Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1481 : HUKUM MENGENAKAN DENDA KERANA LEWAT MEMULANGKAN BARANG PINJAMAN

ALKAFI DENDA 1481

SOALAN

Assalamualaikum. Saya nak bertanyakan tentang denda lewat menghantar buku pinjaman di perpustakaan atau pusat sumber sekolah. Adakah denda tersebut merupakan sejenis riba? Sebab kan konsep riba ialah jika masa bertambah, harga yang perlu dibayar juga bertambah.

 

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga baginda, sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda ﷺ.

Pinjaman ialah salah satu amal kebaikan dan muamalah yang dituntut dalam Islam yang mana dengan meminjamkan barang, kita dapat saling bantu-membantu dalam memenuhi hajat orang lain.

Firman Allah Ta’ala:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ

Maksudnya: “Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa”

(Surah al-Maidah: 2)

Menurut Istilah syara’, pinjaman ialah membenarkan penggunaan sesuatu yag halal digunakan dengan mengekalkan keadaan asal. Oleh itu, apabila peminjam telah selesai menggunakan barang pinjaman, atau telah sempurna segala tujuan peminjaman dn berlalu tempoh yang telah ditetapkan, maka peminjam perlu memulangkan semula barang pinjaman. [Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Shafie 3/193]

Dari Safwan bin Umayyah RA, Rasulullah ﷺ bersabda:

عاريّة مؤدّاة

Maksudnya: “Pinjaman perlu dipulangkan.”

Riwayat al-Tirmizi (39)

Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya, pemilik barang pinjaman boleh meletakkan syarat (muqayyad) seperti mengehadkan cara penggunaan atau tempoh penggunaan barang yang dipinjam. Contohnya seperti mengehadkan penggunaan kereta yang dipinjam hanyalah di dalam kawasan kampung atau terhad kepada tiga orang penumpang atau meminjam dalam masa seminggu sahaja.

Maka apabila pihak yang meminjam barang tidak mematuhi syarat yang telah dipersetujui dengan melebihi had syarat tersebut, maka dia hendaklah membayar denda (dhaman) mengikut kebiasaan (ujrah misl) atau mengikut kadar yang ditetapkan oleh pemilik barang itu. Hal ini disebabkan, peminjam barang telah menggunakan barang melebihi had yang diizinkan oleh pemilik barang. [Rujuk: Raudhah al-Tholibin 4/434]

Kesimpulan

Penambahan bayaran denda apabila bertambah hari bukanlah sejenis riba. Hal ini disebabkan, bayaran denda itu sebagai ganti rugi menggunakan barang tanpa keizinan pemilik. Tujuan dikenakan bayaran denda tersebut supaya peminjam tidak melambat-lambatkan untuk memulangkan barang tersebut mengikut masanya.

Akhir kalam, semoga Allah SWT sentiasa memberikan kita kebaikan dan kefahaman yang sahih dalam urusan kehidupan kita. Wallahua’lam.