Pilihan Bahasa:

faq2hubungi2maklumbalas2peta2

AL-KAFI #1977: ADAKAH BATAL WUDUK SENTUH RAMBUT BERLAINAN JANTINA?

ADAKAH_BATAL_WUDUK_SENTUH_RAMBUT_BERLAINAN_JANTINA.jpg

 

SOALAN                    

Assalammualaikum. Adakah batal wuduk pegang rambut wanita sebab bukan menyentuh kulitnya? Mohon pencerahan SS Mufti.

Ringkasan Jawapan:

Bersentuhan kulit secara langsung antara lelaki dan wanita ajnabi membatalkan wuduk, namun tidak membatalkan wuduk apabila menyentuh rambut, kuku dan gigi.

Huraian Jawapan:

Alhamdulillah segala puji bagi Allah SWT Tuhan semesta alam, selawat serta salam ke atas junjungan teragung Nabi Muhammad SAW dan ke atas ahli keluarga serta mereka yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW hingga ke hari kiamat.

Antara perkara yang membatalkan wuduk ialah menyentuh kulit antara lelaki dan wanita ajnabi walaupun tanpa syahwat. [1] Ini bersandarkan firman Allah SWT:

أَوْ لَامَسْتُمُ النِّسَاءَ

Maksudnya: “atau kamu bersentuh dengan perempuan,”

Surah al-Maidah (6)

 

Maksud kalimah bersentuhan dalam ayat surah al-Maidah itu ialah sentuhan secara langsung kulit dengan kulit. [2] Maksud kulit adalah selain rambut, gigi, kuku dan juga selain biji mata.[3]

Meskipun begitu, riwayat yang menyebutkan bahawa wuduk tidak batal apabila bersentuhan dengan wanita ajnabi adalah status da’if, ‘Aisyah RA meriwayatkan bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبَّلَ بَعْضَ نِسَائِهِ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَى الصَّلَاةِ وَلَمْ يَتَوَضَّأْ

Maksudnya: Sesungguhnya Nabi SAW mencium tangan sebahagian isterinya, kemudian beliau pergi menunaikan solat tanpa berwuduk kembali.[4]

Riwayat al-Tarmizi

Imam al-Tarmizi memberikan komentar bahawa hadis ini tidak dijadikan hujah kerana pada sanadnya terdapat masalah iaitu Habib bin Abi Thabit tidak mendengar hadis daripada ‘Urwah bin al-Zubair.[5] Meskipun terdapat jalur lain iaitu Ibrahim al-Taimi meriwayatkan daripada ‘Aisyah RA namun jalur ini juga bermasalah kerana tidak dapat diketahui bahawa berlaku samaʻ(mendengar hadis) antara Ibrahim al-Taimi dan ‘Aisyah RA.[6] Antara ulama yang berpandangan seperti ini ialah Yahya bin Saʻid al-Qattan[7] dan al-Bukhari. Imam Ibn Hajar menyatakan bahawa al-Bukhari mendaifkan hadis ini.[8]

Seterusnya, hakikat sentuhan kulit pada kulit mestilah tanpa ada penghalang walaupun dengan lapik yang tipis. Sentuhan yang berlapik antara ajnabi yang berlainan jantina tidak membatalkan wuduk berdasarkan kenyataan Imam Al-Nawawi dalam Majmuk :

أَنَّ الْتِقَاءَ بَشَرَتَيْ الْأَجْنَبِيِّ وَالْأَجْنَبِيَّةِ ينتقض سواء كان بشهوة وبقصد أم لا ولا ينتقص مَعَ وُجُودِ حَائِلٍ وَإِنْ كَانَ رَقِيقًا

Menyentuh kulit ajnabi yang berlainan jantina adalah perkara yang membatalkan wuduk sama ada dengan bersyahwat atau tidak. Dan tidak membatalkan wuduk sekiranya terdapat halangan (berlapik) walaupun nipis.” [9]

Justeru itu, wuduk akan terbatal apabila bersentuhan kulit dengan dua syarat iaitu sentuhan kulit tanpa lapik dan bersentuhan dengan ajnabi yang berlainan jantina bukan kalangan mahram. [10]

Walau bagaimanapun, sekiranya tidak yakin apa-apa yang disentuh itu kulit ajnabi mahupun tidak, maka ia tidak membatalkan wuduk menurut mazhab Syafi’i:

ولو شك هل ما لمسه شعر أو بشرة لم ينتقض كما لو وقعت يده على بشرة لا يعلم أهي بشرة رجل أو امرأة أو شك: هل لمس محرما أو أجنبية؟

“Apabila masih ragu-ragu antara memegang rambut ataupun kulit, wuduknya tidak batal seperti tangannya menyentuh kulit yang tidak mengetahui mana satu kulit lelaki atau wanita atau ragu sama ada menyentuh mahram atau orang lain”.[11]

Kesimpulan

Berdasarkan perbahasan yang dibentangkan, wuduk akan terbatal apabila bersentuhan kulit dengan syarat sentuhan langsung kulit ke kulit tanpa lapik terhadap ajnabi yang berlainan jantina. Sementara itu, gigi, rambut, kuku, biji mata bukan kategori kulit.

