Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI # 1888 : BOLEHKAH WANITA HAID PEGANG AL-QURAN SECARA BERLAPIK ?

 

PGG min

 

Soalan:

Assalammualaikum, Adakah terdapat  halangan bagi wanita haid memegang al-Quran secara berlapik? Mohon pencerahan SS Mufti

Ringkasan Jawapan:

Wanita haid dilarang memegang mushaf al-Quran walaupun secara berlapik.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Mereka yang mengalami hadas haid mahupun nifas haram memegang dan membawa mushaf berdasarkan dalil-dalil berikut:

Firman Allah SWT:

   (٧٩) فِي كِتَابٍ مَّكْنُونٍ (٧٨) لَّا يَمَسُّهُ إِلَّا الْمُطَهَّرُونَ 

Maksudnya:Yang tersimpan dalam Kitab yang cukup terpelihara, (78) Yang tidak disentuh melainkan oleh makhluk-makhluk yang diakui bersih suci (79)

Surah al-Waqiah (78-79)

Hadis yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar:

لا يمسُّ القرآنَ إلَّا طاهرٌ

Maksudnya:Tidak menyentuh al-Quran melainkan orang yang suci

Riwayat al-Tabarani

Seterusnya, maksud mushaf ialah nama bagi yang   tertulis padanya kalam Allah SWT antara dua kulit.[1]

Hukum  wanita memegang mushaf secara berlapik adalah haram berdasarkan pandangan fuqaha mazhab Syafi’i:

مَسُّ الْمُصْحَف   حَتَّى حَوَاشِيهِ وَمَا بَيْنَ سُطُورِهِ وَالْوَرَقِ الْبَيَاضِ بَيْنَهُ وَبَيْنَ جِلْدِهِ فِي أَوَّلِهِ وَآخِرِهِ الْمُتَّصِلِ بِهِ، وَيَحْرُمُ الْمَسُّ وَلَوْ بِحَائِلٍ، وَلَوْ كَانَ ثَخِينًا

“(Haram wanita haid memegang mushaf) walaupun pada tulisan nota kaki, antara garisannya, kertas putih diantaranya, jilid  awal dan akhir yang bersambung dengan mushaf. Haram juga menyentuh mushaf walaupun dengan lapik yang tebal “[2]

Begitu juga, haram menyentuh mushaf secara berlapik dengan kain perca :

مراد بالمصحف : كل ما كتب لدراسة  قرآن ولو بعض آية مفهمة، ويحرم مس المصحف ولو بخرقة

“Mushaf ialah sebarang perkataan yang ditulis untuk mempelajari al-Quran walaupun sebahagian ayat yang dapat difahami. Begitu juga diharamkan menyentuhnya walaupun berlapik pada perca kain. [3]

Kesimpulannya, mushaf al-Quran merupakan kitab suci yang terpelihara, maka individu yang mengalami hadas dilarang membawa mahupun memegang   mushaf walaupun secara berlapik dengan kain.

 

 RUJUKAN

[1] A-Mausu’ah al-Fiqhiyah al-Kuwaitiyah J:38 p: 5

وَالْمُصْحَفُ فِي الاِصْطِلاَحِ: اسْمٌ لِلْمَكْتُوبِ فِيهِ كَلاَمُ اللَّهِ تَعَالَى بَيْنَ الدَّفَّتَيْنِ

[2] Al-Bujairimi, (1995), Hasyiyah al-Bujairimi ‘ala al-Khatib Dar al-Fikr J :1 P: 358

[3]  Al-Saqqaf, Abd Rahman bin Abdullah. (2017) Al-Ibanah wa Ifadah fi Ahkam al-Haid wa Nifas wa istihadah. Oman: Dar al-Nur al-Mubin. P: 44