Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1521: HUKUM MENGGUNAKAN APLIKASI BIGO LIVE UNTUK MENJANA PENDAPATAN

ak1521

Soalan

Assalamualaikum Ustaz, saya ingin bertanya, apakah hukum menggunakan applikasi BIGO live untuk menjana pendapatan. Aplikasi tersebut berfungsi di mana pengguna hanya perlu live dengan bersembang kosong sesama lelaki atau perempuan serta melakukan aksi yang menghiburkan seperti menari dan sebagainya untuk menarik follower. Adakah berkat wang tersebut.

Jawapan

Waalaikumsalam. Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kiamat.

BIGO Live merupakan satu aplikasi yang disediakan oleh Artificial Intelligence (AI) technology yang bertempat di Singapura bermula pada tahun 2014. Di antara produk yang dikeluarkan oleh syarikat ini termasuk Bigo Live, Likee dan Imo. Terdapat lebih 300 juta pengguna yang aktif pada 150 negara yang menggunakan aplikasi yang dikeluarkan oleh syarikat ini.[1]

Berpandukan persoalan di atas, kami mulakan dengan satu kaedah fiqh yang dinyatakan oleh Imam Suyuti di dalam kitabnya:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ

Maksudnya: Hukum asal bagi sesuatu perkara ialah keharusan sehingga ada dalil yang menunjukkan kepada pengharaman

(Lihat: al-Ashbah wa al-Nazair li Suyuti, 1/60)

Berpandukan dengan kaedah ini, hukum sesuatu perkara pada asalnya adalah diharuskan. Melainkan sekiranya terdapat padanya dalil atau sesuatu perkara yang membawa kepada haram maka ia adalah diharamkan.

Begitu juga dengan amalan dan perbuatan seseorang itu bergantung kepada niat serta tujuannya. Sekiranya baik tujuannya dan niatnya, maka baiklah perbuatannya. Ini seperti mana hadis yang diriwayatkan oleh Saidina Umar al-Khattab sabda Nabi SAW:

إِنَّمَا الأَعْمَالُ بِالنِّيَّةِ وَإِنَّمَا لاِمْرِئٍ مَا نَوَى

Maksudnya: Setiap amalan itu dinilai berdasarkan niat. Setiap orang akan dibalas bedasarkan niatnya.

Riwayat Muslim (1907)

Imam Nawawi di dalam syarahnya menyatakan bahawa hadis di atas mempunyai pelbagai faedah seperti yang dinyatakan Imam al-Syafi’e dan para fuqaha’ yang lain, mereka berpendapat hadis ini merupakan satu per tiga daripada Agama Islam. Imam al-Syafi’e menyatakan terdapat lebih kurang tujuh puluh perbahasan ilmu fiqh di dalamnya.

(Lihat: Syarah al-Nawawi ala Muslim, 13/53)

Dengan berdasarkan hadis di atas, terdapat pelbagai kaedah fiqh yang berkaitan dengannya. Imam Taqiyuddin al-Subki menukilkan di dalam kitabnya satu kaedah:

الأمور بمقاصدها

Maksudnya: Setiap perkara bergantung kepada niatnya

(Lihat: al-Ashbah wa al-Nazair li Subki, 1/54)

Oleh itu, niat dan tujuan perbuatan seseorang itu akan menunjukkan kepada hukum syariat sama ada halal atau haram perbuatannya. Sekiranya sesuatu perbuatan itu bertujuan kepada kebaikan maka halal perbuatannya itu.

Begitu juga sebaliknya, Allah SWT melarang hambanya untuk melakukan perkara yang diharamkan syara’ serta mendekatkan diri kepadanya. Firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا الْفَوَاحِشَ مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَمَا بَطَنَ

Maksudnya: Janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi

Surah al-An’am (151)

Kesimpulan

Berdasarkan kepada persoalan yang diajukan dan perbahasan dalil yang diberikan, kami berpendapat sekiranya penggunaan aplikasi Bigo Live bertujuan untuk memberi manfaat dan kebaikan kepada agama dan masyarakat serta bertujuan menyebarkan dakwah adalah digalakkan. Dan boleh mengambil manfaat daripada pendapatan yang diperolehi daripadanya.

Namun sekiranya penggunaan bertujuan untuk melakukan kemaksiatan serta boleh mendatangkan kepada perkara yang diharamkan syara’, maka kami berpendapat penggunaannya serta memperolehi pendapatan daripadanya adalah diharamkan.

Firman Allah SWT:

وَيُحِلُّ لَهُمُ الطَّيِّبَاتِ وَيُحَرِّمُ عَلَيْهِمُ الْخَبَائِثَ

Maksudnya: Ia menghalalkan bagi mereka segala benda yang baik dan mengharamkan kepada mereka segala benda yang buruk

(Surah al-A’raf, 157)

Dan sekiranya ingin menggunakan aplikasi tersebut mestilah memastikan bahawa:

  • Video yang hendak dimuatnaik itu mestilah tidak terdapat unsur-unsur lucah, maksiat dan perkara yang bercanggah dengan syariat Islam
  • Tidak berlaku pergaulan bebas di antara lelaki dan perempuan tanpa tujuan dan keperluan syara’.
  • Bukan bertujuan untuk melakukan kemaksiatan dan perkara yang diharamkan seperti menipu, mencuri maklumat dan sebagainya.

Sebaiknya, seseorang muslim itu tidak melakukan sesuatu perkara yang tidak mendatangkan manfaat dan perbuatan yang sia-sia. Hadis daripada Abu Hurairah RA Sabda Nabi SAW:

مِنْ حُسْنِ إسْلَامِ الْمَرْءِ تَرْكُهُ مَا لَا يَعْنِيهِ

Maksudnya: Sebahagian daripada keelokan Islam itu adalah meninggalkan apa yang tidak bermanfaat baginya

Riwayat Ibnu Majah (3976)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang sahih terhadap agamaNya serta taufiq dan hidayah untuk mengamalkan syari’atNya dengan sebaiknya.

 

[1] https://www.bigo.sg/about