Wallahu A'lam

 

Rujukan: 

[1]. Al-Malbariy. Zainuddin Abd Aziz, ( t.th) Fath al-Mu’in Bi Syarh Qurrat al-Ain Bi Muhimmat Al-Din, Dar Ibn Hazam. P: 60

ونواقضه أي أسباب نواقض الوضوء أربعة

رابعها: تلاقي بشرتي ذكر وأنثى ولو بلا شهوة وإن كان أحدهما مكرها أو ميتا لكن لا ينقض وضوء الميت

[2] Muhamad Hassan Abdul Ghaffar, Syarah matan Abi Syuja’.

أَوْ لامَسْتُمُ النِّسَاءَ} [المائدة:٦]، والأصل في الملامسة: أن تباشر البشرة البشرة.

دلالة على أن البشرة تمس البشرة فهذا ينتقض به الوضوء.

[3] Al-Malbariy. Zainuddin Abd Aziz, ( t.th) Fath al-Mu’in Bi Syarh Qurrat al-Ain Bi Muhimmat Al-Din, Dar Ibn Hazam. P: 62

والمراد بالبشرة هنا غير الشعر والسن والظفر قاله شيخنا وغير باطن العين.

[4] Muhammad bin ‘Isa bin Saurah al-Tarmizi, (1975) Sunan al-Tarmizi, ed. Ahmad Muhammad Syakir, Mesir: Syarikah Maktabah wa Matbaʻah Mustafa al-Babi al-Halabi, no. hadis 86, jld. 1: P. 133.

[5] Ibid.

وَإِنَّمَا تَرَكَ أَصْحَابُنَا حَدِيثَ عَائِشَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي هَذَا لِأَنَّهُ لَا يَصِحُّ عِنْدَهُمْ لِحَالِ الإِسْنَادِ. وسَمِعْت أَبَا بَكْرٍ العَطَّارَ البَصْرِيَّ يَذْكُرُ، عَنْ عَلِيِّ بْنِ المَدِينِيِّ، قَالَ: ضَعَّفَ يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ القَطَّانُ هَذَا الحَدِيثَ، وَقَالَ: هُوَ شِبْهُ لَا شَيْءَ وسَمِعْت مُحَمَّدَ بْنَ إِسْمَاعِيلَ يُضَعِّفُ هَذَا الحَدِيثَ، وقَالَ: حَبِيبُ بْنُ أَبِي ثَابِتٍ لَمْ يَسْمَعْ مِنْ عُرْوَةَ،

[6] Ibid.

وَقَدْ رُوِيَ عَنْ إِبْرَاهِيمَ التَّيْمِيِّ، عَنْ عَائِشَةَ، «أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَبَّلَهَا وَلَمْ يَتَوَضَّأْ»، وَهَذَا لَا يَصِحُّ أَيْضًا، وَلَا نَعْرِفُ لِإِبْرَاهِيمَ التَّيْمِيِّ سَمَاعًا مِنْ عَائِشَةَ، وَلَيْسَ يَصِحُّ عَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي هَذَا البَابِ شَيْءٌ

[7] Ibid.

عَنْ عَلِيِّ بْنِ المَدِينِيِّ، قَالَ: ضَعَّفَ يَحْيَى بْنُ سَعِيدٍ القَطَّانُ هَذَا الحَدِيثَ

[8] Ibn Hajar al-‘Asqalani, (2014) Bulugh al-Maram min Adillah al-Ahkam, ed. Mahir Yasin Fahl, Riyadh: Dar al-Qabs li al-Nasyr. P. 70.

أَخْرَجَهُ أَحْمَدُ، وَضَعَّفَهُ الْبُخَارِيُّ

[9](Rujuk: Al-Majmu’ Syarah Al-Muhazzab: 2/30)

[10] Muhamad Hassan Abdul Ghaffar, Syarah matan Abi Syuja’.

ولكي يكون ناقضاً للوضوء لابد من شرطين: الشرط الأول: أن تكون البشرة على البشرة، يعني: لو مس المرأة بحائل لا ينتقض الوضوء، فلو مس على الشال أو الغترة لم ينتقض الوضوء، ولو مست المرأة من الرجل الأظافر لم ينتقض الوضوء.

الشرط الثاني: ألا يكون محرماً لها، يعني: أن مس المحارم لا ينقض الوضوء، ولا ينتقض إلا إذا مس بشرة المرأة الأجنبية، وضابط المرأة الأجنبية هي: التي يحل نكاحها، كابنة خالته، أو ابنة عمته وغيرهما

 

[11] Al-Malbariy. Zainuddin Abd Aziz, ( t.th) Fath al-Mu’in Bi Syarh Qurrat al-Ain Bi Muhimmat Al-Din, Dar Ibn Hazam. P: 62