Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1668: ADAKAH WUJUD 'ZAKAT RAMBUT BAYI'?

1668

SOALAN

Assalamualaikum. Saya pernah mendengar amalan timbang rambut bayi dan disedekahkan dengan nilai emas atau perak? Adakah itu dikira sebagai zakat dan apa hukumnya?

Mohon pencerahan berkaitan perkara ini. Terima kasih.

JAWAPAN

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah ﷻ, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, ahli keluarga Baginda ﷺ, sahabat Baginda ﷺ serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda ﷺ.

Amalan menimbang rambut bayi merupakan amalan sunat yang dianjurkan di dalam Islam, bukan hanya adat yang dilakukan oleh masyarakat kita.

Ini berdasarkan hadith daripada Saidina Ali R.A, katanya, Rasulullah SAW mengaqiqahkan seekor kambing bagi al-Hasan dan bersabda:

عَقَّ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنِ الْحَسَنِ بِشَاةٍ وَقَالَ: يَا فَاطِمَةُ احْلِقِى رَأْسَهُ وَتَصَدَّقِى بِزِنَةِ شَعْرِهِ فِضَّةً، قال: فَكَانَ وَزْنُهُ دِرْهَمًا أَوْ بَعْضَ دِرْهَمٍ

Maksudnya: “Wahai Fatimah, cukurlah rambutnya dan bersedekahlah perak mengikut berat rambut tersebut.” Ali berkata: “Fatimah pun menimbang rambut itu dan mendapati beratnya satu dirham atau setengah dirham.”

Riwayat al-Tirmizi (1519), Al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (19776), dan Ibn Abi Syaibah dalam al-Musannaf (5/529)

Syeikh al-Mubarakfuri berkata: Ini menjadi dalil bahawa sunat bersedekah dengan nilai timbangan rambut bayi yang baru lahir dengan nilaian perak. (Rujuk Tuhfah al-Ahwazi, 5:115)

Persoalan ini telah kami jawab secara panjang lebar, sila rujuk Al-Kafi #1025 : Timbang Rambut Bayi: Ibadat atau adat?

Allah SWT telah menetapkan harta-harta yang diwajibkan ke atasnya zakat apabila cukup syaratnya. Harta yang diwajibkan tersebut ada lima jenis iaitu:

  • Haiwan ternakan (unta, lembu dan kambing)
  • Emas dan perak
  • Tanaman
  • Buah-buahan
  • Harta perniagaan

Oleh itu, amalan mengeluar kadar emas atau perak bagi timbangan berat rambut bayi pada hari ketujuh bukanlah dikategorikan sebagai zakat, namun ia hanya merupakan sedekah yang sunat. Justeru itu, tiada istilah 'zakat rambut bayi' di dalam syariat Islam.

Berkaitan hukum perbuatan ini, dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah menyatakan:

Jumhur ulama’ Maliki, Syafie dan Hanbali berpandangan bahawa perbuatan mencukur rambut dan bersedekah dengan nilai timbangannya itu adalah sesuatu amalan yang sunat.

Namun, mereka berbeza pandangan dengan jumlah nilaian yang perlu disedekahkan.

Mazhab Maliki dan Syafie berpendapat, adalah sunat disedekahkan berat timbangan rambut yang dicukur itu dengan nilai emas atau perak. Manakala menurut mazhab Hanbali pula nilai timbangan yang disedekahkan adalah berdasarkan kepada nilai perak.

Sekiranya rambut tersebut tidak dicukur, maka hendaklah dianggarkan berat tersebut dan disedekahkan mengikut nilaian berdasarkan apa yang termampu. (Rujuk al-Mausu'ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 26:107)

KESIMPULAN

Berdasarkan perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa tiada dan tidak wujud apa yang disebutkan sebagai 'zakat rambut bayi'.

Yang ada ialah amalan menimbang rambut bayi di hari ketujuh dan disedekahkan dengan nilai emas dan perak mengikut beratnya. Hukum perbuatan ini adalah sunat sahaja dengan mengikut kemampuan dan tidak sampai kepada hukum wajib. Oleh itu, hal ini amatlah digalakkan untuk dilakukan oleh mereka yang berkemampuan untuk menzahirkan kegembiraan dan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT.

Semoga Allah SWT memberikan kita kefahaman yang sahih dalam memahami syariat-Nya serta taufiq dan hidayah untuk melaksanakan ibadah ikhlas semata-mata kerana-Nya. Amin.

WaAllahu a’lam.