Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1953: HUKUM BERZIKIR MENGGUNAKAN TASBIH DIGITAL KETIKA MENDENGAR KHUTBAH

Hukum_Berzikir_Menggunakan_Tasbih_Digital_Ketika_Mendengar_Khutbah.jpg

 

Soalan : 

Assalamualaikum wbt, SS Datuk. Saya mempunyai kemusykilan berkaitan hukum berzikir. Saya sentiasa berusaha untuk menjadi seorang yang istiqamah dalam berzikir. Baru-baru ini saya telah membeli tasbih digital dan menggunakannya di pelbagai tempat termasuklah ketika mendengar khutbah pada hari Jumaat. Adakah perbuatan tersebut menyebabkan pahala Jumaat saya menjadi sia-sia ? 

Ringkasan Jawapan : 

Sunat memberhentikan seketika bacaan zikir apabila khatib sedang menyampaikan khutbah dan memberikan tumpuan sepenuhnya terhadap isi kandungan khutbah tersebut. Walau bagaimanapun, disunatkan kepada jemaah yang tidak dapat mendengar secara jelas bacaan khutbah untuk berzikir secara perlahan sehingga tidak mengganggu jemaah yang lain, samada tanpa penggunaan biji tasbih atau menggunakan apa-apa alat tasbih yang tidak menggangu.

Huraian Jawapan : 

Amalan berzikir merupakan antara amalan kerohanian yang perlu dilazimi oleh setiap umat Islam. Hal ini demikian kerana zikir berperanan menjadi sumber kekuatan spiritual dan mental bagi orang yang beriman seterusnya mendekatkan diri kepada Allah SWT. Dewasa kini, kecanggihan teknologi semasa turut memberikan kemudahan kepada umat Islam untuk beribadah. Antaranya termasuklah kewujudan tasbih digital yang bertujuan membantu umat Islam untuk mengira bilangan zikir yang dibaca sekaligus memupuk amalan berzikir dalam kehidupan seharian.

Walau bagaimanapun, terdapat waktu-waktu tertentu yang disunatkan untuk menghentikan seketika bacaan zikir. Menurut Imam al-Nawawi, antara waktu yang disunatkan untuk memberhentikan seketika amalan zikir dan wirid adalah sewaktu khatib sedang menyampaikan khutbah[1].

Secara umumnya, terdapat sebuah dalil daripada al-Quran yang menjelaskan berkenaan adab ketika mendengar bacaan ayat suci al-Quran. Firman Allah SWT:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ

Maksudnya: “Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.” 

Surah al-A’raf (204)

Dalam menjelaskan ayat di atas, Imam al-Tabari telah menyimpulkan bahawa pandangan yang tepat ialah pandangan yang merujuk kepada kewajipan makmum untuk mendengar bacaan imam ketika solat. Beliau menambah bahawa maksud ayat di atas juga meliputi situasi ketika khutbah apabila makmum yang menghadiri solat Jumaat turut mendengar bacaan khutbah daripada imam yang mengandungi ayat-ayat al-Quran[2]. Lafaz “al-Insat” dalam ayat tersebut bermaksud mengambil pengajaran daripada ayat al-Quran dengan cara berfikir dan menghayati[3].

Sehubungan itu, Imam al-Ghazali telah menggariskan beberapa adab pada hari Jumaat antaranya termasuklah setiap jemaah yang menghadiri solat Jumaat perlu mendengar dengan teliti, mengambil pengajaran daripada isi khutbah yang disampaikan serta meninggalkan sebarang bentuk komunikasi (al-kalam)[4]. Tambahan pula, hukumnya adalah sunat kepada jemaah untuk memberikan tumpuan, menghayati dan memperhalusi bacaan khutbah di mimbar[5].

