Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1494 : HUKUM TIDUR SEMASA KHUTBAH JUMAAT

 AK1494

 

Soalan :

Assalamu’alaikum w.b.t. Saya ingin bertanya kepada S.S Mufti, sekarang ini kita lihat ramai jemaah yang tidur semasa khutbah Jumaat. Adakah keadaan ini turut menjadikan pelakunya sebagai seorang yang lagha ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Mendengar khutbah jumaat adalah dituntut. Sekalipun para fuqaha berbeza pendapat tentang hukumnya di antara wajib dan juga sunat, akan tetapi tetap menjadi tuntutan dan keutamaan bagi mereka yang hadir untuk mendengar khutbah dengan teliti.

Secara asasnya, terdapat dua perkara umum yang menjadikan seseorang itu dianggap sebagai lagha solat jumaatnya. Kami nyatakan perinciannya seperti berikut:

Pertama: Perkataan

Sebarang ucapan dan perkataan yang berlaku semasa khutbah Jumaat sedang berlangsung, akan menyebabkan pelakunya menjadi lagha. Ini berdasarkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:

إِذَا قُلْتَ لِصَاحِبِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ أَنْصِتْ‏ وَالإِمَامُ يَخْطُبُ فَقَدْ لَغَوْتَ ‏

Maksudnya: Apabila kamu berkata kepada sahabat kamu: “Diamlah” ketika imam sedang berkhutbah pada hari Jumaat, maka sesungguhnya kamu telah lagha.

Riwayat Al-Bukhari (934)

Hadis di atas ini menjadi dalil bahawa sebarang ucapan sekalipun berbentuk amar makruf (arahan kepada kebaikan) dan nahi munkar (mencegah kemungkaran) adalah dilarang semasa khutbah sedang berlangsung serta menyebabkan pelakunya menjadi lagha. Dan pengertian lagha di sisi para ulama membawa kepada makna yang berikut;

  1. Tidak mendapat sebarang pahala.
  2. Fadilat jumaat seseorang itu terbatal.
  3. Solat jumaatnya menjadi solat zohor sahaja.

Berdasarkan hadis di atas juga, dalalah al-muwafaqah (petunjuk yang bertepatan) membawa kepada larangan berkata-kata semasa khutbah. Sekalipun ucapan ‘’diamlah’’ itu suatu nahi munkar, namun ia dianggap sebagai lagha. Maka ucapan-ucapan selain dari itu adalah lebih utama untuk dinilai sebagai lagha.

 

Kedua: Perbuatan Anggota Badan

Sebarang pergerakan dan perbuatan yang menyebabkan hilang tumpuan dan fokus kepada khutbah yang disampaikan turut menyebabkan seseorang itu menjadi lagha. Hal ini berdalilkan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A bahawa Nabi S.A.W bersabda:

مَنْ تَوَضَّأَ فَأَحْسَنَ الْوُضُوءَ ثُمَّ أَتَى الْجُمُعَةَ فَاسْتَمَعَ وَأَنْصَتَ غُفِرَ لَهُ مَا بَيْنَهُ وَبَيْنَ الْجُمُعَةِ وَزِيَادَةُ ثَلاَثَةِ أَيَّامٍ وَمَنْ مَسَّ الْحَصَى فَقَدْ لَغَا

Maksudnya: Sesiapa yang berwuduk dan dia perelokkan wuduknya, kemudian dia pergi menuju solat jumaat serta mendengar (khutbah) dengan teliti, dan diam (semasa khutbah), akan diampunkan dosa-dosanya dalam tempoh antara dirinya dan juga hari jumaat (yang akan datang), serta pertambahan 3 hari lagi. Dan sesiapa yang bermain dengan batu kecil, maka dia telah lagha.

Riwayat Muslim (857)

Berdasarkan hadis di atas, dapatlah difahami bahawa perbuatan bermain-main batu kecil ketika khatib sedang berkhutbah adalah dilarang, serta menjadikan pelakunya lagha. Hal ini diluaskan lagi kepada perbuatan-perbuatan lain yang menyebabkan hilangnya fokus dan tumpuan dalam mendengar khutbah. Ia seperti bermain telefon bimbit, tidur, makan dan minum tanpa sebab dan seumpamanya.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa tidur ketika khutbah sedang berlangsung turut menafikan tumpuan dan fokus kepada mendengar khutbah yang dituntut. Oleh kerana itu, ia turut termasuk dalam perkara yang dilarang semasa khutbah.

Imam Muhammad bin Sirin berkata : ‘’Para salaf terdahulu mereka tidak suka kepada perbuatan tidur semasa imam sedang berkhutbah dan mereka mengucapkannya dengan kenyataan yang begitu tegas’’. Iaitu dengan menyifatkan orang yang tidur semasa khatib sedang berkhutbah seperti tentera perang yang pulang dalam keadaan yang gagal (tidak mendapat ghanimah iaitu harta rampasan perang). Rujuk Al-Jamik Li Ahkam al-Quran, Al-Qurtubi (18/117).

 

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa hukum tidur dengan sengaja ketika khatib sedang berkhutbah adalah ditegah dan menjadikan pelakunya sebagai lagha. Namun sekiranya seseorang jemaah itu tertidur secara tidak sengaja boleh jadi disebabkan terlalu letih, maka ini tidaklah termasuk di dalam larangan tersebut.

Meskipun begitu, kami mencadangkan kepada para jemaah yang mengantuk untuk melakukan beberapa perbuatan yang boleh membantu dirinya untuk menghilangkan mengantuk dan seterusnya menumpukan fokus kepada mendengar khutbah dengan cara yang telah kami sebutkan secara panjang lebar dalam ruangan Al-Kafi #700 : Hukum Beralih Tempat Duduk Ketika Khutbah Jumaat yang boleh dibaca menerusi pautan berikut https://bit.ly/2PnEk1O

Kami juga menyarankan para imam supaya sentiasa memperbaiki cara penyampaian dengan menjadikan ia sebagai khutbah yang menarik tumpuan dengan melontarkan intonasi suara yang lunak serta memberi kesan, serta tajuk-tajuk yang dekat dengan jiwa supaya para jemaah dapat mendengar dengan penuh teliti dan fokus.

Akhir kalam, kami berdoa supaya Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.