Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1573: KEDUDUKAN WALI DALAM PERKAHWINAN SEORANG JANDA

ALKAFI 1573

SOALAN

Asslamualaikum Ustaz. Seorang janda ingin berkahwin tanpa pengetahuan walinya dan dia ada memberitahu bahawa janda tidak perlu wali untuk berkahwin. Benarkah kenyataan janda tersebut, bolehkah janda berkahwin tanpa wali dan adakah wali hanya diwajibkan kepada anak dara?

JAWAPAN

Muqaddimah

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.

Setiap perkahwinan perlu memenuhi rukun dan syarat sah yang telah ditetapkan oleh syarak. Wali merupakan salah satu rukun nikah, majoriti fuqaha berpendapat bahawa perkahwinan seorang perempuan tanpa wali adalah tidak sah dan terbatal. Perkara ini tidak membezakan sama ada perempuan tersebut anak dara atau janda.

Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW bersabda:

لَا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ الْمَرْأَةَ، وَلَا تُزَوِّجُ الْمَرْأَةُ نَفْسَهَا

Maksudnya: “Seorang perempuan tidak harus mengahwinkan perempuan lain dan tidak harus mengahwinkan dirirnya sendiri.”

Riwayat al-Daraqutni (3/227) Ibn Majah (1882) dan rijalnya thiqah

Hikmah disyariatkan wali dalam perkahwinan adalah mengikut kebiasaan adat yang sebaiknya yang mana tidak wajar seorang perempuan melakukan akad sendiri. Ini kerana dia mestilah memiliki sifat malu sebagai seorang perempuan. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 4/61]

Wali dalam perkahwinan terbahagi kepada wali mujbir dan wali ikhtiyar. Wali mujbir ialah bapa dan datuk sebelah bapa sahaja. Wali ijbar hanya boleh mengahwinkan anak dara sama ada kanak-kanak atau dewasa, dan berakal atau gila tanpa izinnya dan kerelaannya. Ini kerana wali mujbir lebih mengetahui maslahah anak perempuan tersebut dan wujudnya perasaan kasih saying terhadapnya. Walaubagimanapun, memaksa anak perempuan yang masih dara untuk berkahwin dengan pilihan wali adalah tidak afdhal. Bahkan afdhal dan sunat meminta izin untuk mengahwininya sebagai penghormatan dan menyedapkan hati.

Justeru seorang wali mujbir yang mengahwinkan anak perempuannya perlulah menepati syarat yang berikut:

  • Tidak terdapat permusuhan yang nyata antara wali dan anak perempuan yang diwalikannya
  • Bakal suami yang dipilih mestilah sekufu
  • Bakal suami berkeupayaan menyerahkan mas kahwin dengan segera

Berbeza pula sekiranya anak perempuan tersebut adalah seorang janda. Janda tidak boleh dikahwinkan tanpa keizinannya atau kerelaannya walaupun wali tersebut ialah bapanya sendiri. Hal ini berdasarkan hadith Rasulullah SAW:

لَا تُنْكَحُ الْأَيِّمُ حَتَّى تُسْتَأْمَرَ، وَلَا تُنْكَحُ الْبِكْرُ حَتَّى تُسْتَأْذَنَ»، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللهِ، وَكَيْفَ إِذْنُهَا؟ قَالَ: «أَنْ تَسْكُتَ»

Maksudnya: “Janganlah dikahwinkan janda sehingga diminta persetujuannya dan janganlah dikahwinkan anaka dara sehingga diminta izinnya.” Para sahabat bertanya, “Bagaimana mengetahui keizinannya?” Rasulullah SAW bersabda: “Dia diam.”

Riwayat al-Bukhari (5136) dan Muslim (1419)

Hikmah mendapat persetujuan janda sebelum mengahwinkannya adalah kerana dia sudah memahami tujuan perkahwinan. Pengalaman daripada perkahwinanya terdahulu menyebabkan dia lebih senang berterus terang dalam memberikan persetujuannya. [Lihat: al-Fiqh al-Manhaji 4/65-67]

Penutup

Tuntasnya, dalam setiap perkahwinan seorang perempuan sama ada masih gadis atau janda, tidak sah tanpa kewujudan wali. Seorang wali tidak boleh mengahwinkan perempuan yang janda tanpa keizinannya, namun ia tidak bermaksud seorang janda boleh berkahwin tanpa wali. Ini berdasarkan sebuah hadis:

لَا نِكَاحَ إِلَّا بِوَلِيٍّ

Maksudnya: “Tidak sah nikah melainkan dengan wali.”

Riwayat Abu Daud (2085)

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang jelas dan sahih dalam memahami syariat Islam. Wallahua’lam.