Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1504: APAKAH DOSA MENGAJAR KEMAKSIATAN KEPADA SESEORANG AKAN DIWARISINYA

ak1504

Soalan

Assalamualaikum Dr. Ada sahabat bertanya saya mengenai saham dosa. Secara jelas saya faham dosa seseorang tidak ditanggung oleh orang lain dan di dalam fardhu kifayah secara kolektifnya berdosa sekiranya tidak dicegah. Namun ada satu situasi di mana si A pernah mengajar si B melakukan kemungkaran. Dan pada suatu masa si A sudah meninggalkan perkara tersebut tetapi si B masih lagi tidak. Si A tidak dapat menegur si B kerana terputus hubungan. Adakah si A mendapat saham dosa si B setiap kali si B melakukann kemungkaran tersebut. Sekian terima kasih.

Jawapan

Alhamdulillah, segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Membantu Kepada Kemaksiatan

Menjadi lumrah kehidupan manusia dalam membantu di antara satu sama lain, dan ini merupakan perkara yang diambil berat di dalam Islam. Allah SWT telah menetapkan garis panduan di dalam hal ini. Firman Allah SWT berfirman:

وَتَعَاوَنُوا عَلَى الْبِرِّ وَالتَّقْوَىٰ ۖ وَلَا تَعَاوَنُوا عَلَى الْإِثْمِ وَالْعُدْوَانِ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertaqwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan.

(Surah al-Maidah, 2)

Dalam setiap perkara yang dilakukan pastinya ada ganjaran yang diberikan, sekiranya baik perbuatan itu maka baik balasannya. Begitu juga sebaliknya, sekiranya buruk perkara yang dilakukan maka buruklah balasannya.

Syeikh al-Maraghi di dalam kitabnya menyatakan, “Allah SWT memerintahkan hambanya untuk melakukan perkara yang termaktub di dalam kitab-Nya. Sehinggalah mengakibatkan musibah serta azab siksaan yang berat bagi mereka yang membantu untuk melakukan perkara yang tidak mengikuti syara’. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/46)

Begitu juga dalam perkara keburukan, Islam melarang keras umatnya untuk membantu serta melakukan perkara bercanggah dengan syariat. Ini kerana, sesiapa yang memberi pertunjuk kepada sesuatu perkara, maka Allah SWT akan membalas dan memberi ganjaran terhadap apa yang dilakukannya dengan mengikut apa yang dilakukannya.

Firman Allah SWT:

لِيَحْمِلُوا أَوْزَارَهُمْ كَامِلَةً يَوْمَ الْقِيَامَةِ ۙ وَمِنْ أَوْزَارِ الَّذِينَ يُضِلُّونَهُم بِغَيْرِ عِلْمٍ ۗ أَلَا سَاءَ مَا يَزِرُونَ

Maksudnya: (Mereka dibiarkan menuduh dengan yang demikian) supaya mereka memikul dosa-dosa mereka dengan sepenuhnya pada hari kiamat, dan juga memikul sebahagian dari dosa orang-orang yang mereka sesatkan dengan tidak berdasarkan pengetahuan yang benar; sesungguhnya amatlah buruknya dosa-dosa yang mereka lakukan itu.

(Surah al-Nahl, 25)

Imam Ibnu Kathir menafsirkan ayat di atas dengan membawa pandangan Imam Mujahid katanya: Yang dimaksudkan (يَحْمِلُونَ أَثْقَالَهُمْ (“Ialah mereka akan menanggung segala dosanya dan dosa yang mengikutinya. Dan mereka tidak akan diberi keringanan azab siksaan kerana dosa orang yang mengikutinya.” (Lihat Tafsir Ibnu Kathir, 4/566)

Selain itu, hadis yang diriwayatkan oleh Jarir bin Abdullah RA, Sabda Nabi SAW:

ومن سن في الإسلام سنة سيئة كان عليه وزرها ووزر من عمل بها من بعده من غير أن ينقص من أوزارهم شيء‏

Maksudnya: Dan barangsiapa yang memulakan suatu pekerjaan yang jahat di dalam Islam maka ke atasnya dosanya dan dosa mereka yang beramal dengannya selepasnya, tanpa dikurangkan daripa dosa mereka sedikit pun.

Hadis riwayat Muslim (1017)

Imam Nawawi mensyarahkan hadis di atas dengan menyatakan, “Disunatkan membantu kepada perkara yang baik dan haram membantu kepada kemungkaran. Sesiapa yang memberi petunjuk kepada kebaikan maka akan diberi ganjaran seperti mana orang yang mengamalkannya sehingga hari kiamat. Begitu juga sebaliknya, sesiapa yang memberi petunjuk kepada kemungkaran maka akan mendapat balasan dosa seperti mana orang yang melakukannya sehingga hari kiamat...ini bermaksud ganjaran dan balasan akan berterusan pada waktu hidupnya atau selepas kematiannya”. (Lihat Syarh al-Nawawi ala Muslim, 16/226-227)

Selain itu Ibnu Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya menyatakan, orang yang menanggung dosa yang diajarinya sehingga ke hari kiamat adalah orang yang masih belum bertaubat di atas dosanya itu. (Lihat Fath al-Bari li Ibnu Hajar, 12/193)

Taubat Dari Segala Dosa

Bertaubat dan mohon pengampunan kepada Allah SWT bagi mereka yang melakukan kemungkaran merupakan perkara yang wajib. Dan setiap manusia tidak terlepas daripada melakukan kesilapan dan kemaksiatan kepada Allah SWT. Ini seprti hadis yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik RA, Sabda Nabi SAW:

كُلُّ بَنِي آدَمَ خَطَّاءٌ وَخَيْرُ الْخَطَّائِينَ التَّوَّابُونَ

Maksudnya: Kesemua anak Adam itu melakukan kesilapan, dan sebaik-baik orang yang melakukan kesilapan itu adalah mereka yang bertaubat.

