Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1672 : STATUS KEMAHRAMAN DENGAN ANAK SUSUAN KEPADA ABANG KANDUNG

AK1672

Soalan :

Assalamualaikum. Abang dan kakak ipar saya ada mengambil anak angkat lelaki, dan anak itu dah menjadi anak susuan abang dan kakak ipar saya sekarang. Persoalannya, apa hukum saya (seorang perempuan) dengan anak susuan abang saya ? Adakah boleh bersentuhan ? Dan saya juga ada mengambil anak angkat lelaki, tetapi kakak ipar saya yang menyusukan anak angkat saya kerana saya tidak dapat susukan anak angkat saya atas faktor kesihatan. Soalan saya adakah anak angkat abang saya dan anak angkat saya akan menjadi mahram kepada saya ? Terima kasih.

Jawapan :

Wa’alaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah S.W.T. Selawat dan salam kami ucapakan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad S.A.W, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikut jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Secara asasnya, individu-individu yang menjadi mahram bagi seseorang lelaki adalah seperti yang dinyatakan di dalam firman Allah S.W.T :

حُرِّمَتْ عَلَيْكُمْ أُمَّهَاتُكُمْ وَبَنَاتُكُمْ وَأَخَوَاتُكُمْ وَعَمَّاتُكُمْ وَخَالَاتُكُمْ وَبَنَاتُ الْأَخِ وَبَنَاتُ الْأُخْتِ وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ وَأُمَّهَاتُ نِسَائِكُمْ وَرَبَائِبُكُمُ اللَّاتِي فِي حُجُورِكُم مِّن نِّسَائِكُمُ اللَّاتِي دَخَلْتُم بِهِنَّ فَإِن لَّمْ تَكُونُوا دَخَلْتُم بِهِنَّ فَلَا جُنَاحَ عَلَيْكُمْ وَحَلَائِلُ أَبْنَائِكُمُ الَّذِينَ مِنْ أَصْلَابِكُمْ وَأَن تَجْمَعُوا بَيْنَ الْأُخْتَيْنِ إِلَّا مَا قَدْ سَلَفَ ۗ إِنَّ اللَّهَ كَانَ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya : Diharamkan ke atas kamu ibu-ibu kamu, anak-anak perempuan kamu, adik beradik perempuan kamu, ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah bapa), ibu-ibu saudara kamu (dari sebelah ibu), anak-anak saudara perempuan kamu (dari sebelah adik beradik lelaki kamu), anak-anak saudara perempuan (dari sebelah adik beradik perempuan kamu), ibu-ibu susuan kamu, adik-beradik perempuan susuan kamu, ibu-ibu kepada isteri-isteri kamu, anak-anak perempuan kepada isteri kamu yang telah kamu setubuhi. Sekiranya kamu belum bersetubuh dengan mereka maka tidak ada dosa ke atas diri kamu. Dan isteri-isteri kepada anak-anak lelaki kandung kamu (menantu perempuan), dan (perbuatan) menghimpunkan antara dua adik beradik perempuan melainkan apa yang telah berlaku pada masa dahulu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.

Surah Al-Nisa’ (23)

Manakala bagi orang perempuan pula, ia mengambil pakai keadaan yang sama juga dengan nas di atas seperti yang telah kami ringkaskan berkenaan mahram bagi orang perempuan menerusi beberapa noktah berikut :

  1. Bapa kandung dan ke atas seperti datuk dan moyang.
  2. Anak lelaki dan ke bawah seperti cucu dan cicit.
  3. Adik beradik lelaki.
  4. Bapa saudara dari sebelah ibu dan ke atas seperti datuk saudara.
  5. Bapa saudara dari sebelah bapa dan ke atas seperti datuk saudara
  6. Anak-anak saudara lelaki iaitu anak lelaki kepada adik beradik lelaki atau adik beradik perempuan dan ke bawah seperti cucu-cucu saudara lelaki.
  7. Anak-anak saudara susuan.
  8. Bapa susuan.
  9. Adik beradik susuan yang lelaki.
  10. Bapa mertua.
  11. Menantu lelaki (suami kepada anak perempuan).

Imam Al-Mawardi Rahimahullah menukilkan kata-kata Imam Al-Syafi’e yang menyebut :

أَصْلُ مَا يَحْرُمُ بِهِ النِّسَاءُ ضَرْبَانِ أَحَدُهُمَا بأنسابٍ، وَالْآخَرُ بأسبابٍ مِنْ حَادِثِ نكاحٍ أَوْ رضاعٍ

Maksudnya : Asal perkara yang menjadikan seorang wanita itu mahram adalah dua bahagian. Pertamanya adalah ansab (nasab keturunan) dan berikutnya adalah asbab (sebab-sebab), iaitu daripada pernikahan atau susuan. Rujuk Al-Hawi Al-Kabir, Al-Mawardi (9/196).

Kemudian Imam Al-Mawardi menghuraikannya dengan lebih lanjut melalui katanya : ‘’ Wanita yang mahram itu ada dua kategori berikut :

Pertama : Bahagian yang mana individu ini haram secara selamanya.

Dan bahagian yang individunya menjadi mahram selamanya ini ada dua bahagian iaitu melalui nasab serta asbab (perkahwinan dan susuan).

Kedua : Bahagian yang lain adalah haram untuk dihimpunkan (dalam satu masa yang sama sahaja). Rujuk Al-Hawi Al-Kabir, Al-Mawardi (9/196).

Implikasi mahram dalam kategori nasab dan juga asbab (perkahwinan dan susuan) ini adalah seperti berikut :

  • Haram berkahwin dengannya.
  • Boleh bersalaman dengannya.
  • Boleh bersendirian (berkhalwat) bersamanya.

Berbalik kepada persoalan yang dikemukakan, maka kami perincikan dua situasi tersebut menerusi noktah berikut :

  • Anak angkat lelaki kepada abang kandung yang telah menjadi anak susuannya.
  • Anak angkat lelaki kepada diri sendiri yang turut disusukan oleh kakak ipar iaitu isteri kepada abang kandung.

Maka dalam hal ini, kedua-dua anak angkat tersebut hakikatnya merupakan anak susuan kepada abang kandung saudari. Dalam erti kata lain, keduanya merupakan anak saudara lelaki kepada saudari yang sabit kemahramannya melalui susuan. Seperti yang telah dijelaskan di atas, susuan memahramkan seseorang seperti mana nasab memahramkan seseorang. Ini seperti yang disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ummu al-Mu’minin A’isyah R.Anha beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda :

فَإِنَّهُ يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعَةِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ

Maksudnya : Sesungguhnya menjadi mahram disebabkan susuan sama seperti menjadi mahram disebabkan nasab.

Riwayat Muslim (1445)

Penutup

Sebagai kesimpulan, kami menyatakan bahawa kedua-dua anak susuan lelaki kepada abang kandung saudari dalam situasi yang seorang merupakan anak angkat kepada abang dan seorang lagi adalah anak angkat saudari, merupakan mahram bagi saudari yang sabit melalui penyusuan. Maka implikasi kemahraman ini adalah haramnya berkahwin dan halal bersentuhan antara satu sama lain.

Akhir kalam kami berdoa kepada Allah S.W.T agar memberikan kefahaman yang tepat kepada kita semua dalam beragama. Ameen.