Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1667: HUKUM MAKMUM SOLAT BERSENDIRIAN DI BELAKANG SAF

AK 1667

Soalan:

Assalamualaikum W.B.T. Saya masuk ke masjid dan mendapati saf-saf hadapan telah penuh. Oleh itu saya berada di saf belakang secara berseorangan. Apakah hukum solat saya?

Jawapan:

Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Sabda Nabi Muhammad S.A.W:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ، قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏سَوُّوا صُفُوفَكُمْ فَإِنَّ تَسْوِيَةَ الصَّفِّ مِنْ تَمَامِ الصَّلاَةِ ‏

Maksudnya: “Daripada Anas bin Malik R.A berkata: berkata Rasulullah S.A.W: “Rapikanlah barisan (saf) kamu, kerana merapikan saf termasuk dalam kesempurnaan solat.”

Riwayat al-Bukhari (723) dan Muslim (433)

Para ulama’ berselisih pandangan dalam masalah ini kepada dua pendapat:

Pendapat Pertama: Solat makmum tersebut batal dan wajib ke atasnya mengulangi solat tersebut kembali. Ini adalah pandangan yang Imam Ahmad, Ishak dan An-Nakha'ie. 

Berkata Imam Ibnu Qudamah: “Dan sesiapa yang solat di belakang saf secara bersendirian maka hendaklah dia mengulangi solatnya, iaitu tidak sah solatnya ”. (Rujuk: Al-Mughni, 2/155). Hal ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W:

 اسْتَقْبِلْ صَلاَتَكَ لاَ صَلاَةَ لِلَّذِي خَلْفَ الصَّف

Maksudnya: Ulangi solat kamu, tidak ada solat untuk orang yang berada di belakang saf”.

Riwayat Ahmad (4/23), Ibnu Majah (1003)

Sabda Nabi S.A.W dari Wabisah (وَابِصَة) bin Mi’bad al-Juhaniy R.A. yang menceritakan:

أن رسول الله - صلى الله عليه وسلم - رأى رجلاً يصلي وحده خلف الصف، فأمره أن يعيد صلاته

Maksudnya: “Bahawasanya Rasulullah S.A.W telah melihat seorang lelaki mengerjakan solat dengan berada di belakang saf seorang diri, lalu baginda menyuruhnya agar mengulangi solatnya”.

Riwayat Ahmad (4/228), Abu Daud (682), al-Tirmizi (230)

Berdasarkan hadis di atas, arahan nabi supaya mengulangi kembali solat tersebut menunjukkan hukum solatnya terbatal. Hal ini disebabkan perbuatan mengulangi solat tersebut adalah suatu ilzam (ketetapan) dan taklif (hal yang dipertanggungjawabkan). Justeru, seseorang tidak dipertanggungjawabkan untuk melaksanakan ibadah lebih daripada sekali. Ini menunjukkan bahawa suruhan untuk mengulangi kembali solat adalah isyarat kepada solat sebelumnya telah terbatal. (Rujuk: Al-Syarh al-Mumti' ‘ala Zad al-Mustaqni', 4/270).

Pendapat Kedua: Solat makmum tersebut sah tetapi makruh. Ini adalah pandangan di sisi mazhab Syafie, Hanafi dan Maliki. (Rujuk: Al-Bada'ie al-Sona'ie, 1/146; Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 4/192).

