Assalamualaikum ustaz. Saya ada satu soalan, ketika saya sedang makan di dalam kedai kawan saya datang bagi salam. Ketika itu, makan masih ada dalam mulut, adakah wajib bagi saya untuk menjawab salam ketika itu.
Jawapan
Waalaikumsalam. Alhamdulillah, segala puji dan syukur dipanjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Ucapan salam merupakan ucapan sejahtera dan selamat bertujuan memberi penghormatan sesama saudara muslim. Kebiasaan lafaz yang digunakan seperti assalamualaikum, salam sejahtera dan ucapan selamat yang lain. Firman Allah SWT:
وَإِذَا حُيِّيتُم بِتَحِيَّةٍ فَحَيُّوا بِأَحْسَنَ مِنْهَا أَوْ رُدُّوهَا ۗ إِنَّ اللَّـهَ كَانَ عَلَىٰ كُلِّ شَيْءٍ حَسِيبًا
Maksudnya: “Dan apabila kamu diberikan penghormatan dengan sesuatu ucapan hormat (seperti memberi salam), maka balaslah penghormatan itu dengan yang lebih baik daripadanya, atau balaslah dia (dengan cara yang sama). Sesungguhnya Allah sentiasa menghitung tiap-tiap sesuatu”.
(Surah al-Nisa’, 86)
Di dalam mentafsirkan ayat di atas, Syeikh al-Sa’di menyatakan di dalam kitabnya: Ucapan salam merupakan lafaz yang diucapkan dan dijawab kepada seseorang untuk memuliakan dan mendoakan kebaikannya. (Lihat: Tafsir al-Sa’di, 1/191)
Hukum Menjawab dan Memberi Salam
Pada asalnya hukum memberi salam adalah disunatkan, ini merupakan pandangan Mazhab Maliki, Syafi’e dan Hanbali. Dan menjawab salam itu adalah diwajibkan dan sekira diberikan salam itu kepada sekumpulan manusia maka hukumnya fardhu kifayah ke atas mereka. (Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 25/161)
Selain itu Imam Nawawi menyatakan di dalam kitabnya: Hukum memulakan salam itu adalah sunat muakkad… Adapun hukum menjawab salam adalah fardu atau wajib secara ijma’. Sekiranya seseorang memberi salam kepada seseorang yang lain maka yang kedua itu wajib menjawabnya sebagai fardu ain. Manakala sekiranya diberi salam kepada sekelompok manusia, maka menjawabnya menjadi fardu kifayah. (Lihat: al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 4/493-494)
Selain itu boleh rujuk untuk lebih lanjut dalam laman web PMWP:
- AL-KAFI #666: HUKUM MEMBERI SALAM BERLAINAN JANTINA
- AL-KAFI #1380: HUKUM MENJAWAB KIRIMAN SALAM
- AL-KAFI #1453: HUKUM MENJAWAB SALAM YANG BERTULIS
- IRSYAD AL-HADITH SIRI KE-156: ADAB MEMBERI SALAM
Dalam keadaan seseorang itu sibuk melakukan sesuatu perkara seperti membaca al-Quran, berzikir, makan dan ketika di dalam tandas para fuqaha’ membahagikannya kepada beberapa keadaan di antaranya:
- Sekiranya seseorang itu sedang membaca al-Quran dan terdapat seseorang memberi salam kepadanya, maka cukup sekadar menjawab salam dengan memberi isyarat kepadanya. Dan dibolehkan menjawab dengan lafaz salam kemudian menyambung semula dengan bacaan istia’zah dan melanjutkan bacaan al-Quran.
- Tidak dibenarkan memberi salam kepada seseorang yang tengah menjamu selera dan di dalam mulutnya masih terdapat makanan. Dan sekiranya terdapat seseorang memberi salam maka tidak wajib menjawabnya ketika itu. Namun sekiranya tidak terdapat halangan untuk menjawabnya seperti tidak terdapat makanan di dalam mulutnya, maka wajib menjawabnya.
- Memberi salam kepada seseorang yang sedang menunaikan hajat di dalam tandas dan seseorang yang sedang tidur maka hukumnya adalah makruh. Serta tidak wajib menjawabnya.
(Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 25/164)
Perihal masalah ini, imam Nawawi di dalam kitabnya menyatakan’ “sekiranya seseorang itu sedang membuang air, berjimak atau seumpanya maka makruh memberi salam ke atasnya dan tidak perlu menjawabnya. Begitu juga seseorang yang tidur, mengantuk, solat, melaungkan azan atau seumpamanya maka salam itu tidak memberi kesan ke atasnya. Di dalam keadaan seseorang itu sedang makan dan makanan masih terdapat di dalam mulutnya maka tidak perlu untuk menjawabnya dan sekiranya tidak terdapat makanan di dalam mulutnya maka dibolehkan memberi salam dan wajib untuk menjawab salam.”
(Lihat: al-Azkar li al-Nawawi, 1/415)
Kesimpulan
Berbalik kepada persoalan di atas dan dalil yang diberikan, maka dapat di simpulkan kepada beberapa keadaan:
- Sekiranya seseorang itu sedang menjamu selera dan terdapat makanan atau ia sedang mengunyah makanan di dalam mulutnya maka makruh memberi salam kepadanya dan tidak perlu menjawab salamnya.
- Sekiranya seseorang di dalam mulutnya tidak mempunyai makanan atau tidak mengunyah makanan maka dibolehkan memberi salam kepadanya serta wajib menjawab salam
Oleh itu, di dalam hal ini seharusnya pemberi salam memerhati situasi seseorang yang hendak diberikan salam ke atasnya supaya tidak mengganggunya.
Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.