Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1684: HUKUM MENGAJAR ILMU SELAIN ILMU AGAMA DI DALAM MASJID

alkafi1684

Soalan

Assalamualaikum w.b.t, saya ada soalan berkenaan menuntut ilmu di masjid. Zaman kini, orang ramai mula mempelajari ilmu di masjid-masjid, bukan sahaja ilmu agama bahkan ilmu duniawi seperti ilmu perniagaan, ilmu kesihatan dan sebagainya. Soalan saya, adakah boleh ilmu-ilmu duniawi tersebut diajar di masjid? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah. Segala puji bagi Allah atas segala limpahan nikmat dan kurniaNya. Selawat dan salam ke atas Rasul junjungan mulia Nabi Muhammad S.A.W, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda, dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda S.A.W hingga ke Hari Akhirat.

Kami mulakan kalam ini dengan firman Allah S.W.T:

فِي بُيُوتٍ أَذِنَ اللَّـهُ أَن تُرْفَعَ وَيُذْكَرَ فِيهَا اسْمُهُ يُسَبِّحُ لَهُ فِيهَا بِالْغُدُوِّ وَالْآصَالِ ﴿٣٦

Maksudnya: (Nur hidayah petunjuk Allah itu bersinar dengan nyatanya terutama sekali) di rumah-rumah ibadat yang diperintahkan oleh Allah supaya dimuliakan keadaannya dan disebut serta diperingat nama Allah padanya; di situ juga dikerjakan ibadat mensuci dan memuji Allah pada waktu pagi dan petang.

Surah al-Nur (36)

Dalam ayat ini, rumah-rumah ibadat yang dimaksudkan adalah masjid bagi orang Islam sepertimana yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A bahawa ia adalah masjid yang dimuliakan, dan larangan ke atas benda yang sia-sia di dalamnya. [Lihat: Tafsir al-Tabari; 19/189]. Imam Ibn Kathir menambah bahawa pada ayat ini Allah S.W.T menyuruh hambaNya agar meninggikannya yakni mensucikannya (masjid) daripada kekotoran dan benda yang sia-sia serta dari sebarang perbuatan dan perkataan yang tidak sesuai padanya. [Lihat: Tafsir Ibn Kathir; 6/26].

Dalam Islam, masjid sememangnya banyak memainkan peranan penting antaranya sebagai tempat umat Islam menunaikan ibadah di dalamnya, membaca al-Quran, tempat bermesyuarat, tempat menyebarkan dakwah, tempat menyebarkan ilmu kepada orang ramai. Jika diteliti melalui sirah Rasulullah S.A.W dan juga para sahabat, dapat kita lihat bahawa masjid menjadi pusat bagi orang ramai mendalami Islam.

Syeikh Mubarakfuri menukilkan dalam kitabnya al-Rahiq al-Makhtum (hlm.167), dalam bab pembinaan Masjid Nabawi, dia berkata masjid yang dibina itu bukan hanya sekadar menjadi tempat menunaikan ibadat semata-mata, bahkan ia menjadi tempat perkumpulan orang Islam untuk menimba ilmu dan dakwah, ia juga menjadi tempat pertemuan seluruh kabilah dan juga etnik arab, ia juga sebagai pangkalan kepada pelancaran dan pengurusan segala pergerakan dan tindakan di samping ia juga sebagai tempat untuk bermesyuarat, perundangan dan juga pusat penumpuan bagi orang muhajirin yang fakir.

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, mengenai pengajaran dan pembelajaran ilmu duniawi di dalam masjid, jelas di sini bahawa yang dimaksudkan dengan ilmu duniawi adalah selain ilmu agama seperti ilmu perubatan, ilmu perniagaan dan bermacam lagi jenis ilmu. Perbahasan mengenai hukum mempelajari ilmu duniawi ada kami bahaskan dalam artikel kami yang bertajuk AL-KAFI #: HUKUM MEMPELAJARI ILMU DUNIAWI. Dan juga sebelum dibahaskan berkenaan dengannya, elok juga untuk melihat artikel kami yang bertajuk AL-KAFI #1072: HUKUM BERBUAL DI DALAM MASJID.

