SOALAN
Assalamualaikum Tuan Mufti. Saya ada soalan, adakah riba mempunyai banyak jenis? Apa yang saya faham riba ni maksudnya kita berhutang dengan orang lain kemudian kena bayar balik berlipat kali ganda tetapi saya macam pernah dengar kalau beli emas bayar secara ansuran pun dikira riba. Mohon pencerahan.
RINGKASAN JAWAPAN
Riba hanya berlaku dalam jual beli yang melibatkan item ribawi seperti yang disebutkan dalam hadis ‘Ubadah dan perkara yang mempunyai elemen yang sama dengannya sekiranya tidak menepati syarat-syarat yang telah ditetapkan Syarak.
Jenis-jenis riba dalam mazhab Syafie adalah seperti berikut:
1) Riba al-Fadl: Iaitu riba yang terjadi disebabkan berlaku jual beli yang tidak sama kuantitinya sedangkan kedua-duanya daripada jenis barang item yang sama.
2) Riba al-Nasiah: Iaitu riba yang berlaku disebabkan terdapat syarat penangguhan dalam penyerahan item ribawi ataupun duit pembayaran secara sengaja kemudian dikenakan caj tambahan.
3) Riba al-Yadd: Iaitu riba yang berlaku disebabkan lewat menyerahkan item ribawi walaupun tidak diletakkan syarat penangguhan.
HURAIAN JAWAPAN
Umumnya, setiap transaksi dalam Islam hendaklah menepati tatacara yang ditetapkan oleh Syariah seperti menepati rukun dan syarat akad jual beli beserta mengelakkan segala perkara yang boleh membatalkan akad. Namun begitu, apabila pembelian melibatkan item ribawi[1], ia memerlukan perhatian khusus agar tidak terjerumus dalam kancah riba.
Item-item ribawi ada disebutkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Ubadah Bin al-Somit RA bahawa Nabi Muhammad saw bersabda:
الذَّهَبُ بالذَّهَبِ، والْفِضَّةُ بالفِضَّةِ، والْبُرُّ بالبُرِّ، والشَّعِيرُ بالشَّعِيرِ، والتَّمْرُ بالتَّمْرِ، والْمِلْحُ بالمِلْحِ، مِثْلًا بمِثْلٍ، سَواءً بسَواءٍ، يَدًا بيَدٍ، فإذا اخْتَلَفَتْ هذِه الأصْنافُ، فَبِيعُوا كيفَ شِئْتُمْ، إذا كانَ يَدًا بيَدٍ
Maksudnya: “Emas dijual dengan emas, perak dengan perak, gandum dengan gandum, barli dengan barli, tamar dengan tamar, garam dengan garam, timbangan dan beratnya mesti sama, dibayar secara serta-merta (bukan bertangguh). Namun, jika jenis dan kategori barangnya berbeza, maka berjual belilah mengikut yang kamu kehendaki dengan syarat mesti dibayar secara serta-merta (on the spot)”.
Hadis Muslim (1587)
Elemen Riba
Jumhur ulama ketika mensyarahkan hadis di atas menyebut bahawa ‘illah (sebab) berlaku riba dalam urusan jual beli dua perkara, iaitu nilai mata wang (money) dan makanan. Jadi, segala jenis item sama ada berbentuk nilai mata wang seperti emas, perak, Ringgit Malaysia (RM), Dolar Amerika Syarikat (USD) ataupun makanan seperti beras, tepung gandum, dan lain-lain yang berkaitan, disebut sebagai ‘item ribawi’.
