Soalan:
Assalamualaikum W.B.T. Saya telah mengambil anak angkat yang sekarang berusia 2 bulan. Saya juga telah mengambil pil hormon untuk mengeluarkan susu. Tetapi susu saya sangat sedikit dan menyebabkan kesakitan setiap kali pump susu. Dan saya sangat susah untuk mengumpulkan susu walaupun untuk mendapat satu kali kenyang. Ada doktor menasihatkan saya untuk mencampurkan susu badan dengan sedikit susu formula. Sekiranya saya mencampurkan sedikit susu formula adakah anak itu tetap menjadi anak susuan saya. Mohon pencerahan. Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam W.B.T. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat. Firman Allah S.W.T:
وَإِن تَعَاسَرْتُمْ فَسَتُرْضِعُ لَهُ أُخْرَىٰ
Maksudnya: “Dan sebaliknya jika kamu (dari kedua pihak) mengalami kesulitan maka bolehlah perempuan lain menyusukannya (anak)”.
(Surah al-Talaq: 6)
Berdasarkan ayat di atas, para ulama’ mengatakan hukum penyusuan adalah harus. Manakala lafaz (تَعَاسَرْتُمْ) merujuk kepada sekiranya seorang ibu terhalang untuk menyusukan anaknya atas sebab-sebab tertentu maka anak tersebut boleh disusukan oleh wanita yang lain (selain ibunya). (Rujuk: Al-Fiqh al-Manhaji, 2/191).
Penyusuan juga menyebabkan anak susuan menjadi mahram kepada keluarga ibu dan dan bapa susuan. Hal ini berdasarkan hadis Nabi S.A.W yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.A:
لاَ تَحِلُّ لِى، يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ، هِىَ بِنْتُ أَخِى مِنَ الرَّضَاعَةِ
Maksudnya: “Nabi SAW bersabda kepada anak-anak perempuan Hamzah R.A, dia tidak halal bagiku. Apa yang disebabkan keturunan turut diharamkan disebabkan penyusuan. Dia merupakan anak perempuan susuanku.”
Riwayat al-Bukhari (2502) dan Muslim (1447)
Justeru, seseorang diharamkan berkahwin dengan ibu susuannya dan semua saudara yang menjadi mahram disebabkan penyusuan dengan syarat hendaklah menjaga syarat-syarat penyusuan iaitu antaranya cukup lima kali kenyang. Hukum-hakam lebih lanjut berkaitan penyusuan bolehlah rujuk artikel kami yang berkaitan:
Bayan Linnas Siri Ke-70: Isu Berkenaan Ibu Susuan & Pelbagai Hukum (Kad Atau Sijil Susuan) http://bit.ly/2Qln8tO
Namun begitu, merujuk kepada soalan di atas, sekiranya seseorang menghadapi masalah kerana kekurangan susu adakah boleh dia mencampurkan susu (badan) tersebut dengan sedikit susu formula, dan adakah masih tsabit hukum anak susuan dengan perbuatan tersebut.
Di sisi mazhab Syafie dan Hanafi para ulama’ membahaskan masalah ini seperti berikut:
Berkata Imam al-Nawawi: “Dan tidak disyaratkan kekal susu ibu tersebut dalam keadaanya yang asal apabila terpisah daripada tempat keluarnya (buah dada), sekiranya ia berubah menjadi masam atau bergumpal atau mencair atau menjadi keju…….. dan disuap kepada bayi, maka ia (bayi) tetapi menjadi mahram kerana sampainya susu itu ke dalam perutnya dan kenyangnya ia (bayi) akibat penyusuan itu, dan sekiranya ia bercampur dengan sesuatu seperti ubat atau sebagainya daripada benda yang halal seperti air atau susu kambing atau benda yang haram seperti arak, maka sekiranya susu ibu itu lebih banyak daripada campuran tersebut, maka tetap tsabit pengharaman anak susuan tersebut sekiranya cukup lima kali susuan (kenyang)”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 9/4).
“Dan dalam keadaan ini (sekiranya susu ibu dicampurkan dengan minuman yang lain) hendaklah diminum semua campuran itu (oleh bayi), maka ketika itu tsabit hukum pengharaman kerana penyusuan, dan sekiranya hanya diminum sebahagian sahaja daripada minuman (yang telah bercampur) oleh bayi maka ulama’ berselisih pandangan dalam hal ini. Dan pandangan yang kuat mengatakan tidak tsabit pengharamannya kerana tidak pasti sampai kesemua susu (ibu) tersebut ke dalam perut bayi, ini adalah pandangan Ibn Suraij, Abu Ishak dan Al-Mawardi”. (Rujuk: Raudhah al-Tolibin, 9/5).
Berkata Imam al-Babarti: “Dan sekiranya bercampur di antara susu ibu dan ubat, dan susu ibu (kuantitinya) lebih banyak maka tsabit pengharamannya, dan sekiranya bercampur susu ibu dengan susu kambing dan susu (ibu) itu lebih banyak maka tsabit pengharamannya, adapun jika susu itu lebih sedikit (kuantitinya) maka tidak tsabit pengharaman tersebut. Hal ini kerana kuantiti yang lebih sedikit dianggap seperti benda yang tiada kerana telah hilang manfaat daripanya. Dan sekiranya bercampur susu ibu iaitu daripada dua wanita maka ia (anak) menjadi mahram kepada pemilik susu yang lebih banyak daripada salah seorang daripada keduanya.” (Rujuk: Al- ‘Inayah Syarh al-Hidayah, 3/453).
Kesimpulan
Justeru, setelah meneliti perbahasan di atas kami simpulkan masalah ini kepada beberapa perkara:
Hukum mencampurkan susu ibu dengan susu formula adalah harus terutamanya dalam keadaan darurat seperti para ibu yang menghadapi masalah kekurangan susu disebabkan sakit atau hormon yang tidak stabil atau susu yang dihasilkan daripada hormon sintetik. Tsabit pengharaman ibu susuan dengan anak susuan itu tetapi hendaklah menjaga syarat-syarat berikut:
- Hendaklah kuantiti susu ibu lebih banyak daripada susu formula atau campuran yang lain, sekiranya kuantiti susu ibu lebih sedikit, maka tidak tsabit pengharamannya. Secara kebiasaannya campuran yang dicadangkan oleh pihak bahagian laktasi di hospital ialah 2:1.
- Hendaklah mencukupkan kadar lima kali penyusuan dan kenyang serta menjaga semua syarat-syarat yang berkaitan penyusuan (seperti mana dalam artikel sebelum ini).
- Hendaklah memastikan bayi atau anak susuan tadi meminum kesemua susu yang telah bercampur tersebut sehingga habis. Hal ini adalah bertujuan untuk memastikan kesemua susu ibu tersebut sampai ke perut bayi secara yakin. Wallahu a’lam.
Kami juga menasihatkan penanya supaya dan para ibu yang mengalami masalah yang sama supaya merujuk doktor dan pengamal perubatan khususnya di bahagian laktasi untuk mendapatkan garis panduan dan bimbingan lebih lanjut berkaitan dengan penyusuan dan segala perkara yang berkaitan dengannya.
Semoga Allah memberikan kita semua kefahaman yang benar dalam beragama. Ameen.