Walau bagaimanapun, terdapat perbezaan hukum bagi jemaah yang tidak dapat mendengar secara jelas penyampaian khutbah di mimbar. Menurut Imam al-Ramli, lebih diutamakan bagi jemaah yang tidak dapat mendengar khutbah disebabkan kedudukan yang terlalu jauh daripada mimbar untuk membaca al-Quran dan berzikir secara perlahan demi mengelakkan daripada mengganggu jemaah yang lain[6].

Kesimpulan

Berdasarkan beberapa pandangan di atas, pihak kami menyimpulkan bahawa hukumnya adalah sunat kepada setiap jemaah untuk mendengar, memahami dan menghayati bacaan khutbah di mimbar. Namun begitu, sekiranya berada pada kedudukan yang terlalu jauh sehingga tidak dapat mendengar dengan jelas khutbah tersebut, maka disunatkan untuk berzikir secara perlahan sehingga tidak mengganggu jemaah yang lain samada dengan mengguna biji tasbih (tradisional atau digital) atau tanpa penggunaan biji tasbih.

Wallahu A'lam

 

Disediakan oleh: Muhammad Ammar Harith bin Idris 

 

Rujukan: 

[1] Abu Zakariyya Yahya bin Syarf al-Nawawi, al-Azkar (t.tp : Dar Ibn Hazm, 2004), Hlm. 46.

فصل في أحوال تَعْرِضُ للذاكر يُستحب له قطعُ الذكر بسببها، ثم يعودُ إليه بعد زوالها:

٦٥- منها: إذا سُلِّم عليه ردّ السلام ثم عاد إلى الذكر، وكذا إذا عطس عنده عاطسٌ شَمَّتهُ ثم عادَ إلى الذكر، وكذا إذا سمع الخطيبَ

[2] Abu Ja’far Muhammad bin Jarir al-Tabari, Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayat al-Quran (Mekah : Dar al-Tarbiyyah wa al-Turath, t.t.), Jld. 13, Hlm. 352.

وإنما قلنا ذلك أولى بالصواب، لصحة الخبر عن رسول الله صلى الله عليه وسلم، أنه قال: "إذا قرأ الإمام فأنصتوا"، (٢) وإجماع الجميع على أن [على] من سمع خطبة الإمام ممن عليه الجمعة، الاستماعَ والإنصاتَ لها، (٣) مع تتابع الأخبار بالأمر بذلك، عن رسول الله صلى الله عليه وسلم، وأنه لا وقت يجب على أحد استماع القرآن والإنصات لسامعه، من قارئه، إلا في هاتين الحالتين، (٤) على اختلاف في إحداهما، وهي حالة أن يكون خلف إمام مؤتم به. 

[3] Abu Ja’far Muhammad bin Jarir al-Tabari, Jami’ al-Bayan ‘an Ta’wil Ayat al-Quran (Mekah : Dar al-Tarbiyyah wa al-Turath, t.t.), Jld. 13, Hlm. 352.

وتعتبروا بمواعظه (٤) = (وأنصتوا(، إليه لتعقلوه وتتدبروه

[4] Abu Hamid Muhammad al-Ghazali, Bidayah al-Hidayah (Kaherah : Maktabah Madbuli, 1993), Hlm. 49

ثم استماع الخطبة والاتعاظ بها، ودع الكلام رأسا في الخطبة  

[5] Abu Zakariyya Yahya bin Syarf al-Nawawi, Minhaj al-Tholibin wa ‘Umdah al-Muftin (t.tp : Dar al-Fikr, 2005), Hlm. 48.

وإسماع أربعين كاملين والجديد أنه لا يحرم عليهم الكلام ويسن لإنصات

[6] Syam al-Din al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj ila Syarh al-Minhaj (Beirut : Dar al-Fikr, 1984), Jld. 2, hlm. 320.

نَعَمْ الْأَوْلَى لِغَيْرِ السَّامِعِ أَنْ يَشْتَغِلَ بِالتِّلَاوَةِ وَالذِّكْرِ