Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1963: HUKUM MENCARI JALAN YANG JAUH UNTUK MEMBOLEHKAN QASAR

HUKUM_MENCARI_JALAN_YANG_JAUH_UNTUK_MEMBOLEHKAN_QASAR.jpg

 

Soalan

Assalamualaikum SS Datuk. Bolehkah kita sengaja mencari jalan jauh sedangkan ada jalan yang dekat semata-mata untuk boleh jamak qasar mohon pencerahan.

Ringkasan Jawapan

Jika terdapat dua jalan salah satunya jauh dan melebihi 81km manakala yang satu lagi dekat dan tidak melebihi 81km lalu jika dia mengambil jalan yang jauh atas sebab-sebab tertentu seperti perjalanan yang lebih selamat dan mudah maka dia boleh untuk mengqasarkan solat. Namun jika dia sengaja mengambil jalan jauh supaya boleh untuk mengqasarkan solat maka dia tidak boleh mengqasarkan solat.

Huraian Jawapan

Qasar ialah rukhsah (keringanan) yang diberikan oleh Allah SWT untuk hambanya dalam keadaan-keadaan tertentu seperti ketika musafir. Perjalanan musafir bukanlah suatu yang mudah kerana itu dalam sebuah riwayat Nabi SAW bersabda:

السَّفَرُ قِطْعَةٌ مِنَ العَذَابِ، يَمْنَعُ أحَدَكُمْ طَعَامَهُ وشَرَابَهُ ونَوْمَهُ، فَإِذَا قَضَى نَهْمَتَهُ، فَلْيُعَجِّلْ إلى أهْلِهِ.

Maksudnya: “Musafir itu ialah sebahagian dari azab(kesusahan) yang menghalang kamu daripada makan, minum dan tidur. Apabila kamu telah menyelesaikan keperluannya maka segeralah kembali ke pangkuan keluarganya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Oleh itu Allah SWT memberikan keringanan kepada mereka yang bermusafir dengan memberikan keringanan untuk melakukan jamak dan qasar. Allah SWT menyukai hambanya yang mengambil keringanan yang diberikan kepada mereka. Dalam riwayat yang lain Nabi SAW bersabda:

إنَّ اللهَ يُحبُّ أن تُؤتَى رُخَصُه ، كما يُحبُّ أن تُؤتَى عزائمُه

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menyukai diambil rukhshah dari-Nya sebagaimana ia mennyukai ketika dilaksanakan perintah-perintah-Nya.”

(Riwayat Ibn Hibban)

Dalam mazhab Syafi’i, jika terdapat dua jalan, salah satunya dekat dan tidak melebihi 81km manakala satu lagi jauh dan melebihi 81km namun dia mengambil jalan yang jauh kerana tujuan tertentu seperti jalan yang jauh lebih jimat tol atau untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas maka harus untuk dia mengqasarkan solatnya. Walau bagaimanapun jika dengan sengaja mengambil jalan jauh supaya boleh mengqasarkan solatnya maka dia tidak boleh mengqasarkan solat. Hal ini seperti yang dinyatakan oleh Imam al-Nawawi:

ولو كان لمقصده طريقان طويل وقصير فسلك الطويل لغرض كسهولة أو أمن قصر وإلا فلا في الأظهر

Maksudnya:Jika tempat tujuanya memiliki dua jalan, salah satunya jauh manakala yang satu lagi dekat lalu dia mengambil jalan yang jauh kerana tujuan-tujuan tertentu seperti lebih mudah atau lebih selamat maka harus dia mengqasarkan solatnya. Adapun jika dia lakukannya tanpa sebab maka tidak boleh dia mengqasarkan solatnya[1].

Ulama mazhab Syafi’i memberikan alasan kerana orang yang sengaja mengambil jalan jauh untuk membolehkan dia mengqasarkan solat seumpama orang yang berjalan ke kiri dan ke kanan untuk menjadikan perjalanannya jauh dan boleh mengqasarkan solat. Jika seeorang itu sengaja memanjangkan perjalanannya dengan cara berjalan ke kiri dan ke kanan dengan niat supaya dia boleh mengqasarkan solatnya maka sepakat para ulama dia tidak boleh untuk mengqasarkan solat[2].

Hal ini bertepatan dengan kaedah yang disebutkan oleh Imam al-Zarkasyi:

أن تَعاطي سبب الترخص لِقصْد الترخص لا يُبيح

Maksudnya:Sesungguhnya sengaja mengambil sebab-sebab rukhsah untuk membolehkan rukhsah tidak dibolehkan[3].

Kesimpulannya, Jika terdapat dua jalan salah satunya jauh dan melebihi 81km manakala yang satu lagi dekat dan tidak melebihi 81km lalu jika dia mengambil jalan yang jauh atas sebab-sebab tertentu seperti lebih jimat tol atau untuk mengelakkan kesesakan lalu lintas maka dia boleh untuk mengqasarkan solat. Namun jika dia sengaja mengambil jalan jauh supaya boleh untuk mengqasarkan solat atau atas dasar maksiat maka dia tidak boleh mengqasarkan solat.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1] Imam al-Nawawi, Minhaj al-Talibin wa Umdah al-Muftin, Beirut: Dar al-Fikr (2005), hlm. 44.

[2] Ahmad Salamah al-Qalyubi & Ahmad al-Barlasi Umairah, Hasyiah Qalyubi wa Umairah, Beirut: Dar al-Fikr (1995), jld. 1, hlm. 301.

(وَلَوْ كَانَ لِمَقْصِدِهِ) بِكَسْرِ الصَّادِ كَمَا ضَبَطَهُ الْمُصَنِّفُ (طَرِيقَانِ طَوِيلٌ) يَبْلُغُ مَسَافَةَ الْقَصْرِ (وَقَصِيرٌ) لَا يَبْلُغُهَا (فَسَلَكَ الطَّوِيلَ لِغَرَضٍ كَسُهُولَةٍ أَوْ أَمْنٍ) أَوْ زِيَارَةٍ أَوْ عِيَادَةٍ، وَكَذَا تَنَزُّهٌ وَفِيهِ تَرَدُّدٌ لِلْجُوَيْنِيِّ (قَصَرَ وَإِلَّا) أَيْ وَإِنْ سَلَكَهُ لَا لِغَرَضٍ بَلْ لِمُجَرَّدِ الْقَصْرِ كَمَا فِي الْمُحَرَّرِ وَغَيْرِهِ (فَلَا) يَقْصُرُ (فِي الْأَظْهَرِ) الْمَقْطُوعِ بِهِ كَمَا لَوْ سَلَكَ الْقَصِيرَ وَطَوَّلَهُ بِالذَّهَابِ يَمِينًا وَشِمَالًا، وَالثَّانِي يَنْظُرُ إلَى أَنَّهُ طَوِيلٌ مُبَاحٌ، وَلَوْ بَلَغَ كُلٌّ مِنْ الطَّرِيقَيْنِ مَسَافَةَ الْقَصْرِ وَأَحَدُهُمَا أَطْوَلُ فَسَلَكَهُ لِغَيْرِ غَرَضٍ قَصَرَ بِلَا خِلَافٍ

[3] Imam al-Zarkasyi, al-Mansur fi al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Kuwait: Wizarah al-Auwqaf al-Kuwaitiyyah (1985), jld. 2, hlm. 170.