Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1537: HUKUM MENULIS AYAT AL-QURAN DENGAN CORAK TERTENTU

TULIS QURAN CORAK.JPG

Soalan

Assalamualaikum SS Dato’ Seri Mufti. Apa hukum menulis ayat al-Quran mengikut corak tertentu seperti wau, bunga dan lain-lain. Mohon penjelasan.

 

Jawapan

Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.

Pada asasnya, al-Quran wajib dimuliakan, diagungkan dan dihindarkan daripada sebarang perkara yang boleh membawa wujudnya unsur kehinaan atau merendahkan. Imam Nawawi dalam menegaskan hal ini menyebut: “Para ulama telah bersepakat akan wajibnya menjaga Mushaf al-Quran dan memuliakannya.” (Lihat al-Tibyan fi Adab Hamalat al-Quran, hlm. 190)

Malah jumhur ulama menyatakan wajib bagi seseorang Muslim itu suci daripada hadas kecil dan besar sebelum dia memegang mushaf dan menanggungnya. Firman Allah SWT:

لَا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ

Maksudnya: “Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci.”

Surah al-Waqi’ah (79)

Di dalam kitab Nawadir al-Usul dijelaskan: Menyentuh, memegang atau membawa (mengangkat mushaf al-Quran) hendaklah dalam keadaan suci (berwuduk), sama ada ayat-ayat al-Quran itu ditulis pada kertas, papan, besi, kain dan sebagainya. (Lihat Nawadir al-Usul fi Ma’rifah Ahadith al-Rasul, 2/392)

Matlamat utama al-Quran diturunkan adalah untuk dibaca, ditadabbur, dihayati, diimani dan seterusnya diaplikasikan dalam kehidupan seorang Muslim.

Dalam isu persoalan di atas, kami nukilkan di sini jawapan daripada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia bertarikh 13-15 Jun 2005 dalam muzakarah kali ke-69, antara lain menyebut:

  • Penulisan ayat-ayat al-Quran dalam bentuk hiasan yang keterlaluan yang boleh menimbulkan kekeliruan dan kesukaran kepada pembaca adalah dilarang.
  • Penulisan khat ayat al-Quran boleh dibuat dengan syarat ditulis dengan betul dan mudah dibaca.
  • Tulisan khat ayat al-Quran tidak boleh dicampuradukkan dengan ayat-ayat lain sehingga boleh mengelirukan pembaca.
  • Tulisan khat ayat-ayat al-Quran mestilah ditulis dengan sempurna dan susunan ayat-ayatnya tidak boleh terputus-putus sehingga mencacat atau mengelirukan atau mengubahnya.
  • Tulisan seni khat ayat-ayat al-Quran yang dibuat dalam pelbagai bentuk sehingga menimbulkan kekeliruan dan menghilangkan tujuan ayat-ayat al-Quran diturunkan iaitu untuk dibaca, difahami dan dihayati adalah dilarang. (Lihat Kompilasi Muzakarah MKI 2016 – Jakim, hlm. 210-211)

Begitu juga disebut: Dilarang menulis atau membentuk ayatayat suci al-Quran berbentuk binatang, manusia, bangunan, alat permainan seperti wau, tumbuhan, bunga-bungaan dan seumpamanya. (Lihat Garis Panduan Pembuatan, Pengendalian, Penjualan Dan Pelupusan Ayat Suci Al-Quran oleh Jakim, hlm. 5)

Terdapat juga Garis Panduan Kaligrafi Al-Quran yang dikeluarkan oleh Lembaga Pengawalan dan Pelesenan Pencetakan al-Qur’an Kementerian Dalam Negeri, antara lain menyatakan:

  • Dilarang menulis kaligrafi Al-Quran berbentuk makhluk bernyawa atau sebarang bentuk yang boleh menjatuhkan kesucian Al-Quran;
  • Latar belakang kaligrafi tidak boleh mengandungi sebarang unsur makhluk bernyawa atau yang tidak sesuai dengan kemuliaan al-Quran.
  • Setiap penulisan mestilah sempurna dan mengikut kaedah penulisan kaligrafi Al-Quran;
  • Khat yang susah dibaca seperti Khat Kufi Murabba’ dan Khat Diwani Jaliyy hendaklah menyertakan sekali Khat Nasakh bersaiz kecil di bahagian bawah karya tersebut bagi memudahkan pengecaman masyarakat untuk membaca kaligrafi Al-Quran;
  • Setiap penulisan mestilah sempurna dari segi maksud ayat dan tidak tergantung dari aspek maksud ayat. (Lihat Garis Panduan Kaligrafi Al-Quran, hlm. 6-7)

 

Kesimpulan

Berdasarkan kenyataan di atas, kami berpendapat adalah tidak harus untuk menulis al-Quran dalam bentuk gambar-gambar kerana ia sejuzuk daripada merendahkan martabat al-Quran. Begitu juga, kerana ia menjadikan banyak tafsiran serta andaian yang kurang sihat terhadap al-Quran sedangkan al-Quran kitab dan kalam Allah yang suci lagi mulia, yang wajib dimuliakannya.

Semoga kita menjadi hamba Allah yang benar-benar cintakan al-Quran. Kami akhiri dengan doa:

اَللَّهُمَّ اجْعَلِ الْقُرْآنَ رَبِيعَ قُلُوْبِناَ، وَنُوْرَ صُدُوْرِناَ، وَجلاَءَ أَحْزَانِناَ، وَذهَابَ هُمُوْمِناَ

Maksudnya: Ya Allah! Jadikanlah al-Qur’an sebagai penyejuk hati kami, cahaya yang menyinari dada kami, penghibur duka kami dan penghapus kesedihan kami.

Amin.