Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1869: SOLAT SUNAT HARI RAYA BOLEH DIGANTI ATAU TIDAK?

AL KAFI 1869

Soalan

Assalamualaikum, mohon pandangan Sahibus Samahah Datuk Mufti berkenaan solat sunat hari raya aidilfitri. Adakah boleh diganti atau diqada’kan bagi solat sunat hari raya aidilfitri ataupun aidiladha jika tertinggal sebab terbangun lambat di pagi raya sebab baru-baru ni kan semua sibuk raya tiba-tiba?

Ringkasan Jawapan

Hukum qada bagi solat sunat yang terikat dengan waktu seperti solat sunat dua hari Raya, solat sunat rawatib dan solat sunat witir adalah sunat dan boleh untuk digantikan jika tertinggal. Manakala solat sunat yang dilakukan kerana sesuatu peristiwa atau keadaan tertentu seperti solat sunat gerhana dan solat tahiyatul Masjid maka ia tidak boleh digantikan.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat dan salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.

Menurut Ibn Hajar al-Haitami, disunatkan qada solat sunat hari raya Aidilfitri dan Aidiladha jika telah tamat waktu perlaksanaannya. Hal ini juga termasuk semua solat sunat yang terikat dengan waktu perlaksanaan seperti solat sunat Rawatib dan solat sunat Duha. Manakala solat sunat yang disebabkan sesuatu peristiwa adalah tidak disunatkan qada seperti solat sunat gerhana, solat sunat tahiyatul masjid dan seumpamanya.[1]

Seterusnya disebut di dalam kitab Bughyah al-Mustarsyidin bahawa:

يُنْدَبُ قَضَاءُ النَّفْلِ المًؤَقًّتِ كَالعَيْدِ وَالوِتْرِ وَالرَّوَاتِبِ مُطْلَقًا

Maksudnya: Disunatkan qada solat-solat sunat yang terikat dengan waktu seperti solat sunat hari raya, Duha dan solat sunat Rawatib secara mutlak.[2]

Hal ini disandarkan dengan perbuatan-perbuatan dan hadis nabi SAW yang mensunatkan qada solat sunat yang tertinggal. Antaranya ialah Riwayat daripada Ummu Salamah R.’Anha:

شُغِلَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنِ الرَّكْعَتَيْنِ قَبْلَ الْعَصْرِ فَصَلاَّهُمَا بَعْدَ الْعَصْرِ

Maksudnya: Nabi SAW disibukkan akan suatu urusan hingga tertinggal solat sunat dua rakaat sebelum Asar, maka Baginda SAW menggantikannya selepas Asar.

Sunan al- Nasa’ie

Begitu juga hadith riwayat Aisyah R.’Anha:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ إِذَا لَمْ يُصَلِّ أَرْبَعًا قَبْلَ الظُّهْرِ صَلاَّهُنَّ بَعْدَهُ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW jika tidak sempat solat sunat empat rakaat sebelum Zohor, maka Baginda SAW akan menggantikannya selepas solat Zohor.

Sunan al-Tirmizi

Kesimpulan

Kesimpulannya, qada bagi solat sunat yang terikat dengan waktu seperti solat sunat dua hari Raya, solat sunat rawatib dan solat sunat witir adalah sunat untuk digantikan jika tertinggal.

Sementara solat sunat kerana peristiwa atau keadaan tertentu seperti solat sunat gerhana dan solat tahiyatul Masjid maka ia tidak boleh digantikan. Perkara ini kerana pandangan ini disokong oleh dalil daripada amalan Nabi SAW.

Wallahu a’lam.

 

[1] Tuhfah al-Muhtaj, Ibn Hajar al-Haitami, Mesir: Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Jld.2, Hlm.237

(وَلَوْ فَاتَ النَّفَلُ الْمُؤَقَّتُ) كَالْعِيدِ، وَالضُّحَى، وَالرَّوَاتِبِ (نُدِبَ قَضَاؤُهُ) أَبَدًا (فِي الْأَظْهَرِ).. وَخَرَجَ بِالْمُؤَقَّتِ ذُو السَّبَبِ كَالْكُسُوفِ، وَالِاسْتِسْقَاءِ، وَالتَّحِيَّةِ فَلَا مَدْخَلَ لِلْقَضَاءِ فِيهِ،

[2] Bughyah al-Mustarsyidin, Abd al-Rahman al-Ba’lawi al-Khadrami, Beirut: Dar al-Fikr, Hlm.102