Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ

AK1497

Soalan :

Assamualaikum Dato. Saya nak tanya bolehkah menantu saya (lelaki) bersalaman dengan mak saya ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Dari sudut bahasa, terdapat beberapa pengertian bagi perkataan mahram. Antaranya kami ringkaskan dalam beberapa noktah berikut:

  • Individu yang diharamkan untuk seseorang berkahwin dengannya sama ada disebabkan hubungan rahim atau kerabat.
  • Sesuatu yang diharamkan oleh Allah S.W.T.

Manakala dari sudut istilah para fuqaha’ mahram bermaksud: ‘’Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’. Rujuk Kaasyifah al-Saja, Nawawi bin ‘Umar (Hlm. 114).

Dalam menghuraikan makna-makna ayat dalam pendefinisian di atas, kami perincikan ia seperti berikut:

Pada perkataan ‘’dalam bentuk al-ta’bid’’ membawa maksud: Ia tidak termasuk adik beradik perempuan kepada isteri. Begitu juga ibu saudara isteri dari sebelah ayah dan juga ibu saudara isteri dari sebelah ibu. Ini kerana pengharaman mereka itu dari sudut apabila dihimpunkan bersama sahaja (iaitu berkahwin dalam masa yang sama antara isteri dan ibu-ibu saudara mereka atau adik beradik perempuan mereka).

Manakala perkataan ‘’bukan kerana kemuliaannya’’ merujuk kepada isteri-isteri Nabi S.A.W. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan kemuliaan mereka. Mereka diharamkan kepada keseluruhan umat dan juga ke atas para Nabi juga.

Dan perkataan ‘’bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’ adalah seperti wanita majusi, ataupun wanita yang murtad. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan penghalang yang boleh hilang. Maka boleh menjadi halal pada waktu yang lain (seperti apabila mereka memeluk Islam).

Penjelasan berkenaan dengan golongan yang dianggap sebagai mahram ini ada dinyatakan dalam firman Allah S.W.T :

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Surah Al-Nisa’ (23)

Imam Al-Mawardi Rahimahullah menukilkan kata-kata Imam Al-Syafi’e yang menyebut :

أَصْلُ مَا يَحْرُمُ بِهِ النِّسَاءُ ضَرْبَانِ أَحَدُهُمَا بأنسابٍ، وَالْآخَرُ بأسبابٍ مِنْ حَادِثِ نكاحٍ أَوْ رضاعٍ

Maksudnya : Asal perkara yang menjadikan seorang wanita itu mahram adalah dua bahagian. Pertamanya adalah ansab (nasab keturunan) dan berikutnya adalah asbab (sebab-sebab), iaitu daripada pernikahan atau susuan. Rujuk Al-Hawi Al-Kabir, Al-Mawardi (9/196).

Kemudian Imam Al-Mawardi menghuraikannya dengan lebih lanjut melalui katanya : Wanita yang mahram itu ada dua kategori. Pertamanya : Bahagian yang mana individu ini haram secara selamanya. Manakala bahagian yang lain adalah haram untuk dihimpunkan (dalam satu masa yang sama sahaja). Dan bahagian yang individunya menjadi mahram selamanya ada dua bahagian iaitu melalui nasab serta asbab (perkahwinan dan susuan). Rujuk Al-Hawi Al-Kabir, Al-Mawardi (9/196).

Implikasi mahram dalam kategori nasab dan juga asbab (perkahwinan dan susuan) ini adalah seperti berikut :

  • Haram berkahwin dengannya.
  • Boleh bersalaman dengannya.
  • Boleh bersendirian (berkhalwat) bersamanya.

Justeru, berbalik kepada persoalan yang dikemukakan di atas, kami menyatakan bahawa termasuk dalam kalangan mahram itu adalah ibu-ibu kepada isteri. Ini berdasarkan firman Allah S.W.T :

وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ

Maksudnya : (Dan diharamkan ke atas kamu) ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu.

Surah Al-Nisa’ (23)

Nas di atas menjadi hujah sandaran bagi Imam Al-Syafi’e dalam menguatkan kenyataan beliau : Sekiranya seorang lelaki itu berkahwin dengan seorang perempuan, lalu perempuan tersebut meninggal dunia atau dia menceraikannya dan belum bersetubuh dengannya, maka aku tidak berpandangan yang dia boleh berkahwin dengan ibunya (ibu kepada isteri yang meninggal atau diceraikan). Rujuk Al-Umm, Imam Al-Syafi’e (5/160).

Manakala Imam Abu Ishaq Al-Shirazi berkata : Dan menjadi haram ke atasnya (seorang lelaki) dari sudut musaharah, ibu kepada isteri sama ada telah disetubuhi atau belum berdasarkan firman Allah S.W.T :

وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ

Maksudnya : (Dan diharamkan ke atas kamu) ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu.

Dan haram ke atasnya kesemua ibu yang berkaitan dengan isterinya dari kalangan nenek-nenek dari sebelah ayah atau ibu. Rujuk Al-Muhazzab fi Fiqh Al-Syafi’e, Abu Ishaq Al-Shirazi (2/439).

Kata Imam Al-Nawawi Rahimahullah :

فأما أم الزوجة فإن الرجل إذا عقد النكاح على إمرأة حرمت عليه كل أم لها حقيقة أو مجازا من جهة النسب أو من جهة الرضاع سواء دخل بها أو لم يدخل

Maksudnya : Adapun ibu kepada isteri, sesungguhnya seorang lelaki apabila melakukan akad nikah dengan seorang perempuan maka menjadi haram (mahram) ke atasnya kesemua ibu bagi isterinya itu sama ada secara hakikat atau secara majaz, dari sudut nasab atau dari sudut susuan, sama ada telah disetubuhi ataupun belum disetubuhi.

Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (16/217)

 

Penutup

Sebagai kesimpulan kami menyatakan bahawa nenek isteri adalah mahram disebabkan al-musaharah kerana termasuk dalam kalangan ibu kepada isteri dan jalurnya ke atas seperti nenek dan juga moyang perempuan. Kemahraman ini berlaku sebaik sahaja akad nikah itu telah sempurna dan tidak disyaratkan kemahraman itu dengan berlakunya persetubuhan dengan isteri tersebut terlebih dahulu. Oleh yang demikian, tiada masalah untuk seorang lelaki itu bersalaman dengan nenek kepada isterinya sama ada nenek tersebut dari sebelah ibu atau ayahnya kerana termasuk dalam kalangan mahram.

Akhir kalam semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.