Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1962: HUKUM NAFKAH ISTERI YANG DIPENJARA

 HUKUM_NAFKAH_ISTERI_YANG_DIPENJARA.jpg

 

Soalan:

Assalamualaikum, isteri kawan saya telah ditahan oleh pihak polis atas kesalahan jenayah. Suami dia tanya saya bagaimanakah nafkah isterinya adakah dia tetap kena bagi?

Ringkasan Jawapan:

Jika seorang isteri di penjara maka menurut mazhab Syafii suami tidak wajib memberikan nafkah kepada isterinya kerana nafkah itu diwajibkan di sisi mazhab Syafii berdasarkan kepada hak tamkin iaitu hak untuk bersama dengan isteri.

Huraian Jawapan:

Memberikan nafkah kepada isteri adalah suatu kewajipan bagi setiap suami. Kewajipan memberikan nafkah kepada isteri merupakan ijmak para ulama. Hal ini berdasarkan sebuah hadis:

وَلَهُنَّ عَلَيْكُمْ رِزْقُهُنَّ وَكِسْوَتُهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Menjadi kewajipan bagi kamu (suami) untuk memberikan nafkah dan pakaian kepada isteri dengan jalan makruf.”

(Riwayat al-Baihaqi)

Imam al-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim ketika menjelaskan hadis ini berkata bahawa hadis ini menjelaskan berkenaan kewajipan memberikan nafkah dan pakaian kepada isteri dan ia merupakan ijmak para ulama[1].

Menurut mazhab Syafii nafkah bagi isteri diwajibkan pada saat suami memiliki hak tamkin (التمكين التام) iaitu hak untuk bersama dengan isteri. Adapun jika suami tidak dapat untuk bersama dengan isteri seperti isteri enggan untuk bersama dengan suami tanpa sebab yang munasabah (nusyuz) maka suami tidak wajib untuk memberikan nafkah kepada isteri. Nafkah juga boleh gugur dengan sebab seseorang isteri berpuasa atau keluar dari rumah tanpa keizinan suami[2].

Dapat difahami bahawa hak untuk bersama dengan isteri memiliki kaitan yang rapat dengan kewajipan nafkah di sisi mazhab Syafii. Ulama mazhab Syafii menjelaskan bahawa apabila seseorang isteri terhalang untuk bersama dengan suami seperti jika isteri ditahan di penjara maka nafkah ke atasnya gugur. Berkenaan hukum nafkah bagi isteri yang sedang berada di penjara disebutkan dalam kitab al-Bahjah al-Wardiyyah:

لَكِنَّ النَّفَقَةَ تَسْقُطُ بِعَدَمِ التَّمْكِينِ، وَإِنْ لَمْ يَكُنْ نُشُوزٌ وَلَا تَقْصِيرٌ مِنْ الزَّوْجَةِ كَمَا تَسْقُطُ بِحَبْسِهَا ظُلْمًا

Maksudnya: “Tetapi nafkah gugur dengan sebab tidak boleh Bersama sekalipun bukan dengan sebab nusyuz atau kecuaian daripada isteri seperti gugurnya nafkah dengan sebab ditahan si isteri secara zalim.”

Bahkan menurut Imam al-Ramli hak nafkah gugur sama ada si isteri di penjara kerana melakukan kesalahan ataupun kerana dizalimi. Alasan yang diberikan oleh ulama Syafiiyah ialah kerana suami tidak memperolehi haknya untuk bersama dengan isteri dan hak untuk bersama ini merupakan sebab kepada diwajibkan nafkah[3].

Oleh itu, berdasarkan keterangan di atas dapat difahami bahawa jika isteri dipenjarakan maka menurut mazhab Syafii suami tidak wajib memberikan nafkah kepada isteri kerana nafkah itu diwajibkan di sisi mazhab Syafii berdasarkan kepada hak tamkin iaitu hak untuk bersama dengan isteri.

Wallahu a'lam

 

Rujukan: 

[1] Imam al-Nawawi, Syarah Sahih Muslim, Beirut: Dar a-Ihya al-Turast al-Arabiy (1392H), jld. 8, hlm. 184.

فيه وجوب نفقة الزوجة وكسوتها وذلك ثابت بالإجماع

 

[2] Imam al-Bujairami, Hasyiah al-Bujairami ala al-Khatib, Beirut: Dar al-Fikr (1995), jld. 4, hlm. 86.

)وَنَفَقَةُ الزَّوْجَةِ الْمُمَكِّنَةِ مِنْ نَفْسِهَا وَاجِبَةٌ) بِالتَّمْكِينِ التَّامِّ

وَخَرَجَ بِهَا غَيْرُ الْمُمَكِّنَةِ فَلَا نَفَقَةَ لَهَا وَعَدَمُ التَّمْكِينِ بِأُمُورٍ، مِنْهَا النُّشُوزُ وَهُوَ الِامْتِنَاعُ مِنْ الْوَطْءِ أَوْ غَيْرِهِ مِنْ الِاسْتِمْتَاعَاتِ حَتَّى الْقُبْلَةُ…. وَمِنْهَا الْعِبَادَاتُ، فَإِذَا أَحْرَمَتْ بِحَجٍّ أَوْ عُمْرَةٍ بِغَيْرِ إذْنِهِ وَهِيَ فِي الْبَيْتِ فَلَهَا النَّفَقَةُ مَا لَمْ تَخْرُجْ،

[3] Imam al-Ramli, Nihayah al-Muhtaj Syarh Minhaj al-Talibin, Beirut: Dar al-Kutub al-Ilmiah (2003).jld.7, hlm. 205.

(وَلَوْ) بِحَبْسِهَا ظُلْمًا أَوْ حَقًّا وَإِنْ كَانَ الْحَابِسُ هُوَ الزَّوْجُ كَمَا اقْتَضَاهُ كَلَامُ ابْنِ الْمُقْرِي وَاعْتَمَدَهُ الْوَالِدُ - رَحِمَهُ اللَّهُ تَعَالَى -، وَيُؤْخَذُ مِنْهُ بِالْأَوْلَى سُقُوطُهَا بِحَبْسِهَا لَهُ وَلَوْ بِحَقٍّ لِلْحَيْلُولَةِ بَيْنَهُ وَبَيْنَهَا كَمَا أَفْتَى بِهِ الْوَالِدُ - رَحِمَهُ اللَّهُ تَعَالَى -،