Soalan
Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan soalan berkenaan khutbah Jumaat, adakah seorang khatib boleh menyampaikan khutbah Jumaat menggunakan bahasa selain daripada bahasa arab? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.
Ringkasan Jawapan
Rukun-rukun khutbah Jumaat yang lima hendaklah disampaikan dalam bahasa arab dan sekiranya khatib tidak dapat berbahasa arab, maka dia boleh menyampaikannya dalam bahasa lain di samping dia perlu berusaha untuk mempelajari penyampaian dan bacaan rukun tersebut dalam bahasa arab. Adapun ucapan dan peringatan di luar rukun khutbah, maka ia harus disampaikan dalam bahasa lain.
Huraian Jawapan
Waalaikumussalam w.b.t. Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan sekalian alam, selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda dan mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kebangkitan.
Dua khutbah merupakan pelengkap kepada asas dan rukun kewajipan Jumaat bersama-sama kefarduan mengerjakan solat Jumaat secara berjemaah. Sebagaimana maklum, dua khutbah Jumaat ini terdiri daripada lima rukun menurut mazhab Syafie. Lima rukun tersebut ialah[1]:
- Pujian kepada Allah SWT dengan menggunakan sebarang lafaz.
- Selawat ke atas Nabi SAW dengan sebarang lafaz selawat. Sebutan nama Nabi SAW hendaklah disebut dengan jelas seperti lafaz Nabi, Rasul atau Muhammad dan tidak memadai dengan sebutan ganti nama sebagai ganti kepada lafaz-lafaz tersebut seperti nya, dia dan lain-lain.
- Memberi nasihat agar bertaqwa kepada Allah SWT dengan menggunakan sebarang lafaz dan gaya bahasa.
Ketiga-tiga rukun itu menjadi rukun bagi kedua-dua khutbah. Oleh itu tidak sah kedua-dua khutbah Jumaat melainkan dengan menyempurnakan rukun-rukun tersebut.
- Membaca satu ayat al-Quran pada satu daripada dua khutbah. Ayat al-Quran yang dibaca itu hendaklah boleh difahami dan jelas maknanya.
- Mendoakan orang mukmin dalam khutbah kedua dengan sebarang doa.
Namun, menjadi persoalan di sini berkenaan adakah khutbah Jumaat boleh disampaikan dengan menggunakan bahasa asing, yakni selain daripada bahasa arab?
Menurut pendapat yang muktamad dan kuat dalam mazhab Syafie, disyaratkan dan diwajibkan bahasa arab hanyalah pada rukun-rukun khutbah sahaja.[2] Manakala bagi selain daripada rukun khutbah, maka tidak mengapa untuk disampaikan dalam bahasa lain.[3]
Hal ini kerana, rukun-rukun khutbah tersebut merupakan sebutan yang difardhukan, maka disyaratkan ia disampaikan dalam bahasa arab seperti mana lafaz tasyahhud dan takbiratul ihram, sekalipun para jemaah merupakan orang asing yang tidak mengetahui bahasa arab, begitu juga mereka bersandarkan kepada sabda Nabi SAW:
صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي
Maksudnya: “Solatlah kalian sebagaimana kalian melihat aku solat.”
Riwayat al-Bukhari (631)
Hadis ini mengisyaratkan tuntutan agar mengerjakan ibadah mengikut cara bagaimana Rasulullah SAW ajarkan dan juga praktikkan. Begitu juga, mereka bersandarkan kepada perbuatan Rasulullah SAW yang berkhutbah dengan menggunakan bahasa arab.[4]
Meskipun begitu, terdapat sedikit kelonggaran bagi khatib yang tidak mampu menyampaikan rukun-rukun khutbah dalam bahasa arab, maka dia boleh menyampaikannya dalam bahasa lain di samping dia wajib untuk berusaha mempelajari bahasa arab. Dan sekiranya tidak ada orang yang tahu berbahasa Arab sedangkan ada masa mempelajarinya maka semua jemaah tersebut berdosa dan tidak boleh mendirikan Jumaat tetapi hendaklah mendirikan solat Zuhur. Namun sekiranya kesempatan mempelajari bahasa Arab itu tidak ada, maka rukun-rukun khutbah itu hendaklah diterjemahkan kepada sebarang bahasa yang sesuai dan solat Jumaat itu dikira sah.[5]
Kesimpulan
Mazhab Syafie mensyaratkan penggunaan bahasa arab pada rukun-rukun khutbah yang lima sahaja, dan sekiranya khatib tidak dapat menyampaikan rukun tersebut dalam bahasa arab, maka dia boleh menyampaikannya dalam bahasa lain di samping dia perlu berusaha untuk mempelajari penyampaian dan bacaan rukun tersebut dalam bahasa arab. Adapun ucapan dan peringatan di luar rukun khutbah, maka ia boleh disampaikan dengan bahasa lain.
[1] Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji, (Damsyik: Dar al-Qalam, 1436H, cetakan ke-15), 1/207-208; Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Islam Kuwait, al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, (Kuwait: Dar al-Salasil, cetakan kedua), 19/177-178.
