Soalan
Assalamualaikum Dato. Saya ada satu pertanyaan. Benarkah sebelum firaun ditelan oleh laut dia sempat bertaubat kepada Allah SWT seperti di dalam ayat 19 surah yunus. Kemudian adakah taubat firaun itu diterima oleh Allah SWT. Mohon jawapannya terima kasih.
Jawapan
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga baginda SAW, sahabat baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah baginda SAW.
Firaun dikenali sebagai raja pemerintah mesir dengan sikapnya yang zalim dan kejam. Ia juga merupakan manusia yang pernah menggelarkan dirinya sebagai tuhan semesta alam serta mencabar ajaran yang dibawa oleh Nabi Allah Musa AS. Ini seperti yang disebut di dalam al-Quran:
فَقَالَ أَنَا رَبُّكُمُ الْأَعْلَ
Maksudnya: Dengan berkata: "Akulah tuhan kamu, yang tertinggi".
(Surah al- Nazi’at, 24)
Selain itu, Firaun dengan sifat sombongnya memperolok ajaran yang dibawa oleh Nabi Musa AS supaya menyembah Allah SWT. Oleh sebab itu, Firaun memerintahkah Haman untuk membina bangunan yang tinggi supaya dapat melihat Tuhan yang diceritakan oleh Nabi Musa AS iaitu Allah SWT. Ini seperti yang diceritakan di dalam al-Quran:
قَالَ فِرْعَوْنُ يَا أَيُّهَا الْمَلَأُ مَا عَلِمْتُ لَكُم مِّنْ إِلَـٰهٍ غَيْرِي فَأَوْقِدْ لِي يَا هَامَانُ عَلَى الطِّينِ فَاجْعَل لِّي صَرْحًا لَّعَلِّي أَطَّلِعُ إِلَىٰ إِلَـٰهِ مُوسَىٰ وَإِنِّي لَأَظُنُّهُ مِنَ الْكَاذِبِينَ
Maksudnya: Dan Firaun pula berkata: "Wahai orang-orangku, aku tidak mengetahui ada bagi kamu sebarang tuhan yang lain daripadaku; oleh itu, wahai Haman, bakarkanlah untukku batu-bata, serta binalah untukku bangunan yang tinggi, supaya aku naik melihat Tuhan Musa (yang dikatakannya itu); dan sesungguhnya aku percaya adalah Musa dari orang-orang yang berdusta"
(Surah al-Qasas, 38)
Tafsir Surah Yunus Ayat 90-91
Berbalik kepada persoalan di atas, kami datangkan pandangan ulama tafsir berkenaan ayat yang menceritakan tentang Firaun dan bala tenteranya hampir mati ditenggelami laut yang dibelah oleh Nabi Musa AS, ia sempat mengungkapkan kalimah beriman kepada Allah SWT sebelum ajalnya menjelma.
Firman Allah SWT:
وَجَاوَزْنَا بِبَنِي إِسْرَائِيلَ الْبَحْرَ فَأَتْبَعَهُمْ فِرْعَوْنُ وَجُنُودُهُ بَغْيًا وَعَدْوًا ۖ حَتَّىٰ إِذَا أَدْرَكَهُ الْغَرَقُ قَالَ آمَنتُ أَنَّهُ لَا إِلَـٰهَ إِلَّا الَّذِي آمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ وَأَنَا مِنَ الْمُسْلِمِينَ
Maksudnya: Dan Kami bawakan Bani Israil ke seberang Laut Merah, lalu dikejar oleh Firaun dan tenteranya, dengan tujuan melakukan kezaliman dan pencerobohan, sehingga apabila Firaun hampir tenggelam berkatalah ia (pada saat yang genting itu): "Aku percaya, bahawa tiada Tuhan melainkan yang dipercayai oleh Bani Israil, dan aku adalah dari orang-orang yang berserah diri (menurut perintah)"
(Surah Yunus, 90)
Imam Qurtubi di dalam mentafsirkan ayat (لَا إِلَـٰهَ إِلَّا الَّذِي آمَنَتْ بِهِ بَنُو إِسْرَائِيلَ) menyatakan perakuan keimanan ketika itu tidak memberi sebarang manfaat. Taubat yang diterima Allah SWT adalah taubat sebelum didatangkan ke atasnya balasan, adapun sewaktu menerima balasan maka taubatnya tidak akan diterima oleh Allah SWT. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 8/377)
Syeikh al-Maraghi menyebut ketika firaun menyebut kata-kata taubat, ketika itu telah terputusnya waktu taubatnya itu. Ini kerana ketika ia mengungkapkan keimanan, dirinya berada di dalam keadaan tidak dapat berbuat apa-apa (ketika datangnya balasan Allah SWT). (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/151)
Lalu Allah SWT menjawab keimanan Firaun di dalam ayat seterusnya, ini menunjukkan bahawa Allah SWT tidak menerima taubat Firaun kerana ia telah diberi peringatan dan tempoh masa untuk beriman kepada-Nya.
