SOALAN
Assalamualaikum Sahibus Samahah Mufti. Apakah status gaji seseorang yang bekerja dalam pekerjaan yang halal tetapi dia pernah meniru di dalam peperiksaan pada satu ketika dahulu dan menggunakan sijil kelulusan tersebut untuk mendapatkan pekerjaan?
Mohon penjelasan Tuan Mufti. Terima kasih.
JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Pertamanya, kami sudah menjawab serba sedikit berkaitan isu ini dalam artikel kami bertajuk Al-Kafi #676 : Hukum Meniru Dalam Peperiksaan. Dalam artikel tersebut, kami menegaskan bahawa hukum meniru dalam peperiksaan adalah haram dan berdosa. Hal ini kerana seseorang yang meniru dikira melakukan penipuan. Rasulullah SAW bersabda:
وَمَنْ غَشَّنَا فَلَيْسَ مِنَّا
Maksudnya: Dan barangsiapa yang menipu kami maka bukanlah dia daripada kalangan kami.
Hadith riwayat Muslim (101)
Selain itu, kami turut menyatakan bahawa, inilah punca kepada masalah masyarakat sehingga melantik orang yang bukan ahlinya untuk memegang jawatan-jawatan penting dalam masyarakat berdasarkan kepada sijil kelulusan yang didapati dengan cara yang tidak betul seperti meniru di dalam peperiksaan atau menggunakan sijil palsu. Kami sudah huraikan isu ini, sila rujuk artikel Al-Kafi #4 : Hukum Pemalsuan Sijil Untuk Mendapatkan Pekerjaan.
Di dalam satu hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:
إِذَا ضُيِّعَتِ الأَمَانَةُ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ قَالَ كَيْفَ إِضَاعَتُهَا يَا رَسُولَ اللَّهِ؟ قَالَ إِذَا أُسْنِدَ الأَمْرُ إِلَى غَيْرِ أَهْلِهِ فَانْتَظِرِ السَّاعَةَ
Maksudnya: “Apabila amanah itu sudah hilang maka tunggulah datangnya Kiamat.” Abu Hurairah bertanya: "Bagaimanakah amanah itu hilang wahai Rasulullah? Baginda bersabda: “Jika disandarkan suatu urusan kepada orang yang tidak berkeahlian, maka tunggulah datang Kiamat.”
Riwayat al-Bukhari: (6496)
Imam Badruddin al-‘Ainiy dalam mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa urusan yang dimaksudkan di dalam hadith khusus dirujuk kepada urusan berkaitan agama. Beliau berkata:
و الأمر جنس الأمور التي تتعلق بالدين كالخلافة والإمارة والقضاء والإفتاء وغير ذلك
Maksudnya: Urusan tersebut (yang maksudkan di dalam hadith) ialah urusan urusan yang berkaitan dengan agama seperti khilafah, pemerintahan, kehakiman, fatwa dan yang seumpamanya. (Rujuk ‘Umdat al-Qari Syarh Sahih al-Bukhari, 23:128)
Oleh itu, sangatlah membimbangkan jika sekiranya jawatan-jawatan yang penting diberikan kepada seseorang yang tidak amanah dan tidak berkeahlian. Hal ini kerana ia mendedahkan masyarakat kepada penyalahgunaan kuasa sekiranya pelakunya masih tidak insaf dan bertaubat serta tugas tidak mampu dilaksanakan dengan sebaiknya.
Namun jika sekiranya ia sudahpun berlaku, dan pelakunya juga menginsafi akan perbuatannya tersebut dan berazam untuk tidak mengulanginya lagi, disamping mampu melaksanakan tugas dengan sempurna, maka kami ingin titipkan beberapa nasihat seperti berikut:
- Hendaklah pelaku memenuhi syarat-syarat taubat untuk memastikan dia benar-benar bertaubat dengan bertaubat secara sukarela, berazam untuk tidak mengulanginya semula selama-lamanya, serta meminta halal dan kemaafan jika mengambil hak mana-mana individu.
