SOALAN
Assalamualaikum. Boleh terangkan apakah yang dimaksudkan dengan basuh muka dengan sapu dan beza antara kedua-duanya dalam ayat al-Quran berkaitan wuduk iaitu dalam surah al-Maidah, ayat 6?
Mohon pencerahan. Terima kasih.
RINGKASAN JAWAPAN
Perbezaan yang ketara antara basuhan dan sapuan ialah hukum basuhan perlu mengalirkan air pada anggota wuduk. Manakala hukum sapuan tidak mensyaratkan pengaliran air pada badan dan memadai hanya menyapunya sahaja. Bahkan, jika seseorang menyampaikan lembapan ke tempat yang perlu disapu tanpa menyapunya dengan tangan, maka ia sudah memadai dan sah hukumnya seperti menyapu kepala ketika berwuduk.
WaAllahu a’lam.
HURAIAN JAWAPAN
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari Kiamat.
Allah SWT berfirman berkaitan cara mengambil wuduk dalam ayat 6, surah al-Maidah:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ ۚ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan sembahyang (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian dari kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.
(Surah al-Maidah: 6)
Perintah dalam ayat di atas menunjukkan bahawa seseorang wajib untuk membasuh tiga anggota iaitu muka, tangan hingga ke siku dan kaki sehingga buku lali. Manakala wajib menyapu air ke atas satu anggota sahaja iaitu sebahagian daripada kepala. Justeru itu, perlu diterangkan tentang apa yang dimaksudkan dengan membasuh (al-ghasl) dan menyapu air (al-mash).
Menurut fuqaha mazhab al-Syafie, syarat basuhan tersebut mestilah mengalirkan air ke atas anggota wuduk. Jika hanya meratakan air tanpa mengalirkannya seluruh anggota wuduk maka ia tidak memadai dan tidak sah wuduk kerana ia bukan dikira sebagai basuhan. Imam Zakariyya al-Ansari menjelaskan perkara ini dengan berkata:
يُشْتَرَطُ فِي غَسْلِ الْأَعْضَاءِ جَرَيَانُ الْمَاءِ عَلَيْهَا فَلَا يَكْفِي أَنْ يَمَسَّهَا الْمَاءُ بِلَا جَرَيَانٍ كَمَا اتَّفَقَ عَلَيْهِ الشَّافِعِيُّ وَالْأَصْحَابُ ؛ لِأَنَّهُ لَا يُسَمَّى غَسْلًا.
Maksudnya: Disyaratkan dalam membasuh anggota wuduk untuk dialirkan air ke atasnya. Tidak memadai dengan hanya menyapu di atas anggota tanpa mengalirkannya sepertimana yang disepakati oleh Imam al-Syafie dan para ashabnya (para ulama Syafi’iyyah mutakaddim). Hal ini kerana ia tidak dinamakan sebagai basuhan.[1] (Rujuk Asna al-Matalib, 1:113)
Manakala sapuan pula tidak disyaratkan untuk mengalirkan air ke anggota wuduk. Cukup dengan hanya menyapu sedikit daripada air kepada sebahagian daripada kepala ketika berwuduk. Hukum sapuan seperti ini juga sama pada tempat yang lain seperti menyapu di atas balutan dan khuf. Imam al-Nawawi menyimpulkan perkara ini dengan berkata:
وَإِنْ كَانَ لَا يَسِيلُ لَمْ يَصِحَّ الْغُسْلُ بِلَا خِلَافٍ وَيَصِحُّ مَسْحُ الْمَمْسُوحِ وَهُوَ الرَّأْسُ وَالْخُفُّ وَالْجَبِيرَةُ هَذَا مَذْهَبُنَا
Maksudnya: Jika air tidak mengalir pada anggota badan maka tidak sah basuhan tanpa khilaf. Namun ia sah bagi sapuan ke atas tempat yang hanya perlu menyapunya sahaja seperti menyapu kepala ketika wuduk, menyapu balutan yang pada anggota badan dan khuf. Ini merupakan pandangan mazhab al-Syafie berkaitan hukum basuhan dan sapuan.[2] (Rujuk al-Majmuk, 1:81)
Bahkan, bagi hukum sapuan ini memadai baginya untuk menyampai air atau lembapan ke kepalanya tanpa dia menyapunya dengan tangan. Hal ini seperti seseorang menitiskan air di kepala sahaja dan tidak menyapunya atau hanya meletakkan tangannya yang lembap ke atas kepala, maka hukum wuduknya adalah sah. Imam Zakariyya al-Ansari menjelaskan perkara ini dengan berkata:
(وَلَوْ قَطَّرَ الْمَاءَ) عَلَى رَأْسِهِ (أَوْ، وَضَعَ يَدَهُ) الْمُبْتَلَّةَ عَلَيْهِ (أَوْ تَعَرَّضَ لِلْمَطَرِ نَاوِيًا) الْمَسْحَ (وَلَمْ يَمْسَحْ) بِالْمَاءِ فِي شَيْءٍ مِنْهَا (أَجْزَأَهُ) لِحُصُولِ الْمَقْصُودِ مِنْ وُصُولِ الْبَلَلِ إلَيْهِ
Maksudnya: Jika seseorang menitiskan setitis air atau meletakkan tangannya yang lembap ke atas kepalanya atau membiarkan dirinya berada di dalam hujan, lalu dia berniat untuk sapuan kepala bagi wuduk, tetapi dia tidak menyapu air tersebut sedikit pun dengan tangannya, maka sah wuduknya kerana terlaksana maksud menyampaikan lembapan ke kepalanya.[3] (Rujuk Asna al-Matalib, 1:34)
Kesimpulan
Oleh yang demikian, perbezaan yang ketara antara basuhan dan sapuan ialah hukum basuhan perlu mengalirkan air pada anggota wuduk. Manakala hukum sapuan tidak mensyaratkan mengalirkan air dan memadai hanya menyapunya sahaja. Bahkan, jika seseorang menyampaikan lembapan ke tempat yang perlu disapu tanpa menyapunya dengan tangan, maka sudah memadai dan sah.
WaAllahu a’lam.
Rujukan:
[1] Al-Ansari, Zakariyya, t.t, Asna al-Matalib fi Syarh Raudh al-Talib, Kaherah, Dar al-Kitab al-Islami, jld. 1, hlmn. 44.
[2] Al-Nawawi, Yahya Ibn Syaraf, t.t, al-Majmuk Syarh al-Muhazzab, Beirut, Dar al-Fikr:, jld. 1, hlmn. 81.
[3] Al-Ansari, Zakariyya, t.t, Asna al-Matalib Fi Syarh Raudh al-Talib, Dar al-Kitab al-Islami, Beirut, jld. 1, hlmn. 34.