Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1682 : DARAH HAID PADA TUALA

af1682 compressed

Soalan:

Assalamualaikum wrm. wbt.,

Saya ada kemusykilan. Suatu ketika, saya menggunakan sehelai tuala sebanyak beberapa kali sebelum saya perasan ada tompokan darah pada tuala berkenaan. Saya tidak pasti darah apa sama ada darah haid saya atau bukan. Selepas menyedari hal itu saya terus tukar dengan tuala lain. Bagaimanakah solat saya dalam tempoh penggunaan tersebut?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam wrm. wbt.,

Alhamdulillah segala puji bagi Allah ﷻ, selawat serta salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad ﷺ, dan ke atas ahli keluarga, isteri-isteri baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah baginda hingga ke Hari Akhirat.

Menurut pendapat kami, terdapat dua isu di sini. Pertamanya berkenaan najis yang didapati pada tempat yang pada asalnya adalah suci yang kemudian ditimpa najis yang tidak diketahui bila berlakunya.  Kaedah lain menyebut:

الْأَصْلُ فِي كُلِّ حَادِثٍ تَقْدِيرُهُ بِأَقْرَبِ زَمَنٍ

Imam Jalaluddin al-Suyuti  memberi contoh, seseorang yang berwuduk dengan air telaga selama beberapa hari dan solat dengan wuduk itu kemudian mendapati di dalam telaga tadi ada bangkai tikus, maka tidak wajib ke atasnya untuk menggantikan solat melainkan dia yakin bahawa dia solat dalam keadaan bernajis.

Rujuk al-Asybah wa al-Nazhair (hlm. 59)

Isu kedua ialah sekiranya dia yakin solat dalam keadaan bernajis, adakah diwajibkan menggantikannya secara mutlak atau bergantung kepada kuantiti darah tersebut. Daripada Aisyah RA, Ummul Mukminin, bahawa beliau berkata:

مَا كَانَ لِإِحْدَانَا إِلَّا ثَوْبٌ وَاحِدٌ تَحِيضُ فِيهِ، فَإِذَا أَصَابَهُ شَيْءٌ مِنْ دَمٍ قَالَتْ بِرِيقِهَا، فَقَصَعَتْهُ بِظُفْرِهَا

Maksudnya: “Kami tidak mempunyai pakaian untuk berhaid melainkan satu. Apabila sesuatu daripada darah menimpa baju itu, kami lembabkannya dengan air liur kami kemudian menguisnya (untuk membuangnya) dengan kuku kami.”

Riwayat al-Bukhari (312)

Maka berkata Imam al-Nawawi Rahimahullah dalam al-Majmu Syarh al-Muhadzzab (1/96):

“Syeikh Abu Hamid dan selain beliau menjawab bahawa darah seumpama ini ialah darah yang sedikit tidak wajib menghilangkannya bahkan sah solat dengannya. Maka jadilah keadaannya dimaafkan. Tidak warid bahawa Aisyah membasuhnya, atau menyucikannya dengan air liur. Oleh itu tidak boleh anda mengatakan kata boleh menyucikannya dengan air liur. Hanyalah yang dikehendaki dalam hadis itu ialah menghilangkan rupa darah yang buruk pemandangannya, tetapi kekallah tempat itu bernajis seperti asal. Cumanya ia dimaafkan kerana sedikit.”

Kadar sedikit itu adalah mengikut kepada uruf kebiasaan seseorang, dan mungkin berbeza daripada pespektif seseorang. Untuk membantu, para ulama menyenaraikan ijtihad-ijtihad yang boleh diikuti untuk membantu penentuan banyak atau sedikit darah mengikut uruf.

Berkata Syeikh Abu Bakar Syato al-Dimyati dalam I`anah al-Tolibin (1/122):

“Apa yang diambilkira sebagai sedikit pada uruf maka itulah yang sedikit, dan apa yang diambilkira sebagai banyak pada uruf itulah yang banyak:

  • Dikatakan banyak itu adalah apa yang sampai pada tahap boleh dilihat pada pandangan mata tanpa perlu fokus dan perhatian.
  • Dikatakan bahawa banyak itu ialah apa yang lagi besar daripada satu dinar.
  • Dikatakan banyak itu ialah saiz tapak tangan atau lebih besar.
  • Dikatakan banyak itu ialah yang lebih besar daripada tapak tangan.
  • Dikatakan sebesar dirham baghali pada kadarnya.
  • Dikatakan apa yang lebih besar daripada dirham baghali.
  • Dikatakan apa yang lebih besar daripada satu jari.”

Berdasarkan fakta dan keterangan di atas, kami cenderung untuk jawab seperti berikut:

  • Jika tidak yakin bilakah darah itu wujud pada tuala, maka boleh ditakwil bahawa darah itu wujud selepas solat, yakni pada waktu yang paling dekat dengan waktu pengetahuan wujudnya darah itu. Maka tidak perlu mengqadha’kan solat.
  • Jika yakin solat dalam keadaan bernajis, perlu ditilik sama ada darah itu banyak atau sedikit. Jika sedikit maka tidak perlu untuk mengqadha’kan solat berdasarkan hadis Aisyah RA. Jika banyak maka wajib menggantikan. Wallahua`lam.

Semoga penjelasan ini memberikan kefahaman kepada penanya. Kita berdoa agar Allah ﷻ memberikan kita hidayah dan inayah untuk menjadi hamba-Nya yang berilmu lagi bertaqwa. Amin.