- Jika sekiranya perbuatan tersebut mengambil hak atau milik orang lain, maka hendaklah dia meminta halal daripada orang yang diambil hak daripadanya tersebut dan jika diminta untuk memulangkan kembali hak yang telah diambil, maka wajib untuk memulangkannya. Hal ini seperti yang disebutkan oleh Imam al-Nawawi berkaitan syarat taubat, iaitu:
ويضاف إليها الخروج من المظالم بأن يبرأ العاصي من حق صاحبها، فإن كانت المعصية أخذ مال أو نحوه بدون حق رده إليه، وإن كان الفعل قذفاً ونحوه مكن المقذوف منه أو طلب عفوه. وإن كان غيبة استحله منها وطلب مسامحته عن طعنه فيه في غيبته
Maksudnya: Ditambah daripada syarat-syarat taubat yang lain jika berkaitan dengan hak manusia, hendaklah dia meminta dibebaskan daripada hak orang yang dizaliminya. Jika berbentuk harta benda atau sejenisnya maka dia harus mengembalikannya (kepada orang yang diambil hartanya). Jika dalam bentuk tuduhan palsu atau seumpamanya, maka hendaklah dipulihkan namanya atau meminta maaf kepadanya. Jika ia berbentuk ghibah, maka harus minta dihalalkan. (Rujuk Riyadh al-Salihin: 41-42)
- Pelaku hendaklah meningkatkan ilmu dan kemahiran diri supaya dapat menjalankan amanah dengan sempurna melebihi daripada orang yang mempunyai kelulusan yang sebenar. Oleh kerana itu, dia layak untuk menjawat jawatan itu dan diberikan gaji berdasarkan kepada kepakaran dan kebolehan menjalankan tugas tersebut, maka rezeki tersebut menjadi halal baginya. Firman Allah SWT:
إِنَّ ٱللَّهَ يَأۡمُرُكُمۡ أَن تُؤَدُّواْ ٱلۡأَمَٰنَٰتِ إِلَىٰٓ أَهۡلِهَا وَإِذَا حَكَمۡتُم بَيۡنَ ٱلنَّاسِ أَن تَحۡكُمُواْ بِٱلۡعَدۡلِۚ إِنَّ ٱللَّهَ نِعِمَّا يَعِظُكُم بِهِۦٓۗ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ سَمِيعَۢا بَصِيرٗا
Maksudnya: Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi sentiasa Melihat.
(Surah al-Nisaa’: 58)
- Banyakkan bersedekah daripada rezeki yang didapati daripada pekerjaan tersebut supaya menjadi berkat dan diredhai Allah SWT.
Di kesempatan ini, kami juga ingin menasihatkan supaya perbuatan meniru di dalam peperiksaan haruslah dihindarkan dan dielakkan sejauh-jauhnya oleh sesiapa sahaja kerana ia pembohongan dan hendaklah kita bersikap jujurlah terhadap diri sendiri dengan memperoleh keputusan bersesuaian dengan apa yang telah kita usahakan. Rasulullah SAW bersabda:
علَيْكُم بالصِّدْقِ، فإنَّ الصِّدْقَ يَهْدِي إلى البِرِّ، وإنَّ البِرَّ يَهْدِي إلى الجَنَّةِ، وما يَزالُ الرَّجُلُ يَصْدُقُ ويَتَحَرّى الصِّدْقَ حتّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ صِدِّيقًا، وإيّاكُمْ والْكَذِبَ، فإنَّ الكَذِبَ يَهْدِي إلى الفُجُورِ، وإنَّ الفُجُورَ يَهْدِي إلى النّارِ، وما يَزالُ الرَّجُلُ يَكْذِبُ ويَتَحَرّى الكَذِبَ حتّى يُكْتَبَ عِنْدَ اللهِ كَذّابًا
Maksudnya: Hendaklah kalian semua berlaku jujur. Sesungguhnya kejujuran itu membawa kepada kebaikan, dan kebaikan itu membawa kepada syurga. Dan seseorang yang sentiasa berlaku jujur sehingga terbiasa, akan dicatatkannya disisi Allah SWT sebagai seorang yang jujur. Begitu juga, jauhilah diri kalian daripada pembohongan. Sesungguhnya pembohongan membawa kepada keburukan, dan keburukan itu membawa kepada neraka. Dan seseorang yang sentiasa berbohong sehingga terbiasa, akan dicatatkan di sisi Allah SWT sebagai seorang pembohong.
Hadith riwayat al-Bukhari (6094) dan Muslim (2607)
Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.
WaAllahu a’lam.