Soalan :
Assalamu’alaikum tuan Mufti, kalau seseorang lelaki berada dalam keadaan berjunub, adakah boleh untuk dia tidur dalam keadaan tersebut ? Atau dia perlu untuk mandi wajib terlebih dahulu ?
Jawapan :
Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Menjawab berkenaan dengan isu ini, seseorang itu dianggap berjunub apabila berlaku dua perkara kepada dirinya. Pertama, keluar air mani sama ada melalui mimpi dan sebagainya. Kedua, mengadakan hubungan suami isteri, meskipun tidak keluar air mani.
Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, kami kongsikan beberapa riwayat yang berikut. Antaranya adalah sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Salamah R.A beliau bertanya kepada A’isyah R.Anha :
أَكَانَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم يَرْقُدُ وَهْوَ جُنُبٌ قَالَتْ نَعَمْ وَيَتَوَضَّأُ
Maksudnya : Adakah Nabi S.A.W pernah tidur dalam keadaan berjunub ? Kemudian A’isyah menjawab : Ya, dan baginda berwuduk (terlebih dahulu sebelum tidur).
Riwayat Al-Bukhari (286)
Imam Al-Hafiz Ibn Rajab al-Hanbali dalam syarahan beliau ke atas hadis ini berkata : ‘’Hadis ini menunjukkan keharusan untuk melewatkan mandi junub tanpa sebarang dharurat. Akan tetapi sekiranya dia hendak tidur maka disunatkan untuk dia berwuduk terlebih dahulu’’. Rujuk Fath al-Bari, Ibn Rajab (1/349).
Demikian juga seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar R.A beliau berkata :
اسْتَفْتَى عُمَرُ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم أَيَنَامُ أَحَدُنَا وَهوَ جُنُبٌ قَالَ نَعَمْ إِذَا تَوَضَّأَ
Maksudnya : Umar pernah bertanya kepada Nabi S.A.W : ‘’Adakah boleh seseorang dari kami tidur dalam keadaan dia berjunub ?’’. Lalu jawab Rasulullah S.A.W : ‘’Ya boleh, apabila dia telah berwuduk’’.
Riwayat Al-Bukhari (289)
Manakala dalam riwayat yang lain daripada Ibn Umar R.A beliau berkata : Umar pernah menceritakan kepada Rasulullah S.A.W bahawa dia berjunub pada waktu malam. Kemudian Rasulullah S.A.W berkata :
تَوَضَّأْ وَاغْسِلْ ذَكَرَكَ ثُمَّ نَمْ
Maksudnya : Berwuduklah kamu dan basuhlah kemaluan kamu kemudian tidurlah.
Riwayat Al-Nasa’ie (261)
Meskipun begitu, di sisi para fuqaha al-Syafi’eyyah dan selain mereka arahan yang terdapat di dalam riwayat di atas ini bukanlah merujuk kepada makna wajib sebaliknya merujuk kepada hukum mustahab iaitu disunatkan. Ini kerana terdapat beberapa riwayat lain yang menunjukkan bahawa hukumnya adalah mustahab sahaja.
Syeikh Al-Mahamili Al-Syafi’e ketika menjelaskan keadaan-keadaan yang mana seseorang itu disunatkan untuk berwuduk menyebut antaranya :
والوُضُوءُ لِلْجُنُبِ عِنْدَ النَّومِ
Maksudnya : Dan berwuduk ketika hendak tidur bagi orang yang berjunub.
Rujuk Al-Lubab fil Fiqh al-Syafi’e (Hlm. 59)
Penutup
Sebagai kesimpulan setelah kami merujuk kepada beberapa nas dan hujahan di atas kami menyatakan bahawa dibolehkan untuk seseorang yang berjunub itu melewatkan mandi wajibnya kepada selepas bangun dari tidur. Namun, disunatkan untuk seseorang yang berjunub untuk mengambil wuduk seperti wuduk solat sebelum dia tidur. Sekiranya dia tidur dalam keadaan berjunub tanpa berwuduk terlebih dahulu maka hukumnya adalah makruh.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.