Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 1529 : HUKUM SILAT ANTARA LELAKI DAN PEREMPUAN

SILAT

 

SOALAN:

Apakah hukum asal bersilat antara lelaki dan perempuan tanpa lapik?

JAWAPAN :

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Sebagai mukadimah, kami kemukakan dalil berkaitan larangan bersentuhan antara lelaki dan perempuan. Terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Ma’qil bin Yasar R.A beliau berkata bahawa Rasulullah ﷺ bersabda:

لأَن يُطْعَنَ فِي رَأْسِ أَحَدِكُمْ بِمِخْيَطِ مِنْ حَدِيدٍ خَيرٌ لَهُ مِنْ أَنْ يَمَسَّ امْرَأةً لَا تَحِلُّ لَهُ

Maksudnya: Sekiranya dicucuk kepala salah seorang daripada kamu dengan jarum daripada besi, nescaya itu lebih baik buatnya berbanding dia menyentuh seorang wanita yang tidak halal baginya (bukan mahram).

Riwayat Al-Thabrani, Mu’jam Al-Kabir (20/211)

Berdasarkan hadis di atas, jelas menunjukkan pengharaman bersentuhan kulit di antara lelaki dan perempuan yang bukan mahram. Sekalipun zahir hadis menunjukkan pengharaman ke atas lelaki, akan tetapi hukum tersebut tetap terpakai apabila seorang perempuan itu menyentuh lelaki yang tidak halal baginya. Ini sebagaimana yang dikatakan oleh Imam Al-Khattabi Rahimahullah:

الْخِطَاب إِذَا وَرَدَ بِلَفْظِ الذُّكُورِ كَانَ خِطَابًا لِلنِّسَاءِ إِلَّا فِي مَوَاضِعَ مَخْصُوصَةٍ

MaksudnyaSesuatu khitab (ayat atau kenyataan) apabila terdapat padanya lafaz orang lelaki, maka ia juga adalah khitab kepada orang perempuan dalam masa yang sama, melainkan pada keadaan-keadaan yang tertentu.

Rujuk Mirqaat Al-Mafatih, Mulla ‘Ali Al-Qari (2/423).

Berbalik kepada soalan yang diajukan berkenaan silat antara lelaki dan perempuan sehingga bersentuhan kulit adalah ditegah berdasarkan hadis yang telah dijelaskan. Walaubagaimanapun terdapat pengecualian pergaulan antara lelaki dan perempuan sehingga bersentuhan kulit hanya pada situasi dan tujuan tertentu. [Rujuk Karim Zaidan, al-Mufassal fi ahkam Mar’ah wa bait al-Muslimin (3:426)]. Oleh itu, kami rungkaikan persoalan tersebut berkenaan silat antara lelaki dan perempuan tanpa berlapik dengan menyatakan beberapa perkara penting berikut:

  • Silat antara lelaki dan perempuan tanpa berlapik bagi sesi latihan adalah tidak dibenarkan. Hal ini kerana situasi tersebut masih boleh memilih pihak lawan dalam kalangan sama jantina dan juga boleh diasingkan sesi latihan antara lelaki dan wanita.
  • Silat antara lelaki dan perempuan pada situasi getir ketika melawan musuh sehingga terpaksa bersentuhan kulit adalah perkara yang tidak boleh dielakkan. Darurat tersebut membolehkan perkara yang dilarang hanya pada situasi mempertahankan diri ketika nyawa diancam. Hal ini bersesuaian dengan kaedah fiqhiah:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

MaksudnyaDarurat mengharuskan perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan.

Walaubagaimanapun, persentuhan antara lelaki dan perempuan dibolehkan hanya atas alasan darurat pada kadar untuk menghilangkan bahaya sahaja. Sebagai contoh bersentuhan hanya pada waktu mempertahankan diri ketika nyawa diancam sahaja tanpa berlebih-lebihan. Situasi tersebut bertepatan dengan kaedah fiqhiah berikut:

الضَّرُورَاتُ تقّدر بقدرها

Maksudnya: Darurat diukur hanya pada kadarnya

Selain itu, Islam menetapkan garis panduan batas-batas pergaulan antara lelaki dan perempuan seperti menutup aurat dengan sempurna, menjaga pandangan, tidak berkhalwat dan menjaga adab pertuturan. Sehubungan itu, terdapat batasan pergaulan antara lelaki dan perempuan apatah lagi bersentuhan antara lelaki dan wanita tanpa tujuan yang mendesak. Bahkan pengecualian pergaulan antara lelaki dan perempuan hanya pada keperluan yang tidak bertentangan dengan syarak tanpa perlu bersentuhan seperti muamalah harta, penyaksian, urusan kerja dan keperluan lain yang tidak bertentangan syariat. [Rujuk Karim Zaidan al-Mufassal fi ahkam Mar’ah wa bait al-Muslimin (3:426)]

Penutup

Secara tuntasnya, pergaulan antara lelaki dan perempuan hanya pada keperluan disamping dituntut menjaga batas-batas pergaulan yang telah digariskan oleh syarak. Oleh yang demikian, umat Islam perlu memelihara diri daripada terjebak kepada perkara-perkara yang diharamkan, sebagaimana sabda Nabi SAW :

ما نَهَيْتُكُمْ عنْه فاجْتَنِبُوهُ، وَما أَمَرْتُكُمْ به فافْعَلُوا منه ما اسْتَطَعْتُمْ

Maksudnya : “Apa yang aku larang kamu lakukan, hendaklah kamu jauhi dan apa yang aku perintahkan kepadamu, maka lakukanlah sesuai kemampuan kamu”

[HR Muslim (1337)]

Akhir kalam, kami berdoa agar Allah S.W.T memberikan kefahaman yang baik dalam beragama. Ameen.