SOALAN
Assalamualaikum Dato' Seri. Saya ada persoalan mengenai hukum jual beli kasut kulit babi. Saya ada membeli kasut dan apabila saya teliti ternyata kasut tersebut dihasilkan daripada kulit babi. Persoalan saya, bolehkah saya jual semula kasut tersebut kepada non-Muslim dengan harga yang lebih tinggi daripada harga asal yang saya beli untuk mengambil sedikit keuntungan. Sekiranya tidak, bolehkah saya jual untuk dapatkan kembali modal saya tanpa mengambil sebarang keuntungan, atau saya perlu buang sahaja kasut tersebut?
JAWAPAN
Muqaddimah
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Kami mulakan dengan firman Allah SWT:
قُلْ لَا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَى طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَنْ يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ
Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): "Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor”
(Surah al-An’aam: 145)
Para ulama’ mazhab Hanafi, Syafie dan Hanbali bersepakat bahawa khinzir merupakan najis (secara zatnya atau hakiki), dan sebarang bahagian khinzir dan juga apa yang terpisah daripadanya seperti air liur, dan air maninya juga adalah najis.
Maka, pengaharaman memakan khinzir kerana ianya merupakan najis bukanlah hanya pada dagingnya sahaja, tetapi juga pada tulang, lemak dan kulitnya. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 20/33]
Syeikh Wahbah al-Zuhaili dalam kitab tafsirnya, menyebut bahawa yang dimaksudkan dengan daging khinzir juga meliputi setiap bahagian khinzir seperti lemak dan kulit. Pengharaman daging khinzir ini disebabkan oleh terdapatnya dharar dan kotoran padanya, serta mengikut tabiat khinzir merupakan haiwan yang sentiasa bergelumang dengan kekotoran. [Lihat: Tafsir al-Munir 6/77]
Para fuqaha’ bersepakat bahawa kulit khinzir adalah najis dan tidak boleh disucikan dengan samak serta tidak boleh diambil manfaat daripadanya kecuali dalam beberapa keadaan dharurat dan hajat. [Lihat: al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah 20/34]
Firman Allah SWT:
فَمَنِ اضْطُرَّ غَيْرَ بَاغٍ وَلَا عَادٍ فَإِنَّ رَبَّكَ غَفُورٌ رَحِيمٌ
Maksudnya: “Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.”
(Surah al-An’aam: 145)
Kami telah bahaskan dengan lebih lanjut dalam artikel AL-KAFI #1018: Benarkah Kulit Khinzir Boleh Dipakai? pada pautan berikut: http://bit.ly/2QplVlA
Hukum Menjual Barang daripada Kulit Khinzir
Seorang penjual perlu memastikan barang jualan memenuhi syarat yang ditetapkan oleh syarak. Syarat barang jualan adalah seperti berikut:
- Barang jualan mestilah suci atau boleh disucikan dengan basuhan
- Barang jualan mestilah perkara yang bermanfaat
- Barang jualan mestilah yang boleh diserahkan kepada pembeli
- Barang jualan mestilah dimiliki oleh penjual
- Barang jualan mestilah yang telah sitentukan dan diketahui jenis, kadar dan sifatnya
Oleh itu, tidak sah jual beli benda najis secara zatnya seperti arak, kulit bangkai yang tidak di samak, anjing atau khinzir. Ini bertepatan dengan hadis Rasulullah:
إِنَّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ حَرَّمَ بَيْعَ الخَمْرِ، وَالمَيْتَةِ وَالخِنْزِيرِ وَالأَصْنَامِ
Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengharamkan penjualan arak, bangkai, babi dan berhala.”
[Lihat: al-Taqrirat al-Sadidah Qism al-Buyu’ wa al-Fara’idh (hal. 14-15)]
Imam al-Kasani dalam kitabnya juga menyatakan bahawa tidak sah menjual kulit khinzir walau dalam apa bentuk sekalipun kerana khinzir adalah najis pada zatnya dan seluruh bahagiannya. [Lihat: al-Badai’ al-Sonai’ 5/142]
Kesimpulan
Tuntasnya, khinzir adalah najis secara keseluruhan bahagiannya. Maka kulit khinzir juga adalah najis dan ia tidak boleh disucikan walaupun disamak. Oleh itu, tidak sah bagi seorang muslim untuk mengambil sebarang manfaat daripadanya seperti menjadikannya makanan, pakaian atau berjual beli dengannya.
Maka berdasarkan soalan daripada penanya, kami nasihatkan sebaiknya penanya memulangkan kembali kasut yang telah dibeli kepada kedai kasut tersebut dengan menjelaskan sebab pemulangan bahawa orang Islam tidak boleh menggunakan kasut daripada kulit khinzir.
Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang benar dalam beragama. Wallahua’lam.