Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1555 : ADAKAH ADIK BERADIK LELAKI KEPADA BAPA SUSUAN TERMASUK DALAM KALANGAN MAHRAM ?

AK1555

 

Soalan :

Salam, nak tanya sikit batas aurat anak susuan. Adakah adik beradik kepada suami (bapa susuan) ibu susuan tersebut halal bersentuhan yakni tidak batal wuduk atau haram untuk bersentuhan ?

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Berkenaan isu mahram, dari sudut bahasa terdapat beberapa pengertian seperti yang telah disebutkan oleh para fuqaha’. Antaranya kami ringkaskan dalam beberapa noktah berikut:

  • Individu yang diharamkan untuk seseorang berkahwin dengannya sama ada disebabkan hubungan rahim atau kerabat.
  • Sesuatu yang diharamkan oleh Allah S.W.T.

Manakala dari sudut istilah para fuqaha’ mahram bermaksud: ‘’Seseorang yang diharamkan untuk kita berkahwin dengannya dan pengharamannya tersebut adalah dalam bentuk al-ta’bid (selama-lamanya) dengan sebab yang mubah bukan kerana kemuliaannya dan bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’. Rujuk Kaasyifah al-Saja, Nawawi bin ‘Umar (Hlm. 114).

Dalam menghuraikan makna-makna ayat dalam pendefinisian di atas, kami perincikan ia seperti berikut:

Pada perkataan ‘’dalam bentuk al-ta’bid’’ membawa maksud: Ia tidak termasuk adik beradik perempuan kepada isteri. Begitu juga ibu saudara isteri dari sebelah ayah dan juga ibu saudara isteri dari sebelah ibu. Ini kerana pengharaman mereka itu dari sudut apabila dihimpunkan bersama sahaja (iaitu berkahwin dalam masa yang sama antara isteri dan ibu-ibu saudara mereka atau adik beradik perempuan mereka).

Manakala perkataan ‘’bukan kerana kemuliaannya’’ merujuk kepada isteri-isteri Nabi S.A.W. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan kemuliaan mereka. Mereka diharamkan kepada keseluruhan umat dan juga ke atas para Nabi juga.

Dan perkataan ‘’bukan juga kerana terdapat penghalang yang boleh hilang’’ adalah seperti wanita majusi, ataupun wanita yang murtad. Ini kerana pengharaman mereka adalah disebabkan penghalang yang boleh hilang. Maka boleh menjadi halal pada waktu yang lain (seperti apabila mereka memeluk Islam).

Penjelasan berkenaan dengan golongan yang dianggap sebagai mahram ini ada dinyatakan dalam firman Allah S.W.T :

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Surah Al-Nisa’ (23)

Imam Al-Mawardi Rahimahullah menukilkan kata-kata Imam Al-Syafi’e yang menyebut :

أَصْلُ مَا يَحْرُمُ بِهِ النِّسَاءُ ضَرْبَانِ أَحَدُهُمَا بأنسابٍ، وَالْآخَرُ بأسبابٍ مِنْ حَادِثِ نكاحٍ أَوْ رضاعٍ

Maksudnya : Asal perkara yang menjadikan seorang wanita itu mahram adalah dua bahagian. Pertamanya adalah ansab (nasab keturunan) dan berikutnya adalah asbab (sebab-sebab), iaitu daripada pernikahan atau susuan. Rujuk Al-Hawi Al-Kabir, Al-Mawardi (9/196).

Kemudian Imam Al-Mawardi menghuraikannya dengan lebih lanjut melalui katanya : Wanita yang mahram itu ada dua kategori. Pertamanya : Bahagian yang mana individu ini haram secara selamanya. Manakala bahagian yang lain adalah haram untuk dihimpunkan (dalam satu masa yang sama sahaja). Dan bahagian yang individunya menjadi mahram selamanya ada dua bahagian iaitu melalui nasab serta asbab (perkahwinan dan susuan). Rujuk Al-Hawi Al-Kabir, Al-Mawardi (9/196).

Implikasi mahram dalam kategori nasab dan juga asbab (perkahwinan dan susuan) ini adalah seperti berikut :

  • Haram berkahwin dengannya.
  • Boleh bersalaman dengannya.
  • Boleh bersendirian (berkhalwat) bersamanya.

Justeru berdasarkan beberapa kenyataan di atas, dapat difahami bahawa susuan juga turut menjadikan seseorang itu sebagai mahram selain daripada nasab. Bahkan terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ

Maksudnya : Menjadi mahram menerusi susuan itu adalah sama seperti menjadi mahram menerusi nasab.

Riwayat Al-Nasa’ie (3302)

Dalam ayat ke- 23 dari surah Al-Nisa’ di atas, Allah S.W.T menjelaskan antara mahram bagi seorang lelaki itu adalah :

وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya : Dan ibu-ibu kamu yang menyusukan kamu (ibu-ibu susuan) dan juga adik beradik perempuan kamu dari susuan (adik beradik susuan).

Maka secara mafhumnya, sekiranya anak yang disusu tersebut adalah anak perempuan, maka bapa susuannya adalah mahram kepada dirinya. Ini kerana susu tersebut adalah terhasil darinya. Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa adik beradik lelaki kepada bapa susuan adalah bapa saudara susuan bagi seorang perempuan yang merupakan anak susuan. Justeru, ia turut mengikut keadaan yang sama dengan kemahraman dari sudut nasab. Dari sudut nasab, bapa saudara dari sebelah ibu (adik beradik lelaki ibu) atau dari sebelah bapa (adik beradik lelaki bapa) adalah mahram bagi seorang perempuan.

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa bapa saudara susuan mengambil pakai hukum yang sama dengan bapa saudara dari sudut nasab. Ini berdasarkan riwayat yang menyebutkan bahawa menjadi mahram dengan sebab susuan berdasarkan apa yang menjadi mahram dari sudut nasab.

Oleh yang demikian, implikasi kemahraman bapa saudara susuan dengan anak perempuan ini adalah haram bagi mereka untuk berkahwin, dibolehkan bersalaman, serta batasan aurat adalah seperti sesama mahram, dari sudut tidak diwajibkan bagi perempuan tersebut menutup keseluruhan tubuh badannya selain muka dan kedua tapak tangan di hadapan mahramnya.

Akhir kalam, semoga Allah S.W.T memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.