Soalan :
Assalamu’alaikum S.S Mufti, benarkah malaikat tidak masuk ke dalam rumah orang yang dalam keadaan berjunub ?
Jawapan :
Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.
Junub berasal daripada sebutan janabah yang membawa erti jauh. Dari sudut istilah para fuqaha’ pula, Imam Al-Nawawi mendefinisikan junub dengan kata beliau : Istilah janabah di sisi syarak merujuk kepada mereka yang keluar air mani dan juga mereka yang melakukan persetubuhan. Dinamakan junub kerana ia menjauhkan seseorang dari solat dan juga membaca Al-Quran. Rujuk Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab, Al-Nawawi (2/159).
Merujuk kepada persoalan yang dikemukakan, kami menyatakan bahawa memang terdapat nas syarak yang menunjukkan kepada perkara tersebut. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ali bin Abi Thalib R.A beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :
لاَ تَدْخُلُ الْمَلاَئِكَةُ بَيْتًا فِيهِ صُورَةٌ وَلاَ كَلْبٌ وَلاَ جُنُبٌ
Maksudnya : Malaikat tidak akan masuk ke dalam rumah yang terdapat padanya gambar, anjing, dan juga orang yang berjunub.
Riwayat Al-Nasa’ie (262)
Para ulama hadis apabila mensyarahkan hadis ini mereka mengatakan bahawa malaikat yang dimaksudkan tidak masuk ke dalam rumah ini adalah malaikat rahmat dan bukannya malaikat al-hafazhah (yang menjaga manusia dan mencatat perilakunya) dan bukan juga malaikat maut.
Kata Imam Al-Khattabi : Yang dimaksudkan dengan malaikat di sini adalah mereka yang turun dengan membawa keberkatan dan rahmat dan bukannya malaikat al-hafazhah kerana sesungguhnya mereka sama sekali tidak berpisah dari orang yang berjunub atau pun orang yang tidak berjunub. Rujuk Ma’alim Al-Sunan, Al-Khattabi (1/75).
Syeikh Badruddin Al-‘Aini ketika mensyarahkan hadis di atas ini beliau berkata : Yang dimaksudkan dengan junub dalam hadis ini adalah individu yang mengambil mudah dalam isu mandi junub dan menjadikan hal tersebut sebagai kebiasaan sehingga membawa kepada terlepasnya satu solat bahkan membawa kepada terlepasnya beberapa solat. Dan bukanlah yang dimaksudkan oleh hadis ini bagi mereka yang melewatkan mandi wajib namun dia berniat untuk mengerjakannya. Atau yang dimaksudkan dari hadis ini adalah mereka yang tidak mengangkat hadasnya secara menyeluruh atau secara sebahagian. Ini kerana, seseorang yang berwuduk maka telah terangkat sebahagian hadas dari dirinya.
Rujuk Umdah Al-Qari, Badruddin Al-‘Aini (3/242)
Justeru, makna golongan berjunub dalam hadis di atas ini bukanlah difahami secara mutlak. Namun, ia terkhusus kepada mereka yang memandang enteng lagi remeh kepada mandi wajib dengan meninggalkan ia secara terus dan membawa kepada meninggalkan solat. Ini kerana, jika hadis ini datang secara umum maka ia akan bercanggahan dengan perbuatan Rasulullah seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu Al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata :
كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم يَنَامُ وَهُوَ جُنُبٌ مِنْ غَيْرِ أَنْ يَمَسَّ مَاءً
Maksudnya : Rasulullah S.A.W pernah tidur dalam keadaan berjunub tanpa menyentuh air (mandi wajib).
Riwayat Abu Daud (228)
Maka hadis ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W sendiri pernah tidur dalam keadaan berjunub dari sudut baginda tidak mandi wajib terlebih dahulu sebelum tidur dan menangguhkan perlaksanaannya sehingga baginda bangun dari tidur.
Penutup
Sebagai kesimpulan, setelah kami meneliti beberapa riwayat dan hujahan di atas kami menyatakan bahawa dalam berinteraksi dengan dua riwayat ini maka perkara pertama yang perlu dilakukan adalah menghimpunkan di antara kedua dua dalil. Dari sudut malaikat membawa rahmat tidak masuk ke dalam rumah mereka yang mengambil mudah akan mandi junub, meninggalkan perlaksanaannya sehingga membawa kepada meninggalkan solat. Adapun mereka yang menangguhkan perlaksanaan mandi junub namun ada niat untuk mengerjakannya sebaik sahaja tiba waktu solat, maka mereka tidak termasuk dalam makna ancaman yang terdapat dalam hadis tersebut.
Akhir kalam, kami berdoa kepada Allah S.W.T supaya memberikan kefahaman yang baik kepada kita semua dalam beragama. Ameen.