(Rujuk: al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie, 3/107)
Syarat-Syarat Jual Beli Item Ribawi[2]
Bagi mengelakkan terpalit dengan riba, ulama menetapkan dua syarat utama yang perlu dipenuhi ketika menjalankan aktiviti berjual beli dengan item-item ribawi. Kedua-dua syarat diambil daripada intisari hadis di atas, iaitu:
1- Mestilah sama kuantiti (سَواءً بسَواءٍ)
Huraiannya, apabila seseorang ingin melaksanakan perniagaan jual beli ataupun barang bertukar barang (sistem barter) melibatkan mata wang, mahupun makanan, maka diwajibkan sama nilai ukuran dan beratnya. Contohnya:
a) Jika mahu tukar duit daripada kertas kepada syiling, mesti ditukar dengan nilai yang sama. Contohnya, RM2 kertas mesti ditukar dengan RM2 syiling.
b) Jika mahu tukar beras A dengan beras B, mesti ditukar dengan kuantiti berat yang sama. Jika 10kg beras A, maka mesti ditukar dengan 10kg beras B.
Sekiranya syarat ini tidak dipenuhi, maka transaksi tersebut tergolong di bawah kategori Riba al-Fadl[3]; iaitu riba yang terjadi disebabkan berlaku jual beli yang tidak sama kuantitinya sedangkan kedua-duanya daripada jenis barang yang sama. Begitu juga dalam kes emas dengan emas, ringgit dengan ringgit dan lain-lain.
Walau bagaimanapun, sekiranya jual beli berlaku di antara dua item yang berlainan jenis, contohnya di antara emas dengan duit ringgit (RM), maka dibolehkan untuk tidak sama nilai unit dengan syarat jual beli mesti dilakukan serta-merta.
Contohnya, Ali membeli 1 gram emas dengan harga RM218. Walaupun nilai unit tidak sama iaitu 1 (gram) dengan 218 (RM), Syarak membenarkannya kerana kedua-dua berlainan jenis dengan syarat jual beli dilakukan secara serta-merta
2- Mestilah jual beli dilakukan secara serta-merta bukan bertangguh (يَدًا بيَدٍ)
Huraiannya, apabila hendak melakukan sebarang jual beli item ribawi, mesti jual beli dilakukan secara serta-merta dalam satu majlis, sama ada penyerahan dilakukan secara hakiki ataupun secara hukmi (contohnya diberikan resit pembayaran). Tidak boleh bertangguh sehari atau dua hari selepas itu.
Sekiranya terdapat syarat menangguhkan bayaran atau penyerahan barang, maka ia tergolong di bawah kategori Riba al-Nasiah’[4]; Iaitu riba yang berlaku disebabkan terdapat syarat penangguhan dalam penyerahan barang ataupun duit pembayaran secara sengaja kemudian dikenakan caj tambahan.
Contohnya, Ali meminjam 5kg beras daripada Ahmad dan mereka bersepakat untuk membayarnya dengan 5kg beras yang sama selepas tempoh seminggu. Tempoh seminggu tersebut dikira sebagai riba. Bahkan lebih dahsyat lagi, sekiranya Ahmad mensyaratkan supaya membayar lebih tinggi daripada harga yang dipinjam disebabkan tempoh penangguhan yang diberikan, transaksi ini terkumpul padanya dua jenis riba; iaitu riba al-fadl dan riba al-nasiah.
Selain daripada itu, terdapat juga transaksi yang niat asalnya dilakukan secara serta-merta namun terlewat dari sudut penyerahan barang. Sekiranya hal ini berlaku, transaksi tersebut tergolong di bawah kategori Riba al-Yadd[5]; iaitu riba yang berlaku disebabkan lewat menyerahkan barang walaupun tidak diletakkan syarat penangguhan.
Akhirnya, menjadi kewajipan bagi umat Islam untuk memastikan setiap jual beli yang dilakukan tidak terjerumus dalam kancah riba yang diharamkan oleh Allah dan Rasulnya.
[1] Item ribawi ialah barang yang memerlukan kaedah urus niaga khas untuk mengelakkan berlakunya riba
[2] Rujuk: al-Fiqh al-Islami Wa Adillatuhu, 5/3703
[3] وهو البيع مع زيادة أحد العوضين عن الآخر أي أن الزيادة مجردة عن التأخير. وهو لا يكون إلا في بدلين متحدي الجنس
[4] البيع نسيئة إلى أجل ثم الزيادة عند حلول الأجل
[5] البيع مع تأخير قبض العوضين أو قبض أحدهما من غير ذكر أجل