Berkata Imam Khatib al-Syirbini: “Dan dimakruhkan bagi (makmum) untuk solat bersendirian belakang imam), dan hendaklah dia masuk ke dalam saf sekiranya ada kelapangan (tempat)”. Hal ini adalah berdasarkan hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Abi Bakrah R.A:

عَنْ أَبِي بَكْرَةَ: أَنَّهُ انْتَهَى إلَى النَّبِيِّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - وَهُوَ رَاكِعٌ فَرَكَعَ قَبْلَ أَنْ يَصِلَ إلَى الصَّفِّ فَذَكَرَ ذَلِكَ لِلنَّبِيِّ - صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ - فَقَالَ: زَادَكَ اللَّهُ حِرْصًا وَلَا تَعُد

Maksudnya: Daripada Abi Bakrah R.A: “Ketika beliau (Abu Bakrah) sampai di masjid ketika Nabi S.A.W. sedang ruku’ (semasa mengerjakan solat berjamaah), lalu ia turut ruku’ sebelum sampai di saf. Apabila diceritakan kepada Nabi, baginda berkata kepada Abu Bakarah itu; “Semoga Allah meningkatkan cintamu untuk kebaikan dan jangan kamu ulangi (perlakuan tersebut)”.

Riwayat al-Bukhari (783)

Justeru, hadis di atas menunjukkan bahawa Nabi S.A.W tidak menyuruhnya untuk mengulangi solatnya maka ia menunjukkan bahawa solatnya tetap sah. Namun hukumnya (solat bersendirian di belakang imam) adalah makruh iaitu boleh menghilangkan pahala jamaah, tetapi tidaklah sampai membatalkan solat. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 4/298; Mughni al-Muhtaj, 1/558).

Adapun hadis yang mengatakan tidak ada solat bagi orang yang bersendirian (لاَ صَلاَةَ لِلَّذِي خَلْفَ الصَّف), para ulama’ mengatakan maksud hadis tersebut ialah tidak ada (kesempurnaan) solat orang yang solat bersendirian di belakang saf. (Rujuk: Al-Majmu' Syarh al-Muhadzzab, 4/298).

Manakala mengenai hadis yang menyuruh untuk mengulangi solat (فأمره أن يعيد صلاته), menurut ulama’ mazhab Syafie arahan untuk mengulangi solat di dalam hadis tersebut hendaklah difahami sebagai arahan sunat sahaja (yakni digalakkan mengulangi solat) untuk diselarikan dengan hadis pertama tadi di mana Nabi tidak menyuruh agar diulangi solat walaupun situasinya adalah sama. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/558).

Justeru, di sisi mazhab Syafie, dalam situasi ini, jika kita dapat mencelah masuk ke dalam saf yang sedia ada itulah yang sebaik-baiknya. Jika tidak dapat mencelah kerana saf telah padat, disunatkan untuk menarik salah seorang yang berada di saf hadapan untuk berada di dalam saf yang sama dengan kita. Dengan syarat hendaklah mengangkat takbiratul ihram terlebih dahulu (yakni memasuki solat terlebih dahulu), kemudian barulah menariknya. Hal ini adalah untuk keluar daripada khilaf iaitu pandangan sesetengah ulama’ yang mengatakan solat orang yang bersendirian di belakang imam adalah terbatal. Sementara bagi orang yang ditarik pula sunat membantu orang yang menariknya (yakni dengan melangkah ke belakang). Hal demikian adalah untuk memperolehi pahala saling membantu dalam mengerjakan kebaikan dan ketakwaan. (Rujuk: Mughni al-Muhtaj, 1/559).

Kesimpulan
Setelah meneliti perbahasan di atas, kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:

  • Hukum solat orang yang bersendirian di belakang saf adalahsah tetapi hukumnya adalah makruh kerana boleh menghilangkan pahala berjemaah.
  • Justeru, di sisi mazhab Syafie, sebaiknya hendaklah mencelah masuk ke dalam saf yang sedia ada, namun sekiranya saf telah padat, disunatkan untuk menarik salah seorang yang berada di saf hadapan untuk berada di dalam saf yang sama bagi mendapatkan fadhilat berjemaah. Dengan syarat hendaklah mengangkat takbiratul ihram terlebih dahulu.
  • Sunat bagi orang yang ditarik untuk melangkah ke belakang bagi mendapatkan kelebihan atas dasar tolong-menolong dalam perkara kebaikan dan ketakwaan. Wallahu a’lam.