Soalan
Assalammualaikum Dr. Jemaah kami mohon penjelasan berhubungan dengan tafsiran ayat 51 surah al nahl (surah ke 16) Yang menyatakan "jangan kamu menyembah DUA TUHAN” Bolehkah kita menyatakan bahawa ADA DUA TUHAN?
Jawapan
Alhamdulillah, pujian dan syukur kepada Ilahi dengan pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas Nabi SAW, keluarga, sahabat dan yang mengikut jejak langkahnya hingga hari kesudahan.
Al-Quran merupakan kitab suci yang terkandung di dalamnya pelembagaan yang lengkap merangkumi seluruh hukum Islam. Al-Quran diturunkan kepada Baginda Nabi SAW sebagai mukjizat yang dijaga dan dipelihara sehingga hari akhirat. Firman Allah SWT:
إِنَّا نَحْنُ نَزَّلْنَا الذِّكْرَ وَإِنَّا لَهُ لَحَافِظُونَ
Maksudnya: Sesungguhnya Kamilah yang menurunkan al-zikr (Al-Quran), dan Kamilah yang memelihara dan menjaganya.
(Surah al-Hijr, 9)
Surah al-Nahl
Surah al-Nahl merupakan surah makkiyyah yang terkandung di dalamnya 128 ayat. Syeikh al-Maraghi menyatakan, Tiga ayat akhir surah ini di turunkan di antara Makkah dan Madinah. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/51)
Dr. Wahbah Zuhaili di dalam tafsirnya menyatakan, (Al-Nahl) bermaksud lebah, surah ini diberi nama berdasarkan dua ayat yang mengceritakan perihal lebah yang diberi ilham oleh Allah SWT menyedut madu pada bunga yang boleh dijadikan sebagai penawar kepada manusia. Firman Allah SWT:
يَخْرُجُ مِن بُطُونِهَا شَرَابٌ مُّخْتَلِفٌ أَلْوَانُهُ فِيهِ شِفَاءٌ لِّلنَّاسِ
Maksudnya: (Dengan itu) akan keluarlah dari dalam badannya minuman (madu) yang berlainan warnanya, yang mengandungi penawar bagi manusia (dari berbagai-bagai penyakit)
(Surah al-Nahl, 69)
Kisah ajaib yang digambarkan di dalam al-Quran ini bertujuan supaya manusia berfikir dan memerhatikan tentang keajaiban ciptaan Allah SWT dan merupakan bukti kewujudan-Nya. Selain itu, surah ini juga dinamakan sebagai al-Ni’am (النّعم) kerana banyak diceritakan tentang nikmat Allah SWT di dalamnya. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 14/79)
Tafsir Surah al-Nahl Ayat 51
Berbalik kepada persoalan yang diajukan, kami datangkan beberapa tafsiran ulama bagi menjelaskan firman Allah SWT:
وَقَالَ اللَّـهُ لَا تَتَّخِذُوا إِلَـٰهَيْنِ اثْنَيْنِ ۖ إِنَّمَا هُوَ إِلَـٰهٌ وَاحِدٌ ۖ فَإِيَّايَ فَارْهَبُونِ
Maksudnya: Dan Allah berfirman: Janganlah kamu bertuhankan dua tuhan, kerana sesungguhnya Tuhan itu hanyalah Tuhan yang satu; maka kepada Akulah sahaja hendaknya kamu gerun gementar.