Pada dasarnya, mengajar ilmu agama adalah suatu perkara yang dituntut oleh syarak. Begitu banyak dalil dari al-Quran dan juga hadith Nabi Muhammad S.A.W agar menyampaikan atau menyebarkan ilmu pada orang ramai dan larangan daripada menyembunyikannya. Antara dalil yang boleh dilihat di sini adalah sepertimana firman Allah S.W.T:

وَإِذْ أَخَذَ اللَّـهُ مِيثَاقَ الَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ لَتُبَيِّنُنَّهُ لِلنَّاسِ وَلَا تَكْتُمُونَهُ

Maksudnya: Dan (ingatlah) ketika Allah mengambil perjanjian setia dari orang-orang yang telah diberikan Kitab (iaitu): "Demi sesungguhnya! Hendaklah kamu menerangkan isi Kitab itu kepada umat manusia, dan jangan sekali-kali kamu menyembunyikannya".

Surah Ali ‘Imran (187)

Melalui ayat ini, secara mafhum mukhalafahnya dapat kita fahami akan kepentingan menyebarkan ilmu yang dimiliki dan larangan daripada menyembunyikannya.

Meskipun begitu, dalam hal mengajar ilmu duniawi di dalam masjid, ia perlu juga dilihat pada niat dan juga adab-adab di dalam masjid. Ini berbalik kepada kaedah Fiqh:

الأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya: Hukum sesuatu perkara itu bergantung kepada niat

Maka, sekiranya seseorang itu mengajarkan ilmu duniawi ini di masjid dengan tujuan agar mendatangkan maslahah atau kebaikan dan juga manfaat buat orang ramai, maka ia dibenarkan dalam Islam. Dan sekiranya dilakukan dengan hati yang ikhlas dan niat yang baik, maka Allah S.W.T akan mengganjarinya dengan pahala insyaallah. Sabda Nabi Muhammad S.A.W yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud R.A:

مَنْ دَلَّ عَلَى خَيْرٍ فَلَهُ مِثْلُ أَجْرِ فَاعِلِهِ

Maksudnya: Sesiapa yang dapat menunjukkan suatu kebaikan (kemudian diikuti dan dilakukan kebaikan tersebut oleh seseorang yang lain) maka dia akan mendapat pahala seperti orang yang melakukannya."

Riwayat Muslim (1893)

Syeikh Sulaiman al-Ruhaili ketika ditanya berkenaan hukum mengajar dan mempelajari ilmu duniawi di dalam masjid, beliau berkata, setiap perkara yang mendatangkan manfaat dan tidak melanggar syariat, maka ia dibolehkan. Dan sekiranya seseorang itu mengajar dan juga mempelajari ilmu duniawi seperti ilmu riadhah dengan niat yang ikhlas dan baik maka dia mendapat pahala kerananya1

Penutup

Kesimpulannya, kami menyatakan bahawa hukum mengajar ilmu duniawi atau ilmu selain ilmu agama di dalam masjid adalah dibenarkan namun mestilah berdasarkan beberapa dawabith:

  • Mestilah ilmu yang diajar ialah ilmu yang mendatangkan manfaat buat orang ramai.
  • Mestilah ilmu tersebut tidak melanggar panduan dan syariat Islam.
  • Mestilah menjaga adab-adab ketika di masjid di samping memastikan kebersihan dan kesucian masjid sebagai tempat beribadah.
  • Mestilah mendapat kebenaran pihak masjid bagi menyampaikan sebarang ilmu sama ada ilmu agama mahupun selainnya.
  • Para pengajar mesti memperolehi sijil atau kad tauliah untuk mengajar dari jabatan agama atau majlis agama negeri masing-masing.

Akhir kalam, kami mendoakan agar Allah S.W.T memberikan kefahaman kepada kita dalam memahami agamanya, memberikan keringanan dan keikhlasan kepada kita untuk beribadah serta memberkati segala amal perbuatan kita.

Wallahua’lam.

 

[1] https://www.youtube.com/watch?v=XfrbRSdh9Ag Laman web diakses pada 19 Mac 2020.