Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1955: HUKUM MENGHILANGKAN WANG YANG DIAMANAHKAN UNTUK INFAK

HUKUM_MENGHILANGKAN_WANG_YANG_DIAMANAHKAN_UNTUK_INFAK.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum Datuk Mufti, saya ingin bertanyakan satu soalan. Seorang lelaki telah berhutang dengan arwah ayah saya dan melangsaikannya kepada kami sekeluarga sebagai ahli waris. Setelah itu, kami bersepakat untuk memberi bahagian harta pusaka masing-masing daripada jumlah bayaran hutang tersebut untuk disedekahkan bagi pihak ayah saya. Wang tersebut diamanahkan kepada saya dan berada di dalam simpanan saya, akan tetapi saya telah lupa tentangnya. Setelah lebih setahun, saya dapati wang tersebut hilang dan mengesyaki ia telah dicuri oleh tukang membersih rumah. Adakah saya wajib mengganti semula bahagian harta setiap adik-beradik saya? Mohon penjelasan Datuk Mufti. Terima kasih.

Ringkasan jawapan

Menjaga dan menyimpan harta milik pihak lain adalah merupakan satu amanah dan sekiranya ia rosak atau hilang, maka si penjaga atau penyimpan tidak perlu menggantinya semula kecuali jika ia berlaku atas kecuaian dirinya. Dalam kes ini, orang yang diamanahkan untuk menyimpan harta tersebut merupakan wakil bagi pihak pemberi sedekah yang lain dan bertanggungjawab melaksanakan apa yang diminta oleh pemilik harta, iaitu menginfakkan bahagian harta mereka bagi pihak ayah mereka yang sudah meninggal. Namun si penjaga tidak menyegerakan infak tersebut dan kemudiannya lupa bahawa harta yang ingin diinfakkan berada dalam jagaannya dan didapati hilang. Justeru, penjaga diwajibkan mengganti semula harta yang hilang walaupun ia dicuri melainkan jika pemilik-pemilik harta tersebut memaafkannya.

Huraian Jawapan

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Para ulama mendefinisikan harta pusaka sebagai semua yang ditinggalkan oleh si mati daripada jenis harta, hak dan manfaat. Jika seseorang berhutang dengan si mati, maka barangan atau wang yang dipinjam itu adalah termasuk dalam harta si mati walaupun berada di tangan peminjam. Justeru ia wajib dikembalikan semula kepada ahli waris sebagai harta pusaka kerana pemilikan si mati sudah beralih kepada para waris.

Seterusnya, jika seseorang ahli waris ingin menyedekahkan harta peninggalan si mati yang merupakan bahagian ahli waris yang lain, dia wajib meminta izin ahli waris tersebut terlebih dahulu kerana harta peninggalan itu merupakan milik pewaris dan dia berhak untuk menyimpan bahagiannya.

Merujuk kepada persoalan, ahli waris bersepakat ingin menyedekahkan bahagian harta pusaka mereka bagi pihak si mati, namun harta tersebut hilang di tangan orang yang diamanahkan sebelum sempat mengagihkannya.

Menurut Imam al-Nawawi, menjaga dan menyimpan harta milik pihak lain adalah merupakan satu amanah dan sekiranya ia rosak atau hilang, maka si penjaga atau penyimpan tidak perlu menggantinya semula kecuali jika ia berlaku atas kecuaian dirinya[1].

Selain itu, al-Buhuti berkata:

الوكيل أمين، لا ضمان عليه فيما تلف في يده، من ثمن ومثمن وغيرهما، بغير تفريط ولا تعدٍّ) لأنه نائب المالك في اليد والتصرُّف، فكان الهلاك في يده كالهلاك في يد المالك

Maksudnya: “Tiada ganti rugi yang dikenakan bagi sesuatu yang rosak di tangan seorang wakil yang amanah dan tidak bersikap cuai. Ini kerana dia dikira mengambil tempat pemilik dalam urusan simpanan dan transaksi, sebarang kerosakan di tangannya adalah sama seperti kerosakan yang berlaku di tangan pemilik[2].

Imam al-Nawawi juga menyatakan bahawa terdapat beberapa perbuatan yang dianggap kecuaian, antaranya termasuklah[3]:

  1. Meminta orang lain menjaga harta atau barang jagaan tanpa sebarang keperluan dan tanpa izin pemilik harta.
  2. Bermusafir dengan membawanya tanpa keperluan.
  3. Tidak memulangkan harta atau barang jagaan tersebut kepada pemilik ketika dia tidak mampu menjaganya.
  4. Memindah-mindahkan harta atau barang jagaan yang diamanahkan.
  5. Menggunakan dan mengambil manfaat daripada harta atau barangan yang dijaga.
  6. Tidak menjaga harta atau barang jagaan seperti yang dinasihatkan oleh pemilik. Sebagai contoh, pemilik harta meminta supaya hartanya diletakkan di dalam bekas yang berkunci, namun si penjaga tidak melakukan sedemikian kemudian harta tersebut hilang. Justeru, wajib ke atas si penjaga untuk menggantinya semula.
  7. Berlaku pengabaian yang menyebabkan kehilangan atau kerosakan.

Oleh itu dapat disimpulkan bahawa dalam kes ini, orang yang diamanahkan untuk menyimpan harta tersebut merupakan wakil bagi pihak pemberi sedekah yang lain dan bertanggungjawab melaksanakan apa yang diminta oleh pemilik harta, iaitu menginfakkan bahagian harta mereka bagi pihak ayah mereka yang sudah meninggal. Namun si penjaga tidak menyegerakan infak tersebut dan kemudiannya lupa bahawa harta yang ingin diinfakkan berada dalam jagaannya dan didapati hilang. Justeru, wajib ke atas si penjaga untuk menggantikan semula harta yang hilang walaupun ia dicuri melainkan jika pemilik-pemilik harta tersebut memaafkannya. Hal ini kerana jelas berlakunya kecuaian dan pengabaian daripada pihak yang diamanahkan.

Wallahua’lam

Rujukan:

[1] Mahyuddin Yahya bin Syaraf al-Nawawi, Raudah al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin, (Beirut: al-Maktab al-Islamiy, cetakan 3, 1991M), 6/327

أَنَّهَا أَمَانَةٌ، فَلَا يَضْمَنُ إِلَّا عِنْدَ التَّقْصِيرِ

[2] Mansur bin Yunus al-Buhuti, Kasyaf al-Qina’ ‘an al-Iqna’, (Wizarah al-‘Adl, cetakan 1, 2008M), 8/453

[3] al-Nawawi, Raudah al-Tolibin wa ‘Umdah al-Muftin, 6/327