Firman Allah SWT:
آلْآنَ وَقَدْ عَصَيْتَ قَبْلُ وَكُنتَ مِنَ الْمُفْسِدِينَ
Maksudnya: (Allah berfirman): "Adakah sekarang (baharu engkau beriman), padahal sesungguhnya engkau dari dahulu telah kufur derhaka, dan engkau telahpun menjadi dari orang-orang yang melakukan kerosakan?
(Surah Yunus, 91)
Imam al-Qurtubi menyebut di dalam tafsirnya, ayat di atas merupakan firman daripada Allah SWT. Selain itu, ada juga pendapat yang menyatakan ayat di atas merupakan kata-kata daripada Malaikat Jibril, Mikail atau Malaikat yang lain RAnhum. Mengikut pendapat yang lain, ayat di atas merupakan kata-kata Firaun dalam dirinya ketika dalam keadaan nazak. (Lihat Tafsir al-Qurtubi, 8/379)
Syeikh al-Maraghi menyebut di dalam tafsirnya, ayat di atas memberi maksud jawab balas Allah SWT kepada Firaun dengan pertanyaan iaitu, baru sekarangkah engkau hendak beriman setelah engkau melakukan keburukan pada saat kematian semakin hampir. Oleh itu, ungkapan keimanan pada waktu itu tidak lagi akan diterima. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 11/151)
Justeru, bukti bahawa taubat Firaun tidak diterima oleh Allah SWT kerana Allah SWT menceritakan di dalam surah yang lain berkenaan dengan azab yang akan dihadapi oleh Firaun serta pengikutnya ketika di alam barzakh dan dihari akhirat.
Firman Allah SWT:
النَّارُ يُعْرَضُونَ عَلَيْهَا غُدُوًّا وَعَشِيًّا ۖ وَيَوْمَ تَقُومُ السَّاعَةُ أَدْخِلُوا آلَ فِرْعَوْنَ أَشَدَّ الْعَذَابِ
Maksudnya: Mereka didedahkan kepada bahang api neraka pada waktu pagi dan petang (semasa mereka berada dalam alam Barzakh); dan pada hari berlakunya kiamat (diperintahkan kepada malaikat): "Masukkanlah Firaun dan pengikut-pengikutnya ke dalam azab seksa api neraka yang seberat-beratnya!
(Surah Ghafir, 46)
Kesimpulan
Bebalik kepada persoalan di atas dan penjelasan diberikan, dapat kami simpulkan di sini bahawa Firaun sempat mengungkapkan keimanannya kepada Allah SWT dalam keadaan ia hampir mati ditenggelami oleh laut yang dibelah oleh Nabi Musa AS. Akan tetapi Allah SWT tidak menerima taubatnya kerana ia bertaubat dalam keadaan ia sedang nazak dan tidak dapat berbuat apa-apa. Hal ini seperti yang dijelaskan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah bin Amr RA, Sabda Nabi SAW:
إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ لَيَقْبَلُ تَوْبَةَ الْعَبْدِ مَا لَمْ يُغَرْغِرْ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah Azza Wa Jalla menerima taubat seseorang hamba selagi mana nyawanya tidak sampai ke kerongkong
Riwayat Ibnu Majah (4253)
Semoga Allah SWT memberikan kita kesempatan untuk bertaubat serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.
WaAllahu a’lam.