الموسوعة الفقهية الكويتية (19/ 177) وَذَهَبَ الشَّافِعِيَّةُ إِلَى أَنَّ لَهَا خَمْسَةَ أَرْكَانٍ وَهِيَ: أ - حَمْدُ اللَّهِ، وَيَتَعَيَّنُ لَفْظُ (اللَّهِ) وَلَفْظُ (الْحَمْدِ) . ب - الصَّلاَةُ عَلَى النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَيَتَعَيَّنُ صِيغَةُ صَلاَةِ، وَذِكْرِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِاسْمِهِ أَوْ بِصِفَتِهِ، فَلاَ يَكْفِي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ. ج - الْوَصِيَّةُ بِالتَّقْوَى، وَلاَ يَتَعَيَّنُ لَفْظُهَا. د - الدُّعَاءُ لِلْمُؤْمِنِينَ فِي الْخُطْبَةِ الثَّانِيَةِ. هـ - قِرَاءَةُ آيَةٍ مُفْهِمَةٍ - وَلَوْ فِي إِحْدَاهُمَا - فَلاَ يُكْتَفَى بِنَحْوِ " ثُمَّ نَظَرَ "، لِعَدَمِ اسْتِقْلاَلِهَا بِالإِْفْهَامِ، وَلاَ بِمَنْسُوخِ التِّلاَوَةِ، وَيُسَنُّ جَعْلُهَا فِي الْخُطْبَةِ الأُْولَى. وَاسْتَدَلُّوا عَلَى هَذِهِ الأَْرْكَانِ بِفِعْل النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ.
[2] Muhammad bin Ahmad al-Khatib al-Syirbini, Mughni al-Muhtaj ila Ma‘rifat Ma‘ani Alfaz al-Minhaj, (T.tp: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah, cetakan pertama, 1415H), 1/552; Muhammad Abdullah al-Jardani, Fath al-‘Allam Syarh Mursyid al-Anam, (Beirut: Dar Ibn Hazm, cetakan ke-4, 1418H), 3/52.
(وَيُشْتَرَطُ كَوْنُهَا) أَيْ الْخُطْبَةِ أَيْ أَرْكَانِهَا، وَالْمُرَادُ بِهَا الْجِنْسُ الشَّامِلُ لِلْخُطْبَتَيْنِ (عَرَبِيَّةً) لِاتِّبَاعِ السَّلَفِ وَالْخَلَفِ، وَلِأَنَّهَا ذِكْرٌ مَفْرُوضٌ.
[3] Sulaiman bin Muhammad al-Bujairami, al-Tajrid li Naf‘i al-‘Abid, (T.tp: Matba‘ah al-Halabi, 1369H), 1/389.
(قَوْلُهُ: وَالْمُرَادُ أَرْكَانُهُمَا) يُفِيدُ أَنَّهُ لَوْ كَانَ مَا بَيْنَ أَرْكَانِهِمَا بِغَيْرِ الْعَرَبِيَّةِ لَمْ يَضُرَّ
[4] Yahya bin Syaraf al-Nawawi, al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, Dar al-Fikr, 4/521-522.
هَلْ يُشْتَرَطُ كَوْنُ الْخُطْبَةِ بِالْعَرَبِيَّةِ فِيهِ طَرِيقَانِ (أَصَحُّهُمَا) وَبِهِ قَطَعَ الْجُمْهُورُ يُشْتَرَطُ لِأَنَّهُ ذِكْرٌ مَفْرُوضٌ فَشُرِطَ فِيهِ الْعَرَبِيَّةُ كَالتَّشَهُّدِ وَتَكْبِيرَةِ الْإِحْرَامِ مَعَ قَوْلِهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ " صَلُّوا كَمَا رَأَيْتُمُونِي أُصَلِّي " وَكَانَ يَخْطُبُ بِالْعَرَبِيَّةِ
[5] Al-Nawawi, al-Majmu‘, 4/522; Mustafa al-Khin, Mustafa al-Bugha, Ali al-Syarbaji, al-Fiqh al-Manhaji, 1/207.
المجموع شرح المهذب (4/ 521-522) * (فَرْعٌ) قَالَ أَصْحَابُنَا فَإِذَا قُلْنَا بِالِاشْتِرَاطِ فَلَمْ يَكُنْ فِيهِمْ مَنْ يُحْسِنُ الْعَرَبِيَّةَ جَازَ أَنْ يَخْطُبَ بِلِسَانِهِ مُدَّةَ التَّعَلُّمِ وَكَذَا إنْ تَعَلَّمَ وَاحِدٌ مِنْهُمْ التَّكْبِيرَ بِالْعَرَبِيَّةِ فَإِنْ مَضَى زَمَنُ التَّعَلُّمِ وَلَمْ يَتَعَلَّمْ أَحَدٌ مِنْهُمْ عَصَوْا بِذَلِكَ وَيُصَلُّونَ الظُّهْرَ أَرْبَعًا وَلَا تَنْعَقِدُ لَهُمْ جُمُعَةٌ