Soalan:
Assalamualaikum wrm. wbt.,
Benarkah tidak sah solat Zuhur di awal waktu seseorang yang tidak pergi solat Jumaat akibat Arahan Kawalan Pergerakan? Mohon pencerahan.
Jawapan:
Waalaikumussalam wrm. wbt.,
Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.
Syekh Hassan al-Kaaf menyebut dalam kitab al-Taqrirat al-Sadidah Qism Ibadah (hlm. 325):
“Tidak sah bagi orang yang tidak diberikan keuzuran untuk bertakbiratulihram bagi solat Zuhur sebelum imam solat Jumaat memberi salam.”
Fakta ini betul kerana orang yang wajib melaksanakan solat Jumaat tidak boleh sewenangnya menggantikannya dengan solat Zuhur. Alasannya ialah solat Jumaat ialah fardhu ke atasnya pada hari Jumaat pada waktu ia dilaksanakan. Namun apabila seseorang itu sengaja meninggalkan solat Jumaat, kemudian waktu pelaksanaan solat Jumaat telah luput apabila imam memberi salam di suatu tempat, maka orang yang meninggalkan solat Jumaat tadi berdosa kerana cuai dan diwajibkan ke atasnya untuk solat Zuhur.
Fakta ini tidak terpakai dalam kes perintah larangan menunaikan solat Jumaat kerana wabak Covid-19. Ini kerana illah larangan atau ketidaksahihan solat Zuhur itu berlaku bila tiada uzur. Adapun apabila wujudnya uzur seperti sakit dan takut bahaya, larangan tersebut tidak terpakai.
Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyebut:
“Setiap keuzuran yang sama tahap keterukan dengan kesukaran orang yang sakit maka itu maka itulah keuzuran (menurut Syarak) secara qias ke atas keadaan sakit yang dinaskan ke atasnya. Maka tidak wajib jumaat ke atas orang yang takut (bahaya) terhadap dirinya, atau hartanya, seperti mana riwayat Ibn Abbas R.Anhuma bahawa Nabi ﷺ bersabda:
مَنْ سَمِعَ النِّدَاءَ فَلَمْ يُجِبْهُ فَلَا صَلَاةَ لَهُ إلَّا مِنْ عُذْرٍ قَالُوا يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا الْعُذْرُ قَالَ خَوْفٌ أَوْ مَرَضٌ
Maksudnya: “Barangsiapa yang mendengar azan tetapi dia tidak menjawabnya (yakni datang menunaikannya) maka tidak ada solat baginya melainkan kerana uzur. Mereka (para sahabat) bertanya: Apakah keuzuran itu? Baginda menjawab: ketakutan dan sakit.”
Riwayat Abu Daud (551), Ibn Majah (793) dan al-Hakim (894) dalam al-Mustadrak, dan beliau mensahihkannya.”
Rujuk al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie (1/497) oleh al-Zuhaili; al-Majmu` Syarh al-Muhadzzab (4/489) oleh Imam al-Nawawi
Memandang keadaan semasa berlakunya wabak penularan virus yang boleh membawa maut iaitu Covid-19, maka berdasarkan keputusan dan arahan pihak-pihak berkuasa agama dan negara, solat berjemaah dan Jumaat tidak dilaksanakan bagi membendung penyakit tersebut yang mudah merebak dalam perhimpunan orang ramai. Ini merupakan salah satu bentuk keuzuran kerana terdapat bahaya yang ditakuti mengancam nyawa.
Keuzuran ini dijelaskan oleh Imam al-Khatib al-Syarbini dalam Mughni al-Muhtaj (1/540-541) ketika menghuraikan matan Minhaj al-Tolibin oleh Imam al-Nawawi:
"[dan disunatkan bagi orang yang berkemungkinan uzurnya hilang] sebelum luputnya (solat) Jumaat seperti orang sakit yang dijangka kebah, atau hamba yang mengharap kemerdekaan [agar melewatkan (solat) Zuhurnya sehingga dia berputus asa dari] sempat mendapatkan [Jumaat] kerana dia berkemungkinan hilang keuzuran lalu memungkinkan dia menjadi ahl al-kamal (orang yang sempurna syarat wajib Jumaat) yang wajib (solat Jumaat). Putus asa itu terhasil apabila imam mengangkat kepalanya daripada rukuk kedua mengikut pendapat yang asah. Pendapat qil: dengan apabila imam memberi salam. Inilah pendapat sekumpulan ulama. Ini disokong bahawa dalam kes orang yang tidak ada uzur kalau dia bertakbiratulihram untuk solat Zuhur sebelum salam imam maka tidak sah. Hujah ini dijawab bahawa solat Jumaat ketika itu wajib maka tidak terangkat melainkan dengan keyakinan, berbeza dengan hal di sini. Kemudian, tahap sabar (atau menunggu) untuk luputnya solat Jumaat itu ialah selama mana imam tidak melewatkan solat itu sehingga waktu hanya berbaki cukup untuk empat rakaat sahaja. Jika tidak cukup, maka tidak sunat melewatkan Zuhur... Jika orang yang uzur itu solat Zuhur sebelum luputnya Jumaat kemudian keuzurannya hilang, dan dia masih sempat untuk solat Jumaat, dia tetap tidak wajib kerana dia sudah melaksanakan fardu pada waktunya, melainkan dia itu seorang khuntha kemudian terbukti dia adalah lelaki maka dia wajib kerana dia adalah ahli al-kamal. Sekiranya dia tidak dapat melaksanakannya maka tidak berdosa kerana dia sudah menunaikan tanggungjawab pada waktunya.”
Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung untuk mengatakan bahawa seseorang yang sedang berada di rumah dan tidak menunaikan solat Jumaat semasa Arahan Kawalan Pergerakan dan arahan pembatalan solat Jumaat yang berkuatkuasa di negeri-negeri oleh pihak berkuasa agama, adalah sah untuk menunaikan solat Zuhur pada awal waktu pada hari Jumaat dan tidak tertakluk kepada hukum makruh atau haram. Ini kerana mereka termasuk dalam golongan yang mendapat uzur untuk tidak pergi solat Jumaat. Tambahan lagi, tidak ada solat Jumaat yang dilaksanakan di tempat yang terbabit.
Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada penanya. Marilah kita berdoa agar Allah ﷻ melenyapkan wabak ini dan memberi kita peluang untuk kembali menunaikan solat berjemaah dan solat Jumaat. InsyaAllah.