Begitu juga tidak harus (haram) bagi seorang muslim itu menjual senjata kepada musuh islam yang memerangi islam dan tidak boleh menolong mereka dalam menegakkan agama. (Lihat: Syarah al-Nawawi ala Muslim, 11/40)

Hukum Memasuki Gereja

Para Fuqaha’ berbeza pandangan berkenaan keharusan orang Islam memasuki tempat ibadat Non Muslim di antaranya:

  • Mazhab Hanafi berpendapat makruh bagi seseorang muslim itu memasuki Biara dan gereja. Ini kerana tempat berkumpulnya syaitan.
  • Mazhab Maliki, Hanbali dan sesetengan Mazhab Syafi’e berpendapat dibenarkan seseorang Muslim itu memasuki Biara, gereja dan selainnya.
  • Dan sebahagian Mazhab Syafi’e yang lain berpendapat tidak diharuskan bagi seseorang Muslim itu memasuki tempat beribadat Non Muslim melainkan dengan mendapat keizinan mereka.

(Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Quwaitiyyah, 38/155)

Selain itu, larangan memasuki rumah ibadat Non Muslim ketika hari perayaan mereka. Ini disebabkan Allah SWT murka tehadap perbuatan itu. Ini sepertimana athar yang diriwayatkan oleh Atha’ bin Dinar, berkata Saidina Umar RA:

لاَ تَدْخُلُوا عَلَى الْمُشْرِكِينَ فِي كَنَائِسِهِمْ يَوْمَ عِيدِهِمْ، فَإِنَّ السَّخْطَةَ تَنْزِل عَلَيْهِمْ

Maksudnya:  Janganlah kalian semua memasuki gereja-gereja orang musyrik pada hari raya mereka kerana kemurkaan (Allah) sedang turun kepada mereka.

Riwayat al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (18861)

Dan di antara dalil yang mengharuskannya seperti athar dinukilkan oleh Ibn Qudamah, diriwayatkan oleh Ibn A’iz dalam Futuh al-Sham,

“Bahawa golongan Nasrani menyediakan jamuan makan ketika kedatangan Umar ke Sham lalu mereka menjemputnya. Umar bertanya: Di mana (jamuan)? Mereka menjawab: Di dalam gereja. Umar memutuskan tidak mahu pergi lalu berkata kepada Ali: Pergilah kamu dengan orang lain, lalu makanlah. Ali pergi bersama-sama orang lain, memasuki gereka dan makan bersama orang Islam yang lain. Ali terlihat patung-patung lalu berkata: Apa salahnya jika Amir al-Mu’minin masuk dan makan.”

(Lihat: al-Mughni li Ibnu Qudamah, 7/283)

Selain itu, garis panduan berinteraksi dengan Non Muslim di dalam rumah ibadat mereka yang dinyatakan di dalam artikel Bayan Linnas Siri ke-152

Berkerja Di Gereja

Berkenaan orang Islam berkerja di dalam gereja, jumhur para fuqaha’ berpendapat, tidak harus seseorang muslim itu berkerja di gereja sebagai tukang kayu, perkerja pembinaan atau selainnya. Ini kerana membantu kepada kemaksiatan, membantu kepada tertegaknya agama mereka yang batil serta perkerjaan itu termasuk di dalam memuliakan agama dan syiar mereka.

Selain itu, mengikut pandangan mazhab Hanifah, sekiranya ia mengambil upah untuk berkerja di gereja atau mengimarahkannya, tidak mengapa ini kerana tidak berlaku maksiat pada perkerjaan itu sendiri.

(Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 38/158)

Dr. Wahbah Zuhaili di dalam kitabnya menyatakan, mengikut pandangan Abu Hanifah, diharuskan seseorang muslim itu mengambil upah atas dirinya, kenderaannya dan haiwannya kepada gereja. Dan pada pandangan Mazhab-mazhab yang lain memakruhkannya kerana membantu kepada kemaksiatan. (Lihat: al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/2688)

Kesimpulan

Berdasarkan dalil dan pandangan para fuqaha’ dapat disimpulkan disini:

  • Secara umumnya jual beli dengan rakan Non Muslim pada asasnya adalah diharuskan melainkan dalam perkara kemaksiatan dan mendatangkan kemudharatan terhadap umat islam. Dan urusan jual beli itu bukan bertujuan untuk ibadah yang dilakukan oleh mereka.
  • Diharuskan memasuki rumah ibadat Non Muslim sekiranya mendapat kebenaran dan mematuhi garis panduan yang ditetapkan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia kali ke 68[1]
  • Jumhur fuqaha’ memakruhkan berkerja dengan mengambil upah daripada pihak gereja, ini kerana membantu kepada kemaksiatan serta perkerjaan itu termasuk di dalam memuliakan agama mereka.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, mengambil tender untuk jamuan makan di gereja adalah dibolehkan sekiranya majlis itu tidak melibatkan secara langsung dengan kemuliaan, ritual dan perayaan agama mereka. Dan ia juga harus meneliti situasi dan keperluannya terhadap pengambilan tender tersebut.

Sebaiknya, walaupun terdapat perbezaan pendapat dikalangan fuqaha’ kami mencadangkan supaya keluar daripada khilaf adalah lebih diutamakan, seperti kaedah ada menyebut:

الخروج من الخلاف مستحب

Maksudnya: Keluar dari khilaf itu amat dituntut

Justeru, sebaiknya menolak pengambilan tender tersebut dengan cara yang baik, ini kerana supaya tidak bercampur dan bersubahat di dalam amalan ibadat agama mereka. Selain itu, sebaiknya memberi penerangan secara berhikmah berkenaan dengan hal ini. Ini kerana, perkara akidah merupakan perkara yang darurat di dalam agama Islam. Dan diketahui urusan agama adalah perkara yang bersifat qati’e dan perlu diberi perhatian sebaiknya.

Semoga Allah SWT memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya seterusnya memberikan kekuatan kepada kita untuk mengamalkannya. Amin.

Selain itu, untuk maklumat yang lebih lanjut sila rujuk artikel berikut:

  • BAYAN LINNAS SIRI KE- 152: HAD BERINTERAKSI DENGAN AGAMA LAIN DI DALAM RUMAH IBADAT MEREKA DI MALAYSIA
  • BAYAN LINNAS SIRI KE-155: KONSEP FIQH Al-TA’AYUSH: ISU DI MALAYSIA DAN PENYELESAIANNYA
  • AL-KAFI #994: HUKUM MENJUAL AIR TEBU UNTUK KEGUNAAN SEMBAHYANG AGAMA LAIN
  • AL-KAFI #853: HUKUM MENGGUNAKAN KHIDMAT PARKIR BERBAYAR DI GEREJA
  • AL-KAFI #732: HUKUM MEREKA BENTUK TEMPAT MAKSIAT
  • AL-KAFI #275: MUSLIM MEREKA BENTUK GEREJA

 

[1] http://www.islam.gov.my/rujukan/garis-panduan/115-garis-panduan-orang-islam-turut-merayakan-hari-kebesaran-agama-orang-bukan-islam