Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1853: ADAKAH TERDAPAT LARANGAN MEMAKAN IKAN BERSAMA SUSU

ak1853.JPG

Soalan

Assalamualaikum. Dalam kitab-kitab Nahu dan Bahasa Arab sering disebutkan ayat ( لا تأكل السمك وتشرب اللبن) sebagai contoh. Adakah memang wujud larangan memakan ikan dan susu ini dari sudut syarak ? Mohon penjelasan, terima kasih.

Ringkasan Jawapan

Tiada sebarang sumber larangan memakan ikan bersama susu daripada nas dan dalil al-Quran atau hadis Nabi SAW. Namun ayat ini kebiasaannya digunakan sebagai misal dan contoh oleh pakar tatabahasa Arab di dalam kitab-kitab mereka bertujuan untuk menggambarkan perbezaan dari sudut bacaan, baris dan makna. 

Namun, terdapat nasihat dan petua yang diberikan oleh Ibnu Masuwaih yang menyatakan bahawa dengan memakan ikan bersama susu boleh menyebabkan penyakit kulit dan gout akan tetapi ia sekadar pandangan dan petua dari seorang ilmuan. Jika seseorang berpontensi untuk menghidap sesuatu penyakit dengan sebab memakannya, maka perkara ini perlu dirujuk kepada pakar perubatan untuk mendapat khidmat nasihat.

Huraian Jawapan

Allah SWT mencipta bumi penuh dengan sumber makanan yang boleh diambil sebagai manfaat bagi manusia. Konsep dan kaedah dalam pemakanan yang telah ditetapkan oleh syarak secara asasnya adalah halal dan harus untuk dimakan melainkan apabila terdapat dalil dan nas tentang pengharamannya. Perkara ini seperti yang dinyatakan di dalam al-Mausu’ah al-Kuwaitiyyah:

أَنَّ الأَصْل فِي الأَطْعِمَةِ الْحِل، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya: Sesungguhnya hukum asal bagi makanan itu adalah halal. Tidak tercapai kepada hukum haram melainkan dengan dalil yang khusus :[1]

Persoalan berkaitan larangan memakan ikan bersama susu tidak terdapat dalil daripada al-Quran dan hadis Baginda Nabi SAW, namun ayat larangan tersebut kebiasaannya dijadikan contoh dan sering digunakan di dalam kitab-kitab Nahu seperti kitab Audih al-Masalik[2], Syarh Qatr al-Nada wa Bal al-Sada[3] dan Syarh Ibnu ‘Aqil[4]. Ayat ini digunakan oleh pakar tatabahasa arab sebagai contoh untuk menggambarkan perbezaan dari sudut bacaan, baris dan makna dan ia tiada kaitan dengan konteks perubatan dan kesihatan. Ayatnya seperti berikut:

لا تأكل السمك وتشرب اللبن

Maksudnya: Janganlah kamu memakan Ikan ikan berserta dengan meminum susu

Dalam hal ini, tidak dinafikan terdapat juga pandangan yang melarang memakan ikan bersama susu kerana boleh mengakibatkan penyakit kulit dan gout, namun ia sekadar tajribah (amalan mujarrab) yang diijtihad oleh ulama. Perkara ini seperti yang dinyatakan oleh Ibnu Masuwaih dan dinukilkan oleh Imam Ibnu Qayyum al-Jauzi di dalam kitabnya Zad al-Ma’ad fi Hadyu Khair al-‘Ibad:

وَمَنْ جَمَعَ فِي مَعِدَتِهِ اللَّبَنَ وَالسَّمَكَ، فَأَصَابَهُ جُذَامٌ، أَوْ بَرَصٌ أَوْ نِقْرِسٌ، فَلَا يَلُومَنَّ إِلَّا نَفْسَهُ.

Maksudnya: Sesiapa yang menghimpunkan di dalam perutnya susu dan ikan, maka dia akan ditimpa penyakit kusta, sopak dan gout. Maka jangalah menyalahkan orang lain melainkan dirinya sendiri [5]

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan di atas dapat disimpulkan bahawa tiada sebarang sumber larangan memakan ikan bersama susu daripada nas dan dalil al-Quran atau hadis Nabi SAW. Namun ayat ini kebiasaannya digunakan sebagai misal dan contoh oleh pakar tatabahasa Arab di dalam kitab-kitab mereka bertujuan untuk menggambarkan perbezaan dari sudut bacaan, baris dan makna. 

Walaubagaimanapun, tidak dinafikan terdapat nasihat dan petua yang diberikan oleh Ibnu Masuwaih yang menyatakan bahawa dengan memakan ikan bersama susu boleh menyebabkan penyakit kulit dan gout, akan tetapi ia sekadar pandangan dan petua dari seorang ilmuan. Jika seseorang berpontensi untuk menghidap sesuatu penyakit maka disarankan agar bertemu dengan pakar perubatan untuk mendapat khidmat nasihat.

Wallahua’lam

 

[1] Wizarah al-Auqaf wa-al-Syuun, al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Quwaitiyyah. (Kuwait, Dar al-Salasul. 1427H) 5: 124

[2] Abu Muhammad Jamaluddin Ibnu Hisham, Ed. Yusuf al-Syeikh Muhammad al-Baqai’e, Audih al-Masalik ila Alfiah Ibnu Malik, (Dar al-Fikr li al-Thaba’ah wa al-Nasyr wa Tauzi’), 2:212

[3] Abu Muhammad Jamaluddin Ibnu Hisham, Ed. Muhammad Mahyuddin Abdul Hamid, (Cairo, t.t 1383H) hlm. 231

[4] Ibnu ‘Aqil, Abdullah bin Abdul Rahman al-‘Uqaili al-Hamdani, Ed. Muhammad Mahyuddin Abdul Hamid, (Cairo, Dar al-Turath. 1400H) 4:17

[5] Muhammad Abi Bakr bin Ayyub Syamsuddin Ibn Qayyum al-Jauzi,  Zad al-Ma’ad fi Hadyu Khair al-‘Ibad (Bairut, Muassasah al-Risalah. 1415H) 4:347