Bahasa : 
Warna Tema : 
blue green oren
Saiz Teks : 
A- A A+
FAQ
carian

al Kafi 1533

Soalan :

Assalamualaikum w.b.t

Maaf mengganggu Dato’. Saya satu soalan. Apakah hukum merebus atau mencelur ayam sebelum dikeluarkan kotoran dan najisnya, bagi memudahkan proses mencabut bulunya? Harap Dato’ Mufti dapat memberi pencerahan.

Jawapan :

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga baginda, para sahabat baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT :

يَا أَيُّهَا النَّاسُ كُلُوا مِمَّا فِي الْأَرْضِ حَلَالًا طَيِّبًا

Maksudnya : “Wahai sekalian manusia, makanlah kamu dari (hasil) yang terdapat di atas muka bumi (makanan) yang halal lagi baik.”

(Surah al-Baqarah : 168)

Ayat di atas menunjukkan bahawa makanan yang hendak dimakan oleh kita hendaklah memenuhi dua kriteria tersebut iaitu, halal dan baik.

Syeikh as-Sa’di telah mengulas ayat ini dengan mengatakan bahawa ianya ditujukan kepada seluruh manusia sama ada orang-orang beriman ataupun kafir, supaya memakan apa yang ada di atas muka bumi ini, yang terdiri daripada biji-bijian, buah-buahan dan binatang-binatang yang telah dihalalkan buat mereka mengambilnya (memakan dan mengambil manfaat daripadanya), bukan dengan cara merampasnya, atau mencuri atau dengan hasil muamalat (jual beli) yang diharamkan atau perkara-perkara yang diharamkan. Manakala toyyiban pula ialah bukan daripada perkara yang buruk (kotor dan jijik) seperti bangkai, darah, daging khinzir dan lain-lain. Ayat ini adalah merupakan dalil bahawa hukum asal bagi sesuatu perkara itu (untuk dimakan dan diambil manfaatnya) adalah harus. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/80)

Selain itu, Imam al-Thabari juga turut menyatakan definisi toyyib (baik) dengan katanya : ‘’Iaitu (makanan) yang suci dan bersih daripada najis dan keharaman.’’ (Lihat Tafsir al-Thabari, 3/300)

 

Air Mutanajjis

Air mutanajjis ialah air yang jatuh najis ke dalamnya. Air ini terbahagi kepada dua bahagian.

Pertama: Air yang sedikit, iaitu kurang daripada dua qullah.

Air ini menjadi najis kerana terjatuh najis ke dalamnya walaupun sedikit dan tidak berubah sifat-sifatnya dari segi warna, bau dan rasa.

Kedua: Air yang banyak, iaitu yang cukup dua qullah atau lebih.

Air ini tidak menjadi najis dengan semata-mata terjatuh atau tersentuh najis, tetapi ia menjadi najis apabila berubah satu daripada sifatnya, iaitu warna, rasa atau bau. Dalilnya ialah ijma’ para ulama. Imam al-Nawawi menyebut dalam kitabnya al-Majmu’, Ibn Munzir berkata: “Ulama telah bersepakat bahawa air yang sedikit atau banyak, apabila najis jatuh ke dalamnya dan berubah sama ada rasa, warna atau bau, air itu menjadi najis.

(Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/33-35)

Oleh itu, air rebusan ayam yang masih belum lagi dikeluarkan atau dibersihkan kotoran dan najisnya menjadi air mutanajjis.

 

Memasak daging dengan air najis

Para ulama ada membahaskan mengenai perkara ini dan telah berbeza pendapat padanya. Ada kalangan mereka yang mengatakan bahawa sekiranya daging dimasak dengan najis, sudah tidak boleh lagi untuk disucikan atau dibersihkan (daging tersebut). Ini adalah merupakan pendapat mazhab Hanafiyyah kecuali Abu Yusuf, dan juga pendapat mazhab Hanabilah.

Mazhab Malikiyyah pula berpendapat bahawa daging yang dimasak dengan najis, sekiranya najis tersebut termasuk dalam masakan tersebut sebelum daging itu masak, maka ia tidak boleh dibersihkan. Akan tetapi sekiranya najis tersebut terkena pada makanan tersebut selepas ia sudah masak, maka dalam hal ini ia boleh dibersihkan lagi.

(Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/116)

Manakala mazhab Syafi’iyyah pula berpendapat bahawa daging yang dimasak dengan najis, masih boleh disucikan atau dibersihkan. Cara membersihkannya ada dua, iaitu :

  1. Daging tersebut dibasuh dan kemudiannya diperah seperti hamparan (karpet).
  2. Disyaratkan untuk mendidihkannya (semula) dengan air yang bersih.

(Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/599-600)

Akan tetapi, al-Syirbini menyebutkan di dalam hasyiahnya bahawa tidak disyaratkan untuk memerahnya sama ada ia berbulu seperti hamparan (karpet) ataupun tidak. Dan apa yang telah disebutkan di dalam al-Raudhah dan al-Majmu’ bahawa daging yang dimasak dengan air najis akan menajiskan daging tersebut luar dan dalam. Maka, cukup dengan hanya membasuhnya (dengan air) sahaja. Adapun, memerahnya seperti hamparan dapat difahami bahawa perbuatan tersebut hukumnya adalah sunat ataupun lemah (dhaif). Manakala pendapat al-Qamuli yang menyatakan bahawa najis masuk ke dalam bahagian dalam daging, maka perlu dikeluarkan (najis tersebut) melalui perahan adalah tidak tepat kerana pendapat yang mengatakan bahawa tidak disyaratkan perah adalah merupakan pendapat yang lebih tepat (asoh) yang dibina di atas pendapat yang asoh iaitu air basuhan adalah suci. (Lihat Hasyiah al-Syirbini ‘ala al-Gharar al-Bahiyyah, 1/59)

Selain itu, Zainuddin al-Malibari juga ada menyatakan bahawa :

وإن كان حبا أو لحما طبخ بنجس أو ثوبا صبغ بنجس فيطهر باطنها بصب الماء على ظاهرها... ويشترط في طهر المحل ورود الماء القليل على المحل المتنجس فإن ورد متنجس على ماء قليل لا كثير تنجس وإن لم يتغير فلا يطهر غيره.

Maksudnya : “Sekiranya biji-bijian atau daging dimasak dengan najis atau pakaian dicelup dengan najis, maka bahagian dalamnya menjadi suci dengan menuangkan air pada bahagian luarnya (zahirnya)… dan disyaratkan bagi mensucikan tempat (bahagian najis) tersebut dengan melalukan air yang sedikit ke atas tempat yang najis. Akan tetapi sekiranya najis yang terkena pada air yang sedikit dan bukannya pada air yang banyak, air tersebut menjadi najis, sekalipun tidak berubah (warna, rasa dan bau). Maka, air tersebut tidak lagi menyucikan.” (Lihat Fathu al-Mu’in, hlm. 78)

Begitu juga, di dalam Hasyiah al-Bujairimi ada menyebutkan :

لَوْ ابْتَلَّ حَبٌّ بِمَاءٍ نَجَسٍ أَوْ بَوْلٍ وَصَارَ رَطْبًا وَغُسِلَ بِمَاءٍ طَاهِرٍ حَالَ الرُّطُوبَةِ طَهُرَ ظَاهِرًا وَبَاطِنًا، وَكَذَا اللَّحْمُ إذَا طُبِخَ بِهِمَا وَغُسِلَ يَطْهُرُ ظَاهِرًا وَبَاطِنًا

Maksudnya : “Sekiranya biji-bijian menjadi basah disebabkan oleh air najis atau air kencing dan ia menjadi lembap. Kemudian, ia dibasuh dengan air yang bersih ketika masih lagi lembap, maka suci luar (zahir) dan dalamnya. Demikianlah juga pada daging yang dimasak dengan kedua-duanya (air najis dan air kencing), kemudian dibasuh (dengan air bersih), maka daging tersebut suci luar (zahir) dan dalamnya.” (Lihat Hasyiah al-Bujairimi ‘ala Syarh al-Manhaj, 1/101)

Oleh itu, kami katakan bahawa mencelur atau merebus ayam yang belum lagi dibersihkan di dalam air panas adalah termasuk sebagaimana yang telah dibahaskan oleh para ulama di atas.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada persoalan di atas, setelah diteliti pandangan para ulama, kami menyimpulkan bahawa merebus atau mencelur ayam yang belum lagi dibersihkan kotoran dan najisnya ketika proses mencabut bulu akan menajiskan ayam dan air panas tersebut. Akan tetapi, ayam tersebut boleh dibersihkan kembali (luar dan dalam) dengan hanya membasuhnya dengan air yang bersih sebagaimana yang telah disebutkan oleh para ulama mazhab Syafi’iyyah.

Dalam hal ini, Imam al-Nawawi telah menukilkan pendapat Imam Syafie bahawa :

لو أحمى حديد ثُمَّ صَبَّ عَلَيْهَا سُمًّا أَوْ غَسَلَهَا فِيهِ فَشَرِبَتْهُ ثُمَّ غُسِلَتْ بِالْمَاءِ طَهُرَتْ لِأَنَّ الطَّهَارَاتِ كُلَّهَا إنَّمَا جُعِلَتْ عَلَى مَا يَظْهَرُ فِيهِ لَيْسَ عَلَى الْأَجْوَافِ

Maksudnya : “Sekiranya dipanaskan sekeping besi dan kemudian besi tersebut disiram dengan racun (najis) atau dibasuh dengannya. Dan kemudian, racun tersebut telah meresap masuk ke dalam besi tersebut. Kemudian, besi tersebut dibasuh dengan air, maka ia kembali menjadi suci kerana kesucian itu adalah berdasarkan apa yang zahir (dilihat) dan bukannya pada apa yang ada di dalam rongga (tidak nampak). (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 2/600)

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.