(Surah al-Nahl, 51)
Syeikh al-Maraghi di dalam tafsirnya menyatakan, Allah SWT menyatakan kepada hamba-Nya bahawa sesungguhnya Allah SWT tiada tuhan yang disembah melainkan Dia. Dan sesungguhnya tidak boleh melakukan ibadah melainkan kepada Allah SWT yang Maha Esa. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 14/92)
Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di menyatakan, Allah SWT memerintahkan supaya melakukan ibadah hanya kepada-Nya sahaja dan tidak menyekutu serta syirik kepada-Nya. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/442)
Berbalik kepada ayat (لَا تَتَّخِذُوا إِلَـٰهَيْنِ اثْنَيْنِ) Al-Imam al-Qunawi mentafsirkan Ayat (لَا تَتَّخِذُوا) juga diberi maksud “la ta’taqid” iaitu janganlah kamu mempercayai. Selain itu, ayat ini juga memberi maksud “la ta’abbudu” iaitu janganlah kamu menyembah. Ini dapat difahamkan, maksud ayat ini adalah janganlah kamu menyembah dua sembahan (Tuhan) iaitu menyekutukan Allah SWT tuhan yang Esa. (Lihat al-Futuhat al-Ilahiyyat, 4/232; Hasyiah al-Qunawi ala Tafsir al-Baidawi, 11/292)
Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di menyatakan ayat ini menerangkan supaya janganlah melakukan perbuatan syirik dan menyekutukan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Sa’di, 1/442).
Imam al-Suyuti dan Imam Mahalli menyatakan, ayat (اثْنَيْنِ) merupakan ayat penguat (ta’kid) bagi ayat selepasnya iaitu (إلَه وَاحِد) bagi mengukuhkan lagi sifat ketuhanan dan keesaan Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Jalalain, hlm 352).
Syeikh Mutawalli al-Sya’rawi di dalam tafsirnya menerangkan, bahawa uslub atau gaya bahasa arab apabila ia didatangkan ayat pengukuhan (ta’kid), maka ayat selepasnya itu adalah ayat yang menceritakan tujuannya (murad). (Lihat Tafsir al-Sya’rawi, 13/7993).
Ini seperti yang disebut Dr. Wahbah Zuhaili di dalam tafsirnya, bahawa ayat (إِلَـٰهَيْنِ اثْنَيْنِ) merupakan ayat untuk memperkuatkan (ta’kid) iaitu didatangkan dengan dua perkataan yang sama erti. Ini bertujuan untuk menguatkan penafian berbilangnya Tuhan yang disembah. Selepas itu, Allah SWT datangkan ayat penjelasan dan penegasan sifat keesaan-Nya iaitu ayat (إنَّمَا هُوَ إلَه وَاحِد). Ini bertujuan menjelaskan wujudnya Tuhan yang Maha Esa dan penafian wujudnya berbilang Tuhan. (Lihat al-Tafsir al-Munir, 14/154)
Kesimpulan
Berbalik kepada persoalan yang diajukan serta penerangan ulama yang diberikan, dapat disimpulkan bahawa surah al-Nahl ayat ke 51, Allah SWT menyatakan ayat penafian sebagai penjelasan supaya tidak menyekutukan Allah SWT dengan menyembah selain daripada-Nya. Kemudian Allah SWT mendatang ayat penegasan bagi menjelaskan lagi tentang sifat keEsaan bahawa tiada Tuhan selain daripadaNya. Hal ini, menunjukkan bahawa penggunaan gaya Bahasa Arab di dalam al-Quran di dalam menjelaskan sesuatu perkara.
Justeru, dari segi kefahaman ayat di atas boleh disimpulkan bahawa Allah SWT melarang umat-Nya untuk menyembah selain daripada-Nya serta melarang menyengutu dan mensyirikkan-Nya.
Oleh itu, selaku umat Islam wajib berpegang dan percaya bahawa tiada Tuhan yang disembah melain Allah SWT. Firman Allah SWT:
اللَّـهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا هُوَ الْحَيُّ الْقَيُّومُ
Maksudnya: Allah, tiada Tuhan (yang berhak disembah) melainkan Dia, Yang Tetap hidup, Yang Kekal selama-lamanya mentadbirkan (sekalian makhlukNya).
(Surah al-Baqarah, 255)
Semoga Allah SWT memberi kita kefahaman dalam melaksanakan setiap amalan agar setiap amalan yang kita lakukan bertepatan dengan apa yang dikehendaki oleh Allah SWT dan Rasulullah SAW