Riwayat Ibn Majah (4392)

Oleh itu, memohon keampunan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sunguh dan berazam tidak mengulanginya kembali serta memperbaiki keadaan yang dilakukannya. Ini kerana, ia merupakan satu arahan daripada Allah SWT dan sifat Allah SWT yang maha pengampun lagi maha mengasihani walaupun sebesar mana dosa yang dilakukan oleh hamba-Nya. Firman Allah SWT:

إِلَّا الَّذِينَ تَابُوا وَأَصْلَحُوا وَبَيَّنُوا فَأُولَـٰئِكَ أَتُوبُ عَلَيْهِمْ ۚ وَأَنَا التَّوَّابُ الرَّحِيمُ

Maksudnya: Kecuali orang-orang yang bertaubat, dan memperbaiki (amal buruk mereka) serta menerangkan (apa yang mereka sembunyikan); maka orang-orang itu, Aku terima taubat mereka, dan Akulah Yang Maha Penerima taubat, lagi Maha Mengasihani.

(Surah al-Baqarah, 160)

Syeikh al-Maraghi dalam mensyarahkan ayat di atas menyatakan “Mereka yang kembali memohon keampunan kepada Allah SWT... dan mereka memperbaiki keadaan diri mereka dengan mendekatkan diri kepada Allah SWT serta melakukan amalan soleh. Mereka ini akan diberi kemuliaan dan pengampunan dengan penuh kasih sayang Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 2/31)

Justeru, Allah SWT menjanjikan balasan yang berat kepada mereka yang mengulangi kemungkaran setelah mereka memohon keampunan dan taubat kepada-Nya. Firman Allah SWT:

عَفَا اللَّـهُ عَمَّا سَلَفَ ۚ وَمَنْ عَادَ فَيَنتَقِمُ اللَّـهُ مِنْهُ ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ ذُو انتِقَامٍ

Maksudnya: Allah maafkan apa yang telah lalu; dan sesiapa yang mengulangi (kesalahan itu) maka Allah akan menyeksanya; dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Berkuasa membalas dengan azab seksa.

(Surah al-Maidah, 95)

Dr. Wahbah di dalam kitabnya menyatakan, “Ayat di atas merupakan dalil yang jelas ke atas balasan di dunia menghalang siksaan di akhirat sekiranya tidak mengulangi perbuatan dosa. Barang siapa yang mengulangi dosanya kembali, maka balasan di dunia merupakan kaffarah dan balasan di akhirat merupakan neraka Jahannam.” (Lihat al-Tafsir al-Wasit li Zuhaili, 1/498)

Kesimpulan

Berbalik kepada persoalan dan dalil yang diberikan, kami menyimpulkan bahawa janganlah berputus asa dalam meminta keampunan kepada Allah SWT dan sentiasa bertaubat dengan bersungguh-sungguh agar mendapat rahmat dan keampunan daripada-Nya,

Berkenaan dengan dosa yang diwarisi, kami berpendapat bahawa ia tidak lagi diwarisi olehnya setelah ia bertaubat bersungguh-sungguh, memperbaiki keadaan dan kemaksiatan yang dilakukannya serta tidak mengulanginya kembali. Melainkan mereka yang masih belum bertaubat terhadap dosa yang dilakukannya.

Ini kerana, sifat Allah SWT yang maha pengampun lagi maha menyayangi dan Allah SWT juga berjanji akan menghapuskan segala dosa yang dilakukan oleh hamba-Nya apabila ia bertaubat dengan taubat Nasuha (bersungguh-sungguh)

Firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا تُوبُوا إِلَى اللَّـهِ تَوْبَةً نَّصُوحًا عَسَىٰ رَبُّكُمْ أَن يُكَفِّرَ عَنكُمْ سَيِّئَاتِكُمْ وَيُدْخِلَكُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي مِن تَحْتِهَا الْأَنْهَارُ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kamu kepada Allah dengan “Taubat Nasuha”, mudah-mudahan Tuhan kamu akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam Syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai,

(Surah al-Tahrim: 8)

Dan sekiranya ia telah berusaha mencari dan memperbaiki kesan kemaksiatan yang diajarnya dengan bersungguh-sungguh, dan masih lagi belum mampu menyelesaikannya maka dengan usahanya itu, moga akan diampunkan segala dosa yang telah dilakukan.

Firman Allah SWT:

لَا يُكَلِّفُ اللَّـهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Maksudnya: Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya.

(Surah al-Baqarah,286)

Selain itu, boleh rujuk artikel di dalam laman web PMWP:

  • IRSYAD AL-FATWA #251: TAUBAT BERULANG-ULANG KALI
  • IRSYAD AL-FATWA SIRI KE- 210: DOSA BERTERUSAN, BAGAIMANAKAH PENYELESAIANNYA?
  • IRSYAD AL-FATWA KE-49: MAKSUD TAUBAT DAN SYARAT-SYARATNYA
  • AL-KAFI #873: DOSA YANG KERAP MEMBELENGGU

Akhir sekali, semoga Allah SWT mengampunkan segala dosa-dosa kita serta mengurniakan kepada kita kefahaman dalam mengamalkan suruhan-Ny